Intro

PENGENALAN

Sejarah kepemimpinan masyarakat dan negara pada hari ini adalah sebahagian besarnya didokongi oleh golongan bekas pelajar yang berwibawa sejak dari alam kampus lagi. Kewibawaan tersebut bukan sekadar dinilai daripada aspek kepimpinan semata-mata malahan juga didasari oleh faktor kecemerlangan akademik, pemikiran di samping tidak mengetepikan soal kemuliaan sahsiah individu tersebut. Fenomena seperti ini akan terus berlaku buat masa-masa akan datang. Pemimpin bukan sahaja akan bercirikan kepimpinan yang berkualiti malahan ia perlu merentasi intelektualisme, idealisme dan aktivisme.

Golongan mahasiswa seharusnya menyedari hakikat bahawa masa depan kepimpinan negara di tangan mereka kini. Hakikat bahawa pemimpin bahawa pemimpin itu lahir daripada mahasiswa yang berkualiti dari segi kepimpinan, kecemerlangan akademik serta pembentukan sahsiah yang tinggi tidak perlu dipersoalkan lagi. Ketiga-tiga faktor tersebut saling berkaitan. Memahami dan meyakini bahawa setiap individu itu mempunyai potensi untuk menjadi pemimpin yang berkualiti, cemerlang akademiknya dan mulia sahsiahnya dan daya kepimpinan mereka perlu diterjemahkan melalui siri latihan dan bimbingan yang bersistematik selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara, maka KELAB BIMBINGAN MAHASISWA (KBM) ditubuhkan pada tahun 1990.

Tema ataupun motto yang dibawa oleh KBM sejak dari dahulu sehingga kini adalah " Kemuliaan dan Kecemerlangan Mahasiswa ". Tema atau motto ini telah menjadi dasar kepada siri aktiviti atau program yang dianjurkan oleh KBM selama ini sebagai menifestasi kepada usaha KBM untuk menggilap dan memperkembangkan potensi dan kemampuan diri ahli berteraskan kepercayaan kepada Tuhan. Kini, KBM telah pun bertapak di kampus hijau ini hampir 20 tahun lamanya di bawah kelolaan Bahagian Hal Ehwal Mahasiswa, UPM. Telah banyak pengalaman dan kenangan yang dicoretkan sepanjang tempoh tersebut. Namun apa yang lebih utama adalah harapan setinggi gunung untuk melihat KBM masih terus terpasak kukuh dan relevan dalam usaha untuk melahirkan generasi mahasiswa yang cemerlang di dunia dan di akhirat.





VISI KELAB

Menjana Generasi Rabbaniy Demi Membina Tamadun Khayra Ummah

MISI KELAB

Ke Arah Gerakan Pelajar Yang Dinamik dan Beriltizam Melahirkan Generasi Mahasiswa Yang Cemerlang Di Dunia dan Di Akhirat

MOTTO

“Kemuliaan dan Kecemerlangan Mahasiswa”

OBJEKTIF

1. Memberi penekanan kepada aspek penjanaan kecemerlangan akademik dan pembudayaan konsep kelimuan di kalangan setiap mahasiswa dan masyarakat sekitar
2. Memupuk dan membimbing mahasiswa ke arah menjadi pemimpin yang berhemah tinggi, kompeten, berdaya saing, yakin pada diri, bertanggungjawab & mempunyai akhlak yg mulia
3. Memberi bimbingan dan panduan kepada mahasiswa agar dapat memahami dan seterusnya mengamalkan nilai-nilai murni serta mempunyai pandangan dan nilai hidup yang positif
4. Memberi penerangan dan bimbingan kepada mahasiswa tentang kehidupan di alam kampus yang serba mencabar melalui aktiviti-aktiviti yang dapat memperkembangkan potensi dan bakat seseorang.




BUDAYA KERJA KBM

1. Memugar Budaya Ilmu dan Berakhlak Mulia
2. Bersedia Untuk Belajar, Diajar dan Mengajar
3. Penghayatan Amalan Kerohanian
4. Memperkasa dan Memperkukuhkan Perpaduan serta Ukhuwwah Di kalangan Seluruh Mahasiswa dan Masyarakat
5. Mengamalkan Konsep Musyawwarah (syura), Bekerjasama dan Kerja Terancang
6. Prihatin dan Iltizam Terhadap Isu-isu Tempatan dan Antarabangsa
7. Memperkukuhkan Amalan Kebajikan Berteraskan Kepada Kepercayaan Kepada Tuhan





Dengan segala maklumat yang dipaparkan,mudah-mudahan anda membuka sedikit ruang di hati anda untuk menyertai kelab kami.Semoga kita Ikhlas untuk Berilmu,Beramal dan Berbakti. Semuanya hanya kerana Rabbul Izzati..InsyaAllah...