Mengaitkan peminjam PTPTN dgn CCRIS Bank Negara seprti langkah 'terdesak' pihak kerajaan. Hakikatnya, ia tidak akan banyak membantu pihak PTPTN. Bahkan, akan menyebabkan kesan sampingan bukan setakat kepada peminjam malah juga kepada pergerakan jangka panjang ekonomi Negara secara keseluruhannya.
Sewajarnya, ruang yang sedia ada seperti KWSP dan LHDN perlu dimanafaatkan dengan sebaik mungkin agar masalah yang ‘dianggap bebanan kepada kerajaan’ ini dapat diselesaikan secara lebih telus dan adil, ibarat ‘memalu ular dalam benih: ular biar mati, benih jangan rosak’
Tidak dinafikan dalam konteks hari ini, kita akur kerajaan tidak akan mampu untuk menyediakan peluang pendidikan peringkat tinggi secara percuma sepenuhnya. Cuma, apa yang kita harapkan kos yang terpaksa ditanggung oleh rakyat tidak begitu membebankan sehingga terpaksa menanggung bebanan hutang puluhan tahun lamanya. Pada masa yang sama, rakyat mengetahui wujudnya ‘ketidak telusan’ dalam pengurusan ‘wang rakyat yang telah diamanahkan kepada kerajaan’.
Memandangkan perkara ini sudah berlaku dan agak mustahil untuk ‘write-off’ sepenuhnya buat masa ini untuk elak bebanan kewangan berpanjangan kepada kerajaan yang tempias langsungnya akan dikembalikan kepada rakyat. Maka, saya mencadangkan dengan budi bicara dan timbang rasa kerajaan untuk melaksanakan perkara berikut:
Pertama – memberikan 50% diskaun serta merta kepada semua peminjam yang sudah menamatkan pengajian mereka dan menjadualkan semuala pembayaran agar bayaran bulanan pada kadar yang lebih munasabah mengikut kaedah pembiyaan Islam sepenuhnya.
Kedua – memberikan kebenaran kepada LHDN untuk ‘offset’ PCB dengan bayaran bulanan yang sepatutnya dibayar oleh peminjam.
Ketiga – memberikan kebenaran kepada KWSP sekiranya ada dikalangan peminjam yang mahukan baki pinjaman mereka di ‘offset’ dengan dividen tahuan yang dibayar oleh KWSP.
Keempat – mewujudkan kaedah pembayaran balik berdasarkan CGPA sepenuhnya kepada peminjam-peminjam baru. Mereka yang mendapat CGPA yang tinggi berhak mendapat ‘privilege’untuk membayar semula kurang daripada mereka yang kurang cemerlang.
Kelima – memperkasakan konsep waqf korporat dan agihan zakat dalam pengurusan pendidikan tinggi Negara agar kosnya dapat ‘dimunasabahkan’ mengikut keupayaan rakyat kebanyakan.
Keenam – mengawal kewujudan IPTS yang dilihat lebih menjurus ke arah desakan komersial dan keuntungan, sehingga jumlah pinjaman PTPTN pelajar mereka melebihi sekali ganda berbanding pelajar yang berada di IPTA.
Ketujuh – memperkasakan konsep ‘Islamic CSR’ melalui pemindahan kepakaran industri ke pusat-pusat pengajian tinggi dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh pihak industri.
Justeru, sekali lagi ingin saya tegaskan bahawa dengan mengaitkan peminjam PTPTN dengan CCRIS, ia bukanlah satu kaedah penyelasaian yang terbaik. Bahkan, ia dilihat seperti mengundang musibah yang lebih besar kepada rakyat dan Negara secara ‘invisible hand’ untuk tempoh jangka panjang. Yang akhirnya, rakyat jadi ibarat ‘lembu yang meragut rumput di padang yang hanya menanti masa untuk disembelih dan dagingnya pula dijual’.
Oleh : Abdul Hadi Yusof ( Usrah Fikir )
Tiada ulasan:
Catat Ulasan