“Jangan
lupa ye party malam ni, semua pelajar
dikehendaki membayar sebanyak 2500 Yen.” Kata salah seorang ahli Kelab Cha-cha,
persatuan khas pelajar-pelajar Jepun dan pelajar dari negara lain.
“Erk,
mahal giler. Party apa
sampai RM100? Nak makan malam kat restoran biasa je kot,” Aku mengomel tidak
puas hati. Bukan hanya kami yang datang
dari negara bermatawang rendah sahaja yang tidak setuju, bahkan rakan-rakan
dari negara lain seperti Kanada, Spain dan Taiwan juga begitu . Tapi apakan
daya kami sebagai pelajar-pelajar yang baru datang ke tempat orang. Terpaksa
ikut aje la. Party pada malam itu
dianjurkan untuk meraikan kedatangan pelajar-pelajar pertukaran ke Jepun. Semua
pelajar yang terlibat diwajibkan hadir.
Aku
dan seorang lagi rakan dari Malaysia yang beragama Islam mula berasa risau. Restoran
yang bagaimanakah yang akan kami pergi? Tidak haramkah? Boleh dimakankah
makanan di situ? Aduh, pening kepala berfikir. Restoran halal yang terdapat di
kawasan itupun tidak kami ketahui kerana baru sahaja tiba di sini seminggu yang
lalu. Kami lalu menjelaskan kepada presiden kelab itu berkaitan makanan yang kami tidak boleh
makan sebagai orang Islam. Beliau memahami hal tersebut dan berusaha mencari restoran
yang ada menyediakan makanan laut.
Beliau berbincang dengan tukang masak di situ supaya menyediakan makanan
yang lain khusus untuk kami berdua.
Setelah
menjalankan sesi suai kenal bersama pelajar lain, kami pun makan sambil
bercerita antara satu sama lain. Disebabkan tahap Bahasa Jepun yang masih
merangkak menjadikan aku seorang yang pendiam pada malam itu. Aku hanya
mengangguk apabila ditanya dan tersengih bak kerang busuk apabila mereka
bercakap mengenai perkara yang tidak aku fahami. “Ah, lantak la hangpa nak cakap
apa pun, aku datang ni nak makan je. RM100 oii.. boleh makan kat hotel dah
kalau kat Malaysia,” bisikku dalam hati.
Sedang asyik aku makan udang yang dimasak bersama sos tomato, datang
seorang mamat Jepun ni. Aku ingatkan student dari Korea. Tiba-tiba..
“Hye, watashiwa
Rio desu, anatawa? Doko kara kita no?” sapa mamat tersebut sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.
“Owh,
hye, Suzana desu..Mare-syia kara
kimashita..err..”jawabku sambil terketar-ketar. Aku tak semena-mena menjadi kaku.
“Alamak,
nak buat macam mana ni? Takkan nak bersalam dengan bukan mahram! Tapi dia dah
lama menunggu tangannya disambut. Kawan-kawan lain pun sedang menyaksikan ‘sesi
perkenalan’ kami berdua. Ya Allah, macam mana ni? Perlukah aku sambut kerana
takut menjatuhkan air muka dia? Ataupun perlukah aku pertahankan diriku dari disentuh
lelaki yang bukan mahram?” Bisik hatiku lagi.
Aku dilema.. Sedang aku bersoal-jawab dengan diri sendiri, Rio pun
menjatuhkan tangannya. Aku nampak air mukanya berubah. Malu barangkali. Tapi
jauh di sudut hati aku merasa sangat lega kerana dapat mempertahankan
peganganku. Aku tahu Allah Maha
Mendengar dan Maha Mengetahui.
Setelah
bertanya beberapa soalan, Rio berganjak dari mejaku dan berbual bersama rakan
lain. Kami makan dan berbual hingga mendapat teguran daripada pemilik restoran
bahawa restoran sudah hendak ditutup. Setelah bertukar-tukar nombor telefon dan
alamat facebook, semua bergerak pulang ke tempat tinggal masing-masing.
Setelah
beberapa hari berlalu, aku bertemu dengan Cik Moteki, staf di Pejabat Bahagian
Pertukaran Pelajar. Watak Cik Moteki yang ceria serta prihatin terhadap
keperluan pelajar menjadikan dirinya mudah didekati oleh semua warga Universiti
Kokugakuin, tempat di mana aku sedang menuntut ilmu sekarang. Pada hari itu,
kami berkongsi pelbagai cerita termasuk masalah yang kami hadapi sepanjang
berada di situ.
