27 Mac 2013

DI SEBALIK WAS WAS DAN TALANG

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamuailaikum warahmatullah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam dulu, kini dan selamanya yang telah memberi peluang kepada saya untuk mencoretkan bingkisan sulung saya untuk dijadikan bahan panduan pengunjung blog KBM ini.

Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada saf qiyadah KBM yang lama pada sesi 2012/13 kerana sudi memilih saya untuk memegang tugas sebagai Timbalan Presiden Kelab Bimbingan Mahasiswa Sesi 2013/2014. Insyallah, saya akan cuba berusaha memikul tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin.

Baiklah, kalau kita perasan surah yang terakhir yang terkandung di dalam al-Quran, maka kita akan perasan Surah an-Nas yang bermaksud manusia. Surah ini mengandungi lima ayat yang menceritakan tentang iblis dan manusia. Perkara yang ingin difokuskan di sini adalah pada ayat ke-5 dalam surah an-Nas yang bermaksud:

"Yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia."

Ayat ini kalau kita amati betul-betul, kita akan mendapati bahawa itulah tugas iblis yang menjadi fenomena umat Islam kerana fenomena ini menyebabkan ramai umat Islam yang kecundang dengan hasutan iblis yang dilihat sebagai suatu benda yang boleh dicari penawarnya. Sebelum kita melihat kepada fenomena ini, marilah kita melihat bagaimana iblis berusaha tanpa jemu untuk menghancurkan anak Adam. Pada mulanya, iblis akan menggoda manusia supaya mensyirikkan Allah. Jika tidak berjaya, maka iblis akan menggoda manusia melakukan dosa dan maksiat supaya digolongkan sebagai orang fasik. Jika gagal, iblis akan menghasut manusia supaya menjadi seorang yang munafik iaitu berpura-pura baik di khalayak ramai tetapi kufur di hadapan Allah. Jika terus kalah, iblis akan menyuntik sifat mazmumah pada diri manusia supaya menjadi insan yang berakhlak buruk. Jika kalah, maka iblis akan menggoda manusia supaya melakukan perkara yang sia-sia. Jika gagal lagi, maka iblis akan menyuntik anak Adam supaya lalai dalam mengerjakan ibadah. Kalau tidak menang, iblis akan mencocok manusia supaya lahir perasaan riak dan ujub dalam ibadah. Kalau masih lagi kalah, maka iblis akan meniupkan rasa was was di dalam hati untuk mengerjakan ibadah. Kalau menang, maka bersyukurlah kerana Allah memelihara kita.

Kalau kita lihat peringkat terakhir penghancuran iblis terhadap anak Adam, maka kita akan melihat penyakit was was ini masih menular dalam diri manusia walaupun para alim ulamak telah cuba memberi penawar untuk mengubati penyakit was was ini. Nampaknya, umat Islam mudah terpedaya dengan was was yang disebarkan oleh iblis melalui taharah dan sembahyang terutamanya. Contohnya, sepasang suami isteri baru sahaja berkahwin dan mula berbulan madu di rumah mertuanya. Pada waktu malam pula, mereka berjimak. Suami pun bersedia mengunci jam pukul 3 pagi kerana dia tahu dia sedang menumpang di rumah orang dan dia pun ada penyakit was was juga. Maka, bermulalah suami itu bangun dari tidurnya pada pukul 3 pagi dan masuk di bilik air untuk mandi junub. Alangkah kelakarnya apabila suami nak mengsekalikan air dengan niatnya, iblis pun mencocoknya dengan berkata "Hei, niat dulu baru mandi.". Suami itupun beristighfar dan mengulanginya sehingga hampir masuk waktu Subuh. Bapa mertuanya yang merupakan bilal di sebuah masjid hendak melaungkan azan tetapi menantunya masih berada di dalam bilik air dan masih sangsi dengan niat mandi junubnya. Lalu fikir punya fikir, bapa mertua pun berkata kepada menantunya "Hei, cepatlah keluar, aku pun junub jugak." Suami pun keluar dalam keadaan menggigil kesejukan dan masuklah bapa mertua itu ke dalam bilik airnya. Rupa-rupanya bapa mertua pun was was juga, masuk pada pukul 6.30 pagi dan keluar pada pukul 10 pagi.

Itulah fenomena si suami yang berlaku jika tidak pergi mendengar kuliah agama sedangkan agama Islam mengajar cara yang cukup sempurna untuk mandi wajib iaitu meratakan air ke seluruh badan dan disertai dengan niat sahaja. Lain kali, apabila ada ustaz mari mengajar, pergilah dengar kerana tidak dikenakan apa apa bayaran pun. 

Satu lagi fenomena yang menjadi wabak dalam ibadah adalah was was ketika mengangkat takbir dalam solat. Apa yang disebut oleh Imam Syafie adalah:

"Sesuatu perkara yang menyebabkan kesempitan, maka dilonggarkan sedikit."

Oleh itu, mana mana yang sudah berusaha untuk berniat dalam takbir tetapi masih kritikal dalam mengesahkan niat dalam hatinya, maka diharuskan untuk berniat sebelum takbir dan semasa bertakbir, hendaklah kita mengingati kebesaran Allah sahaja. Itulah ubat yang mujarab bagi mengubati penyakit was was ini. Namun begitu, tidak ramai yang mengamalkannya dan ini menunjukkan bahawa dia masih lagi sayangkan penyakit was was itu. Ingat, kita ini mengamalkan agama Islam oleh Allah yang Maha Esa dan nabi yang satu tetapi umat Islam masih lagi terpedaya dengan was was ini. Cuba kita bandingkan dengan orang kafir yang menyembah berhala, mereka tidak pernah mengalami penyakit was was walaupun mereka menyembah patung sahaja. Malulah sikit!

Kesimpulannya, ingatlah janganlah jemu dalam melawan hasutan syaitan kerana syaitan tidak pernah jemu dalam menghancurkan anak Adam.

Sebelum mengakhiri bingkisan ini, marilah kita lihat apakah falsafah di sebalik talang ini. Talang secara umumnya digunakan sebagi bekas untuk menjemur ikan tetapi secara sunnahnya digunakan untuk mengisi makanan dan dijamukan kepada orang untuk dimakan secara berjemaah. Alangkah indahnya Islam ini sehingga persaudaraan Islam yang erat dapat dihubungkan secara mudah dengan makan berjemaah. Bayangkan ukhuwah sesama saudara seagama menjadi lebih manis sehingga orang sebelah menyuapkan makanan kepada orang lain. Ditambah pula dengan kelebihan orang yang membasuh talang ini, mereka yang membasuhnya akan dikurniakan pahala yang besar. Oleh itu, gunakanlah kesempatan ini untuk meraih pahala yang besar ini sebelum ajal menjemput kita tanpa diundang.

Sekadar coretan untuk dibuat kenangan selepas usrah di Surau ar Raudah, Kolej Tun Perak pada 26 Mac 2013. Salah dan silap harap dapat dimaafkan.

MUINNUDIN BIN MOHD KAMAL
Timbalan Presiden1

Tiada ulasan: