21 Ogos 2013

Menentang Jahiliah


Menentang Jahiliah

Islam menuntut umatnya supaya mengenali jahliah pada zaman mereka supaya mereka tidak mudah terpedaya dan terpengaruh dengannya. Kalimat jahiliah berasal dari kalimat Arab jahala yang bermaksud kejahilan. 

Sayid Qutub di dalam Maalim fit Tariq berkata, "(Cara hidup jahiliah) adalah satu cara hidup yang ditegakkan atas dasar pencabulan hak istimewa Allah dalam aspek pemerintahan dan kekuasaan. Jahiliah menjadikan sebahagian manusia hamba kepada sebahagian yang lain di samping memberikan hak penggubalan undang-undang, peraturan, nilai, dan konsep hidup kepada manusia walaupun ia terpesong dan terbabas daripada kehendak dan perintah Allah."

Said Hawa di dalam al-Asas fit Tafsir pula berkata, "Zaman jahiliah bukanlah suatu zaman yang mempunyai tarikh yang khusus dalam sejarah. Ia sebenarnya adalah suatu keadaan yang berlaku apabila hukum hakam dan syariat yang berhubung dengan kehidupan ditentukan mengikut kehendak hawa nafsu manusia terpisah daripada manhaj dan kaedah dan syariat yang ditetapkan Allah. Jika sesuatu zaman dan tempat mempunyai ciri-ciri ini, ia menepati ciri-ciri jahiliah."

Berpandukan definisi ini, jahiliah tidak wujud hanya pada zaman sebelum kebangkitan nabi s.a.w., sebaliknya ia wujud pada setiap zaman termasuk zaman pasca-moden ini. Manifestasi jahiliah pada hari ini wujud dalam setiap bidang kehidupan manusia. Faktor kritikal yang menyebabkan jahiliah ini terus hidup dan berkembang adalah meledaknya fahaman dan falsafah hidup sesat yang mendasari acuan dan pemikiran dan nilai hidup masyarakat pada hari ini.

Dalam al-Quran, dasar-dasar jahiliah ditonjolkan pada empat tempat:
  1. Jahiliah sikap dan nilai
  2. Jahiliah hukum hakam
  3. Jahiliah pemakaian dan pergaulan
  4. Jahiliah kesombongan
Keempat-empat jahiliah ini sebenarnya sudah mendominasi dunia kita pada hari ini. Hasilnya adalah pancaroba, kezaliman, ketidakadilan, permusuhan, peperangan, seks bebas, peningkatan kes penyakit jangkitan seksual, ketidakstabilan institusi keluarga, peningkatan kes jenayah, ketidaktentuan masa depan serta pelbagai bentuk maksiat yang berleluasa pada hari ini. Umat Islam wajib menentang jahiliah ini sedaya upaya mereka berpandukan metodologi syariat. Pengabaian di sudut ini mendekatkan umat Islam kepada azab Allah.


Tiada ulasan: