Subhanallah..tanpa
disedari, begitu cepat masa berlalu. Hampir setahun aku berada jauh di rantau
orang. Bulan Ramadhan yang
seakan-akan baru sahaja tiba semalam,
rupa-rupanya cuma tinggal kurang dari seminggu untuk diakhiri. Oleh itu, ingin
aku coretkan serba-sedikit pengalamanku menyambut Ramadhan di sini sebagai
perkongsian bersama rakan-rakan di tanah air tercinta.
Pada awal
kedatanganku ke negara matahari terbit ini, timbul sedikit kerisauan tentang bagaimana agaknya
keaadaanku ketika bulan puasa yang dijangka tiba pada musim panas. Hal ini
disebabkan oleh perubahan musim dan cuaca yang tidak menentu di sini. Perbezaan
jarak waktu siang dan malam yang sentiasa berubah-ubah juga menggusarkan aku.
Jika pada
musim sejuk, waktu malam yang lebih panjang dari waktu siang menjadikan
hari-hari begitu cepat berlalu. Jika berpuasa pada waktu tersebut, tentu waktu
berpuasa menjadi sangat singkat kerana dimulai pada jam lebih kurang pukul 6 pagi
dan berakhir kira-kira pukul 4 petang. Namun begitu, pada musim panas seperti
ini, matahari sudah mula terbit pada lebih kurang pukul 2.30 pagi dan terbenam
pada waktu maghrib yang tiba kira-kira jam 7.00 malam.
Ada beberapa
sebab yang menjadikan aku risau pada ketika itu. Salah satunya adalah melalui
pengalamanku sebelum bulan Ramadhan iaitu setelah beberapa kali hampir pitam di
dalam keretapi dek kerana diserang pening kepala dan sakit perut akibat lambat
sampai di asrama untuk makan malam. Jarak perjalanan yang jauh daripada asrama
hingga universiti tempatku belajar yang memakan masa kira-kita 30 minit menaiki
keretapi ditambah pula 15 minit berjalan kaki perlu aku hadapi hampir setiap
hari.
Tambahan
pula, waktu rehat yang hanya sekali pada jam 12.00 tengah hari diikuti kelas
yang berturut-turut dari waktu pagi dan berakhir lebih kurang jam 6.00 petang
menyukarkanku untuk mencari makanan bagi mengalas perut. Disebabkan hal
tersebut, aku sering bertanya kepada diri sendiri, mampukah aku bertahan ketika
bulan puasa nanti. Aku hanya berserah pada Allah. Dia lebih mengetahui apa yang
terbaik bagi aku.
Alhamdulillah,
kini, setelah hampir sebulan berpuasa, tidak ada sebarang masalah yang timbul. Walaupun
aku perlu bersahur seawal jam satu atau dua pagi, semua itu lansung tidak
menjadi masalah walaupun aku hanya boleh tidur kira-kira pada jam 3.00 pagi
setelah bersahur dan menunaikan solat subuh. Hal ini kerana aku risau tidak dapat
bangun untuk bersahur dan terlepas waktu subuh jika aku tidur lebih awal. Tambahan
pula, ketiadaan ibu yang sentiasa mengejutkan aku untuk bersahur seperti selalu
menjadikan aku perlu belajar untuk berdikari di sini.
“Allah tidak
membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya....”
[Surah
Al-Baqarah (2): ayat 286]
Seperti
firman Allah di atas, hari-hari yang berlalu juga menjadi begitu lancar dan
seakan-akan tidak terasa perjalanannya. Setiap kelas dan aktiviti yang
dianjurkan juga Alhamdulillah dapat
kuhadiri tanpa rasa letih dan
lemah walaupun ketika berpuasa. Rakan-rakan yang bukan beragama Islam disini
juga sangat memahami keadaanku dan seorang lagi rakanku yang beragama Islam
disini. Mereka sentiasa mengelakkan diri dari makan di hadapan kami dan
kadangkala sanggup tunggu untuk makan bersama-sama ketika waktu berbuka puasa. Selain
itu, ada juga diantara mereka yang sangat berminat untuk mencuba berpuasa
bersama kami bagi merasai pengalaman berpuasa seperti orang Islam. Semoga mereka
terpilih sebagai orang yang diberikan hidayah oleh Allah s.w.t..amin...
Namun
begitu, cuma satu perkara yang membuatkanku sedih ketika menjalani ibadah puasa
dan beraya di sini, iaitu tiada keluarga di sisi dan suasana yang tidak sama
ketika di Malaysia. Di sini, boleh dikatakan hampir setiap hari aku hanya makan
makanan segera ketika bersahur dan berbuka puasa. Tiada ayam percik, laksa,
nasi ulam dan sebagainya. Pada ketika inilah, aku dapat belajar erti bersyukur
dan menghargai setiap makanan yang ada kerana tidak semua makanan yang boleh
dimakan disini. Saudara-saudara muslim di Palestin, Syria dan negara lain sudah
tentu mengalami nasib yang lebih teruk jika dibandingkan denganku disebabkan
kesukaran mendapatkan makanan, bukan?..
Aku juga
sedar betapa beruntungnya berada di negara Islam seperti Malaysia. Tiada
kesukaran untuk beribadah, keselamatan terjamin dan yang paling penting suasana
sekeliling yang terdiri daripada majoriti masyarakat yang mengamalkan Islam
dalam kehidupan harian. Walaupun hanya setahun menjadi perantau dan cuma sekali
berpeluang berpuasa di negara orang, pengalaman ini cukup untuk menyedarkan aku
akan betapa pentingnya kita memartabatkan Islam dan menjalankan perintah Allah
walau di mana sahaja kita berada. Selaku khalifah di atas muka bumi ini, kita
tidak boleh lari dari tugas menyebarkan Islam walaupun dengan hanya menunjukkan
akhlak dan ajaran Islam yang sebaiknya.
·
Teringat
kata-kata yang dipetik dalam salah satu usrah bersama senior KBM,
“Janji
Allah itu pasti. Islam pasti akan tertegak dengan megah di atas bumi ini suatu
hari nanti. Tetapi alangkah bertuahnya jika kita terpilih menjadi salah seorang
yang tergolong dalam kalangan pejuang yang menyumbang untuk kejayaan tersebut.”
..InsyaAllah..amin..
Terima kasih
kerana membaca..Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir & Batin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan