23 April 2009

Keselamatan Remaja Wanita Tanggungjawab Semua




Dewasa ini, kita sering dilambakkan dengan pelbagai masalah sosial yang melanda masyarakat kita yang dipaparkan oleh media massa. Kes penceraian yang semakin meningkat, kes buli, kes sumbang mahram dan terbaru laporan kes rogol yang semakin meruncing.

Kes rogol di negara ini pada tahun lalu mencatatkan peningkatan hampir 300 peratus daripada jumlah kes 2007 di mana peningkatan sebanyak 3178 kes berbanding tahun yang sebelumnya. Paling menyayat hati, laporan tentang kanak-kanak tadika yang dirogol baru-baru ini. Di manakah nilai kemanusiaan dalam masyarakat kita yang terkenal dengan adat-adat ketimuran?

Majlis Hal Ehwal Siswi (HEWI), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) melahirkan rasa bimbang atas peningkatan laporan kes rogol serta beberapa lagi masalah sosial yang lain. Apatah lagi jika dibicarakan isu sumbang mahram dan juga penzinaan yang berlaku di kalangan generasi muda, isu anak luar nikah, malah masyarakat yang ’sakit’ dan ‘tenat’ sanggup melakukan apa sahaja hingga ke tahap membunuh demi memuaskan gelodak nafsu semata-mata.

Ini menerangkan hakikat kecelaruan pemikiran masyarakat yang ditambah lagi dengan suasana kehidupan yang semakin terhakis nilai-nilai moral dan sahsiah. Kondisi masyarakat dilihat tidak membantu serta mendidik generasi sekarang dan akan datang dengan norma-norma tauhid dan nilai-nilai keinsanan. Akibatnya, benteng jati diri semakin hancur dan lahirlah generasi yang hilang adab dan tidak berperikemanusian.

Tiada ertinya mengejar kemajuan demi pembangunan masa hadapan jika akhirnya masyarakat mengalami kehancuran nilai-nilai kemanusiaan, hilang jati diri dan pedoman hidup. Menyedari hakikat ini, Majlis HEWI PKPIM, menyarankan agar semua pihak sentiasa memandang serius tentang isu ini kerana kesan serta impak kepada remaja-remaja yang dirogol adalah sangat serius dan bersifat jangka masa panjang.

Pendidikan serta pendedahan awal tentang penjagaan keselamatan diri remaja terutamanya remaja perempuan perlulah dilaksanakan seawal mungkin khususnya di peringkat kanak-kanak lagi agar mereka tahu bagaimana hendak bertindak apabila keselamatan diri mereka tergugat. Sebagai contoh,bagaimana reaksi apabila dihampiri orang yang tidak dikenali, bagaimana hendak menolak ajakan secara berhikmah dan apakah hak-hak seorang wanita jika diganggu oleh mana-mana individu yang dikenali atau tidak.

Menyedari hakikat bahawa isu keganasan terhadap remaja wanita memerlukan pembelaan yang berterusan, Majlis HEWI PKPIM yang merupakan satu badan pelajar peringkat kebangsaan akan terus berpartisipasi dalam menangani isu ini dan bersedia bekerjasama dengan pihak Kerajaan, pihak swasta, NGO mahupun masyarakat secara amnya. Isu keganasan terhadap remaja wanita sering dibincang dan dikupas melalui Seminar, Forum dan Ceramah.

Bermula dengan definisi keganasan, punca dan kesan keganasan yang akhirnya telah menghasilkan satu resolusi ke arah merungkaikan permasalahan sosial ini. Namun begitu, isu ini dilupakan seketika apabila laporan keganasan terhadap remaja wanita tidak lagi tersiar di dada-dada akhbar. Sebaliknya isu ini akan menjadi panas apabila ada mangsa terbaru dilaporkan.

Majlis HEWI PKPIM menyedari hakikat bahawa isu ini tidak hanya dapat diselesaikan melalui Seminar dan Forum semata-mata, malah ianya memerlukan usaha diri wanita itu sendiri dalam menyiapkan diri dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Justeru, Majlis HEWI PKPIM merasakan bahawa perlu diwujudkan satu usaha yang bersepadu dan menyeluruh dalam memberikan kemahiran dan pengetahuan tentang kaedah untuk mencegah daripada menjadi mangsa keganasan.

Dengan penuh rasa tanggungjawab, Majlis HEWI PKPIM merasakan peri pentingnya Bengkel Keselamatan Untuk Remaja (BESTARI) di adakan bagi menyedarkan para remaja wanita bahawa mereka berhak untuk berada dalam keadaan selamat. Di samping itu program ini bertujuan untuk memandu para remaja wanita berkenaan tindakan yang harus dilakukan apabila berada di dalam situasi yang boleh menganggu gugat keselamatan mereka.

Dengan pelaksanaan program ini serta sokongan daripada semua pihak secara berterusan, Majlis HEWI PKPIM dapat merasakan adanya usaha meratakan serta merakyatkan kefahaman tentang penjagaan keselamatan diri remaja khususnya remaja wanita dan sedikit sebanyak dapat mengurangkan kadar kes sosial yang semakin meruncing.

*Nor Akmariah Abdullah*