24 Mac 2013

Mahu atau Tidak?


“Mulai hari ni aku nak belajar setiap hari 3 jam.”
“Mulai esok aku nak joging setiap hari.”
“Bermula pagi esok aku nak bangun solat Tahajjud setiap hari.”

Itulah contoh ayat-ayat yang biasa kita ungkapkan apabila kita bertekad untuk melakukan sesuatu perkara. Namun, kebiasaannya perkara tersebut hanya akan dibuat satu, dua atau tiga kali kemudian akan terus ditinggalkan di pertengahan jalan. Hasilnya, segala misi dan tujuan kita tidak pernah tercapai.  Kemudian kita mula menyalahkan faktor-faktor lain yang memungkinkan kita untuk tidak melakukan perkara yang telah dirancang. Faktor masa yang tidak mencukupi dan kesibukan melakukan tugas lain sering dijadikan alasan.

Adakah kita perlu terus menyalahkan perkara yang menghalang kita untuk menjadi orang yang istiqamah? Atau adakah kita perlu mencari jalan untuk menangani masalah tersebut dan mencari alternatif lain yang boleh membantu kita mencapai misi dan visi yang kita inginkan? Pilihan di tangan kita. Buatlah pilihan yang sebaiknya. Orang yang bijak dan mempunyai azam yang kuat untuk mencapai sesuatu, tentu akan memilih pilihan yang kedua, bukan? Namun, bagaimanakah cara untuk beristiqamah dalam melakukan sesuatu perkara atau ibadah?

                                         
Di sini, ingin saya kongsikan beberapa tips dan cara-cara untuk memupuk sifat istiqamah. Hal ini bukan bermakna saya telah sempurna dan sentiasa istiqamah, namun saya cuma ingin berkongsi dengan rakan-rakan  supaya kita dapat bersama-sama mendapat manfaat dan berubah menjadi orang yang lebih baik dari sebelumnya.

Pertama, lakukan sesuatu perkara dimulakan dengan niat kerana Allah dan bukan hanya untuk kepentingan diri sendiri. Justeru, jika perasaan malas datang atau ketika kita sudah berputus asa, ingat kembali bahawa Allah tidak menyukai orang yang berputus asa. Tambahan pula, jika sesuatu yang ingin kita lakukan bukan hanya memberi manfaat terhadap diri kita sahaja, sebaliknya turut memberi kesan positif kepada orang lain. Ingatlah tugas yang telah diamanahkan kepada kita sebagai khalifah di atas muka bumi ini.

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan khalifah di bumi.” Mereka berkata, “Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?” Dia berfirman, “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."

                                                                       [Surah Al-Baqarah (2) : ayat 30]

Jadi, adakah wajar bagi seorang pemimpin berputus asa dan berhenti berusaha dari melakukan kebaikan dan memperjuangkan agama Allah? Adakah kita sudah bersedia untuk menjawab soalan malaikat di dalam kubur mengenai amalan kita di dunia dan atas urusan apakah hayat kita dihabiskan?  Tepuk dada, tanyalah iman.

Kedua, kita perlu fokus terhadap apa yang hendak kita capai. Jangan hanya berangan-angan kosong tetapi rancanglah hidup kita untuk hari ini dan seterusnya. Utamakan perkara–perkara yang wajib kita lakukan dan matlamat yang ingin kita capai terlebih dahulu berbanding perkara yang berbentuk hiburan dan sia-sia. Kaedah menulis perkara yang ingin dicapai di dalam buku ‘planner’, diari atau nota kecil yang boleh dilekatkan di tempat yang mudah dilihat membantu kita kembali fokus terhadap tujuan dan sasaran asal yang hendak dicapai.

Cara untuk istiqamah yang ketiga adalah bergaul dengan orang yang baik. Hal ini penting kerana sahabat yang baik akan sentiasa membimbing kita dan bersama-sama dalam berusaha ke arah kebaikan. Manakala, kawan yang tidak baik akan sentiasa mengajak kita ke arah kelalaian dan maksiat. Malahan, ada juga dalam kalangan mereka ini yang berasa iri hati dengan kita yang berusaha keras untuk berjaya dan akan mencuba berbagai cara untuk menjatuhkan kita.   

Keempat, kita perlu sentiasa melakukan muhasabah terhadap diri kita. Adakah perkara yang hendak kita lakukan adalah perkara yang betul? Apakah tujuan sebenar kita hendak mencapai misi tersebut? Sudahkan kita berusaha sehabis daya untuk melakukannya? dan soalan lain yang seumpama dengan dengannya. Setelah berfikir sehabis baik, berdoa dan bertawakal kepada Allah, lakukanlah perkara tersebut dengan berterusan dan jangan menoleh ke belakang atau mengalah biar apa pun halangan yang datang. 

Akhir sekali, jangan lupa bersyukur kepada Allah setelah kita berjaya mencapai sesuatu matlamat.  

“Dan sungguh, Kami telah menempatkan kamu di bumi dan di sana Kami sediakan (sumber) penghidupan untukmu. (Tetapi) sedikit sekali kamu bersyukur.”

                                                           [Surah Al-A’raf (7) : ayat 10]

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, niscaya Aku akan menambah  (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat.”

                                                           [Surah Ibrahim (14) : ayat 7]


Kita juga perlu berterima kasih dan dan menghargai orang lain di sekeliling kita yang tidak jemu memberi sokongan dan dorongan kepada kita. Balaslah budi baik mereka sewajarnya. Bak kata pepatah, ‘Orang berbudi kita berbahasa’. Selain itu, kita boleh memberi hadiah dan penghargaan kepada diri sendiri juga kerana telah berusaha melakukan perkara tersebut sehingga berjaya. Hadiah tersebut tidak perlu terlalu besar, cukuplah hanya sekeping coklat, sebatang aiskrim atau sebagainya. Perkara ini akan membuatkan kita berasa puas hati dan semakin bersemangat untuk mencapai matlamat yang lain. 
                                
 Selamat mencuba dan semoga berjaya!
  • Jika anda mampu menguasai fikiran anda, maka hidup anda akan bahagia.~
  • Tiada daya dan kekuatan selain dengan pertolongan Allah.~

-Suhaila binti Rusni-

Tiada ulasan: