19 Oktober 2012

Kau Teristimewa tapi Dia yang Sempurna

Aminah terus mengusap kepala anaknya yang masih koma setelah terlibat dalam kemalangan jalanraya. Sudah dua hari si ibu menanti anaknya sedar, namun harapan masih belum kunjung tiba. Sesekali ibu mengesat air mata bila merenungi muka anak kecilnya yang baru berusia lapan tahun. Aqilah anak manja ibu dilanggar sabuah motorsikal sewaktu melintas dihadapan rumah. Kemalangan memang tidak berbau.

"Ya 
Allah, sembuhlah anakku, sedarlah ia. Ya Allah, jangan Engkau ambil nyawa anak ku," air mata terus bercucuran serentak dengan doa dan munajat berpanjangan.

Petang itu ramai pelawat datang menziarahi pesakit, tidak ketinggalan abang Qilah yang datang bersama ayah. "Macamana bang, nampaknya Aqilah belum sedar lagi ni?" 

"Sabarlah, kita doalah harap ia sembuh" ucapan suami meyakinkan Aminah agar jangan putus asa. Aminah tidak henti henti berdoa dan terus berdoa. 

Di hadapan katil Aqilah, orang ramai menziarahi seorang kanak kanak yang tercungap cungap berlawan penyakit asma. sangat menderita bila pernafasan tersekat sekat. Seorang wanita tua menghampiri kanak kanak tersebut sambil mengucap kepala dan membaca sesuatu. 

"Ini cucu saya," ucap wanita tua bila ditanya oleh seorang wanita yang turut menziarahi anak jirannya.

Aminah mengambil kesempatan meminta agar Wanita tua itu mendoakan anaknya. "Mak Cik, tolong doakan anak saya. Sudah dua hari dia koma. Tolonglah, " rayu Aminah. 

Wanita tua itu menghampiri Aqilah sambil mendoakan sesuatu, sambil berpesan agar Aminah membaca sepotong doa setiap kali selepas solat fardu. 

Dalam hati Aminah mengakui dia seorang yang sering cuai solat. Tambahan pula bila Aqilah koma, dia langsung tidak mengerjakan solah. Payah, tak sempat dan macam macam alasan. Namun oleh kerana mengharapkan anaknya sembuh, dan yakin dengan doa yang diajar wanita tua itu, Aminah mula mendirikan solat, setiap kali solat dia terus membaca doa yang diajar, dan dalam linangan air mata dia terus merayu agar anaknya segera sembuh.

Dua hari kamudian. Aqilah sedar dari komanya betul-betul di saat Aminah bermunajat dengan doa yang diajar wanita tua itu. Betapa gembiranya bila melihat anaknya sedar dan mulai bercakap. Terima kasih ya Allah. Syukur ya Allah. 

Petang itu wanita tua sekali lagi datang ziarah cucunya. Aminah meluru ke arah wanita tua itu, sambil bercucuran air mata kegembiraan. "Terima kasih Mak cik ajar doa pada saya. Alhamdulillah, anak saya dah sedar. Terima kasih, terima kasih," luah Aminah bertalu talu. 

Wanita tua itu memegang bahu Aminah sambil berpesan, "sebenarnya solat kamu itu lebih utama dari doa yang kamu baca. Doa itu hanyalah wasilah, solat itu sebenarnya membuka rahmat Allah. Ramai orang hanya berdoa agar disembuhkan sakit, namun mereka tinggalkan solah. Macamanalah Allah nak perkenankan doanya".

Aminah terpaku mendengar nasihat yang sangat berguna baginya itu.


Nota: Artikel ini dipetik dan diubahsuai oleh penulis berdasarkan penceritaan oleh Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man pada 15 Oktober 2012.