Tap,
tap, tap..
Kedengaran bunyi hujan di luar
bilik. Kubuka sedikit tingkap untuk menikmati suasana malam. Hmm..gelap. Angin
meniup sepoi-sepoi bahasa disertai hujan turun membasahi bumi. Kuhalakan tangan ke luar tingkap untuk menadah air hujan.
Kedinginan dan kejernihan yang telah lama aku lupakan. Kebiasaannya aku akan
mengelakkan diri dari keluar berjalan-jalan atau ‘shopping’ di waktu hujan
kerana risau pakaianku basah dek terkena air hujan. Tapi pada malam ini aku
rasa sangat nyaman dan teruja melihat fenomena alam ini.
Firman Allah: “Sesungguhnya pada
penciptaan langit dan bumi, pergantian malam dan siang, kapal yang berlayar di
laut dengan (muatan) yang bermanfaat bagi manusia, apa yang diturunkan Allah
dari langit berupa air, lalu dengan itu dihidupkan-Nya bumi setelah mati
(kering), dan Dia tebarkan di dalamnya bermacam-macam binatang, dan perkisaran
angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi, (semua itu) sungguh,
merupakan tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang mengerti.” [Surah Al-Baqarah (2): ayat 64]
Aku mengangkat muka merenung ke
langit. Ya Allah, betapa hebatnya kuasa-Mu Ya Rabb.. Selama hidupku di atas
muka bumi ini, telah berbagai-bagai kekuasaan-Mu yang telah aku saksikan, hujan,
salji, angin, ribut, petir, kilat, ombak, hujan, panas, siang, dan malam serta
banyak lagi yang tidak tersenarai telah Engau jadikan sebagai bukti bahawa
Engkau mampu jadikan segala yang Engkau kehendaki. Teringat Firman Allah dalam
surah Al-Rahman "Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?". Subhanallah..
Kesempatan tinggal seorang diri
di dalam bilik memberikan aku kesempatan untuk memuhasabah diri dan berfikir
tentang keadaan diriku sebelum ini, sekarang dan apakah takdirku pada masa akan
datang. Satu persatu wajah orang yang pernah berada di sampingku muncul di
benak. keluarga, guru-guru, rakan-rakan, dan suasana di Malaysia yang telah
hampir enam bulan kutinggalkan. Bagaimanakah
semuanya? Adakah baik-baik saja? Semoga Allah sentiasa melindungi dan merahmati
mereka.. amin..
Peluang untuk berada di negara
matahari terbit yang telah menjadi cita-citaku sejak kecil ini ternyata banyak
mengajarku pengalaman baru dan erti kehidupan. Benarlah kata Saidina Ali bin Abu Talib (karramallahu wajhah) “Keluarlah dari negara
bagi mencari sesuatu yang berharga; Bermusafirlah kerana bagi musafir itu 5
kelebihan: Terlepas daripada kerumitan hidup, dapat meningkatkan kualiti hidup,
kaya dengan ilmu dan pengalaman, berpengetahuan luas tentang adab dan budaya, serta
mendapat ramai kenalan.”
Walaupun saiz negara Jepun hampir menyamai saiz Malaysia
namun masyarakat Islamnya kurang dari lima peratus. Kebanyakan dari mereka tidak mempercayai
bahawa adanya Tuhan Yang Esa. Ramai yang berpegangan Shinto, iaitu sebuah pegangan
yang belum mendapat pengiktirafan sebagai sebuah agama yang mempercayai
kewujudan sebanyak ratusan ribu tuhan. Selain itu, terdapat juga penganut agama lain seperti Buddha dan
Kristian. Hal ini menjadikan aku sangat bersyukur kerana terpilih menjadi salah
seorang yang berada di jalan kebenaran iaitu agama Islam. Alhamdulillah..
Firman Allah, “Dan barang siapa mencari agama selain
Islam, dia tidak akan diterima, dan di akhirat dia termasuk orang yang rugi.”
[Surah Ali ‘Imran (3):ayat 85]
Namun, jika difikirkan nikmat menjadi seorang Muslim
bukanlah sesuatu yang hanya umat Islam yang ada sekarang sahaja yang berhak
merasainya. Islam adalah agama untuk semua tidak kira warna kulit, bangsa
ataupun bahasa. Jadi, semua umat Islam sepatutnya menunaikan amanah sebagai
khalifah di atas muka bumi ini yang telah diberikan oleh Allah untuk berdakwah
dan menyeru orang lain supaya kembali kepada jalan yang lurus ini.
