22 Ogos 2013

UJIAN DAN BALA ILAHI @ Perkongsian Bersama


UJIAN DAN BALA ILAHI @ Perkongsian Bersama 

Setiap hari, kemalangan tidak putus-putus ditimpakan kepada mereka secara borong tanpa mengira sesiapapun. Pada zahirnya, kita melihat ini semua adalah kecuaian terhadap diri pemandu itu sendiri kerana ada kalanya mungkin leka ataupun memandu mengikut nafsu sendiri. Mungkin itu adalah suatu ujian bagi mereka yang beriman kerana Allah ingin menghapuskan dosa mereka supaya mereka tidak berasa merana di akhirat nanti. Mungkin itu juga boleh jadi ia adalah suatu bala bencana atas kemungkaran yang melata di atas muka bumi ini tanpa pencegahan daripada semua pihak.

Apapun yang terjadi, ia sudah ditakdirkan sejak azali lagi. Kemalangan yang berlaku di Genting Highlands baru-baru ini adalah suatu kemalangan ulangan bagi kemalangan yang membabitkan pengangkutan awam di Malaysia ini. Itulah isu yang tidak putus-putus diperdebatkan sehingga tidak tahu apakah inisiatif yang diambil oleh kerajaan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya membabitkan pengangkutan awam.

Suatu perkara yang perlu kita fahami adalah kemalangan yang berlaku ini adalah suatu tazkirah buat kita supaya sentiasalah bersyukur kepada Allah dengan membalas budi Allah melalui keimanan dan amal soleh kita sepanjang hayat dan jangan sesekali kita merasa diri kita hebat di hadapan Allah tetapi kita sebenarnya lemah di sisiNya. Maka, dengan ini saya mewakili seluruh saf Qiyadah Kelab Bimbingan Mahasiswa (KBM) Sesi 2013/14 mengucapkan salam takziah kepada keluarga yang kehilangan orang yang tersayang. Semoga bersabar menghadapi ujian hidup yang mencabar ini dan terus diberikan kekuatan untuk meneruskan sisa-sisa hidup yang berbaki ini.

JAGA HATI JAGA IMAN

MUINNUDIN BIN MOHD KAMAL
Timbalan Presiden
Kelab Bimbingan Mahasiswa
Universiti Putra Malaysia
Sesi 2013/14

Tiada ulasan: