‘Gagasan Ta’dib Kepemudaan’ Cetusan PKPIM Ke Arah Selesai Krisis Generasi Muda Malaysia
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah melancarkan “Gagasan Ta’dib Kepemudaan” dalam usaha menyelesaikan krisis dan masalah generasi muda Malaysia.
Majlis pelancaran “Gagasan Ta’dib Kepemudaan” berkenaan telah disempurnakan oleh Presiden PKPIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz pada 6 September 2009 lalu bersempena dengan program Majlis Iftar Mahabbah (Miftah 09) yang bertempat di Dewan Syarahan Utama, Masjid Negara.
NGO tersebut juga menjelaskan bahawa faktor krisis hari ini bukan disebabkan kejahilan umat dalam agama memandangkan penyebaran ilmu tentang Islam telah tersebar meluas ke seluruh masyarakat, tetapi kekeliruan mereka dalam meletakkan Ad-din, Allah, Nabi, dan diri mereka di tempat yang sepatutnya seperti mana yang dituntut agama.
Dalam pada itu, NGO berkenaan dalam kenyataannya juga menjelaskan bahawa pelancaran gagasan berkenaan selaras dengan resolusi yang diputuskan bersama oleh pimpinan PKPIM Pusat dalam Induksi Pimpinan bertarikh 28-30 Ogos 2009 ke arah untuk membentuk suatu generasi yang ideal dan mampu menjadi suri tauladan terbaik kepada umat secara keseluruhan.
Dengan bermotokan Meneraju Generasi “Baldatun Thoyyibatun Wa Rabbun Ghafur”, gagasan ini juga akan mengambil kira perencanaaan jangka panjang yang meliputi kerangka 25 tahun. Matlamat akhir gagasan ini adalah untuk menjadi medium penerus kesinambungan kepada kebangkitan ledakan ubudiyyah sekitar era 70-an lalu
Dalam perkembangan berkaitan, NGO tersebut dimaklumkan akan menjelmakan semula fenomena kebangkitan dakwah era 70-an tersebut untuk siri kedua sekiranya seluruh pihak berperanan dan beriltizam “merakyatkan” gagasan berkenaan kepada seluruh anak muda dan masyarakat kampus sambil mengakui masih lagi dalam proses perencanaan dan penyusunan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan