Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah, puji dan syukur kita panjatkan ke hadrat Allah swt atas limpahan kurniaan dan nikmat kebaikan yang terlalu banyak yang kita perolehi. Setelah mana benar kita menjadi hamba yang terbaik, atas nikmat kita bersyukur, dengan ujian kita bersabar.
Sahabat-sahabat seaqidah sekalian,
Sememangnya dalam hidup ini perlu-memerlu. Kita adalah manusia yang tidak boleh hidup bersendirian. Walau sehebat mana pun kita, kita perlukan manusia yang lain kerana kita adalah manusia yang hidup bermasyarakat. Dan sahabat yang kita inginkan dalam hidup adalah sahabat yang bersama dengan kita waktu kita senang, waktu kita ketawa dan sahabat ini jugalah yang boleh berkongsi air mata. Oleh sebab itu, dalam hidup kita, binalah jambatan, jangan bina tembok. Dalam erti kata lain, carilah sahabat seramai mungkin walau seribu dan jangan bermusuh walau seorang.
Renungkan cara Rasulullah saw membangunkan Islam. Baginda tidak membangunkannya secara berseorangan dan nama yang bersama dengan baginda adalah para sahabat Nabi. Tidak dinamakan para pekerja Nabi. Tidak dinamakan Nabi sebagai majikan kepada kuli-kulinya. Tidak dinamakan juga dengan nama-nama yang lain. Sebaliknya, diletakkan satu nama yang sangat hebat pengertiannya iaitu persahabatan. Sahabat-sahabat Nabi ini adalah mereka yang Allah puji dalam al-Quran sebagai manusia yang ruhama’ (sangat saling menyayangi sesama mereka).
Rakan-rakan dalam wadah KBM,
Taklifan sebagai ahli KBM itu seharusnya tidak disempitkan ruangnya. Jadikan ianya langkah pertama dalam perjuangan dalam merawat luka di dada ummah yang sedang parah dimamah kejahilan. Islam rindukan zaman kegemilangan yang mana anak-anak muda harapan ummah kembali memimpin dunia. Andalah iftitah atau pemula wacana dalam membebaskan ummah daripada gelapnya titik mungkar dan noda. Bersatu di bawah satu aqidah yang sama dan turunlah ke lapangan ummah sebagai pemburu syurga dan reda Allah. Tiada amanah yang dilaksanakan kerana manusia atau menjaga hati sesiapa.
Bersama-samalah kita belajar menerima sesuatu amanah atau tugasan sebagai tanggungjawab dan bukannya bebanan. Mengikut ukuran Nabi saw, kalau kita diberi banyak tugasan, yakinlah kita adalah orang berkualiti. “Khoirunnas man yan fa’ulinnas.” Maksudnya, orang yang baik (berkualiti) adalah orang yang sangat diperlukan oleh orang lain. Justeru, marilah kita sama-sama memberikan komitmen penuh dalam menjayakan setiap perancangan yang direncana demi manfaat ummah seluruhnya.
Akhir kata, saya ucapkan terima kasih kepada semua pimpinan KBM terdahulu yang telah berjaya membawa KBM ke tahap sekarang. Saya juga mengalu-alukan sebarang kritikan terhadap kualiti kepimpinan saya sebagai presiden. Saya serahkan segala gerak kerja ini kepada Allah dan diharapkan menjadi saksi kecintaan saya terhadap dunia dakwah. Sekian, selamat maju jaya.
BETULKAN YANG BIASA, BIASAKAN YANG BETUL
Tiada ulasan:
Catat Ulasan