Di hatiku terdetik bagaimana kita hendak mengajak orang
lain percaya dan tertarik kepada agama Islam jika umat Islam itu sendiri tidak
dapat menjadi teladan yang baik. Masih ramai orang Islam yang berpecah-belah,
membuat sesuatu mengikut hawa nafsu dan hanya menjadikan perkataan Islam itu
sebagai identiti di atas kad pengenalan tetapi tidak mengamalkan apa yang
disuruh oleh Allah dan tetap melakukan larangan-Nya. Nauzubillah.
Sejak dari hari pertama aku tiba di sini, tidak pernah
terpadam niat di hati untuk berusaha memperjuangkan agama Allah dan menunjukkan imej Islam yang terbaik. Impianku
agar masyarakat bukan Islam di sini dapat mengenali Islam dengan sebaiknya dan
agar imej buruk Islam sebagai bangsa pengganas yang dipertontonkan di kaca
televisyen dan akhbar dapat dibersihkan. Doaku agar mereka terpilih untuk
menerima hidayah Allah dan bersama-sama bertemu di syurga nanti..amin..
Tetapi, dalam diam kusedari sukarnya dakwah itu dan betapa
hebatnya para nabi dan rasul terdahulu. Tambahan pula, jika terpaksa
melakukannya seorang diri. Aku bukanlah insan terbaik yang terlepas dari
melakukan dosa dan masih lagi belajar mendalami agama. Aku terkenang betapa
beruntungnya aku dahulu, punya keluarga yang berlatarbelakangkan Islam. Tidak
kurang pula, adanya teman-teman usrah dan tempat mempelajari agama ketika di
sekolah dan universiti. Kemudahan mengamalkan agama itu kadang-kadang
menjadikan diri ini liat untuk mengikuti majlis ilmu dan aktiviti berkonsepkan
dakwah. Ada sesetengah pendapat mengatakan bahawa mereka yang kembali kepada
Islam setelah mengkaji dan memahami Islam kadangkala boleh beramal dengan lebih
baik berbanding mereka yang Islam secara automatik kerana lahir dalam keluarga
yang beragama Islam. Alangkah ruginya..
Setelah kudalami apa yang dimaksudkan dengan dakwah,
akhirnya kufahami bahawa dalam erti kata yang sebenarnya dakwah bukan hanya
bermakna menyeru orang bukan Islam untuk kembali kepada Islam, tetapi turut
bererti mengajak dan menyeru orang lain untuk melakukan kebaikan dan mencegah
dari kemungkaran. Justeru, tidak mungkin matlamat dakwah itu tercapai jika kita
hanya membuat sesuatu kebaikan dan mempelajari ilmu agama itu untuk kepentingan
diri sendiri. Sebaiknya ahli keluarga, rakan-rakan dan orang sekeliling kita
perlu ditunjukkan contoh yang baik dan diajak bersama untuk turut merasa
indahnya hidup jika membuat sesuatu berdasarkan syariat Islam. Kita juga akan
berasa lebih kuat jika mempunyai teman seperjuangan yang mempunyai misi dan
matlamat hidup yang sama iaitu menaikkan martabat Islam dan mendapat keredhaan
Allah. Mudah-mudahan Allah permudahkan urusan..InsyaAllah.
“Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan
untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari
yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah
itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman, namun kebanyakan
mereka adalah orang-orang fasik.” [Surah Ali ‘Imran (3):ayat 110]
Hujan sudah berhenti, malam semakin pekat dan mata mulai
kabur. Tangan juga sudah berhenti menaip. Otak dan badan minta direhatkan. Semoga
aku diberi peluang untuk hidup lagi esok untuk beribadat dan boleh berkongsi
ilmu dan pengalaman dengan orang lain agar sama-sama beroleh manfaat. InsyaAllah..
Wassalam.
-Suhaila binti Rusni-
1 ulasan:
Salam ziarah Su, rindu kamu.
Entri ini istimewa sangat. Pengubat rindu buat semua, insya-Allah.
Teruskan perjuangan di bumi sakura. Doa kami sentiasa mengiringimu.
**Nak baca tulisan Su lagi :)
Catat Ulasan