Tidak
lama kemudian, Cik Moteki memberitahu aku berkenaan salah seorang pelajar di
situ yang mengadu kepadanya tentang
insiden perkenalan dengan pelajar yang memakai tudung dari Malaysia yang tidak
mahu menyambut tangannya untuk bersalam. Cik Moteki bertanya, adakah aku orang
yang disebutkan? Aku mengiayakan pertanyaannya. Aku bersungut di dalam hati, “Cis,
kurang asam punya mamat.. hal macam
tu pun nak mengadu ke.. haish..” Cik Moteki kemudian menerangkan bahawa pelajar
tersebut, iaitu Rio amat terkejut. Dia tidak pernah berhadapan dengan situasi tersebut
di mana salamnya tidak disambut. Walaupun budaya orang jepun juga tidak
bersalam antara satu sama lain, menurut pendapat Rio, budaya bersalaman
walaupun berlainan jantina seperti orang barat melambangkan persahabatan yang
akrab. Kata Rio lagi, dia hanya ingin kami menjadi sahabat yang baik di sini.
Diriku tiba-tiba dihurung perasaan bersalah.
Aku menyesal kerana tidak menerangkan kepadanya mengapa aku tidak boleh
bersalam dengannya. Keadaanku pada masa itu yang terkejut dan kaku mungkin
boleh mendatangkan andaian negatif mereka terhadap orang Islam. Aku tidak mahu orang Islam dilabelkan sebagai
orang yang sombong dan tidak mahu menjalinkan hubungan yang baik dengan orang
lain. Aku mesti bertanggungjawab untuk
betulkan keadaan dan salah faham ini. Tekadku di dalam hati.
Beberapa
minggu kemudian, Rio datang ke program ‘English Conversation Class’, iaitu
program yang mewajibkan semua pelajar berbangsa Jepun yang hadir di situ
berkomunikasi dengan kami hanya dalam Bahasa Inggeris. Ketika nampak aku di situ, Rio memalingkan
wajahnya ke arah lain. Dia seolah-olah mengelak dari bertemu dengan aku. Hatiku
dipagut rasa bersalah lagi kerana seolah-olah menjadikannya tidak mahu
berinteraksi dengan orang Islam.
Setelah
program berakhir, aku menghampiri Rio dan mengambil kesempatan untuk
menerangkan secara terperinci sebab-sebab wanita Islam tidak boleh bersalam dan
bersentuhan dengan lelaki yang bukan mahram.
Rio mendengar dengan teliti dan
kemudian mengangguk sambil tersenyum.
“Soudesuka..wakarimashita. Watashimo
wakaranai kara gomennasai ne,” ujar Rio.
Air
mataku hampir menitis ketika itu kerana beban rasa bersalah yang aku tanggung
selama ini telah terlerai. Aku harap Rio boleh menjadi wakil untuk menerangkan
kepada pelajar-pelajar lain supaya insiden yang sama tidak akan berulang lagi.
Aku juga berdoa supaya terus diberikan kekuatan dan keteguhan iman dalam
mempertahankan akidah sebagai seorang Muslim.. InsyaAllah.. amin...
Firman Allah: “Dan janganlah kamu
campuradukkan kebenaran dengan kebatilan dan (janganlah) kamu sembunyikan
kebenaran, sedangkan kamu mengetahuinya.” [Surah Al-Baqarah (2) : ayat 42]
~Mari
Belajar Bahasa Jepun~
* Hye, watashiwa Rio desu, anatawa? Doko kara kita no? = Hai, saya Rio, awak?
Datang dari mana?
* Suzana
desu..Mare-syia kara kimashita = Saya
Suzana, datang dari Malaysia
* Soudesuka..wakarimashita.
Watashimo wakaranai kara gomennasai ne = Oh, macam tu ke..sekarang saya
faham. Saya pun minta maaf kerana saya tidak tahu.
1 ulasan:
i'm crying reading this..su, be strong n congratulation for being persistent...may Allah bless u there...n we mizz u so much here...n send my regard to Rio...is he handsome like takuya kimura? hehe...
Catat Ulasan