08 September 2012

Ceritaku untukmu

“Sah, ini memang rumah Azmin!”

Begitulah duga Rais ketika dia dan rakan sekuliahnya, Hamidi tiba di hadapan sebuah rumah teres usang yang telah luntur catnya. Pokok jambu madu rendang di halamannya menguatkan lagi keyakinan kedua-dua sahabat itu.

“Aku pun rasa begitu. Azmin ada beritahu aku di halaman rumah dia ada sebatang pokok jambu madu,” balas Hamidi sambil menganguk-angguk sambil mematikan enjin motornya.

Tanpa mereka sedar, Azmin sedang memerhatikan mereka dari beranda rumah sewanya. Dia awal-awal lagi telah berdiri di situ menanti Rais dan rakannya tiba. Apa tidaknya, kali terakhir mereka bertemu adalah setahun yang lalu iaitu ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang. Kerinduan yang amat sangat mendorong Azmin berlari ke pintu pagar rumahnya sambil mulutnya bertakbir dan memuji kebesaran Allah kerana menemukan mereka kembali. Tercengang-cengang Hamidi melihat gelagat Rais dan Azmin — berpelukan sambil air mata mengalir laju membasahi pipi kedua-duanya.

“Mungkin inilah yang dinamakan sahabat, dan inilah maksud ukhuwah fillah yang sering disebut-sebut oleh oleh naqibku,” bisik hati kecilnya.

*****

Di ruang tamu rumah bujang itu telah pun terhidang juadah makan tengah hari untuk mereka bertiga. Hamidi pantas menyesuaikan diri dengan situasi. Dia tidak kekok ‘ditinggalkan’ oleh Rais dan Azmin yang begitu ghairah berbicara tentang kenangan mereka berdua sewaktu di sekolah menengah dahulu. Antara cerita yang paling menyentuh hati Hamidi ialah sewaktu Azmin hampir lemas ketika mandi bersama rakan-rakan lelaki sealirannya di kolam renang di kaki Bukit Larut. Raislah yang menyelamatkannya. Semenjak peristiwa itu, mereka berdua menjadi sahabat baik yang begitu akrab.

Namun, Azmin bijak melayani kedua-dua tetamunya itu. Perbualannya dengan Rais diseimbangkan dengan bertaaruf bersama Hamidi, sambil mereka menjamu juadah ringkas di rumah bujang itu. Baginya, tetamu datang membawa rahmat. Justeru, penting untuknya menjaga hati dan tidak membuatkan mana-mana tetamunya tersinggung dek kepetahan mulutnya berbicara.

*****

“Sedap betul sambal udang tadi. Azmin masak sendiri ke?” soal Hamidi ketika Azmin mengajaknya dan Rais meninjau-ninjau keadaan dalam rumah itu.

“Alhamdulillah, terima kasih. Aah, aku masak sendiri. Itu resepi mak aku,” jawab Azmin yang dari tadi tak lekok dengan senyuman.

“Kau dah pandai memasak ke? Aku tengok dapur kau ni bersih je, macam tak pernah berasap pun,” celah Rais yang gemar menyakat Azmin semenjak zaman sekolah lagi.

“Aku belajar dari mak aku waktu cuti semester dulu. Dah guna dapur, kenalah bersihkan. Itukan tuntutan agama kita. Lagipun, ini tempat menyediakan makanan, sesuatu yang kita nak masukkan ke dalam badan kita, dan jadi darah daging kita,” jelas Azmin yang makin petah mematahkan setiap usikan Rais.

 *****

Nyata pengalaman beliau memimpin kumpulan aktivis anak muda ketika ini banyak mengubah Azmin. Dahulu, dia seorang pendiam dan pemalu walaupun otaknya bergeliga. Namun kini, dia adalah anak muda yang lantang bersuara dan buah fikirannya ditagih banyak pihak.



Nota: Penulis merupakan pelajar sepenuh masa di Universiti Putra Malaysia (UPM), merangkap Timbalan Presiden Kelab Bimbingan Mahasiswa UPM. Kisah ini hanyalah cereka minda penulis semata-mata dan bermaksud untuk dijadikan cerita nasihat sahaja. Penulis memohon maaf sekiranya entri kali ini menyentuh peribadi mana-mana individu.