09 Februari 2009

Valentine Day????


Tanggal 14 Februari semakin hampir menjengah. Pasti ramai yang maklum apa yang ada pada tarikh istimewa ini. Namun, selain dari tarikh ini, adakah anda tahu apa yang berlaku pada 28 September? Fikir-fikirkan..

Islam ialah agama Allah yang diwahyukan kepada PesuruhNya , Rasulullah SAW yang nyata buktinya dan kebenarannya. Dan Islam sebagai Ad-Deen yang menjamin keselamatan hidup setiap penganutnya, yang menegaskan janji kepada balasan baik dan jahat setiap orang yang melakukannya. Islam sebagai Ad-Deen yang syumul, waqi’ dan murunah telah menggariskan perayaan bagi umatnya. Sebagai umat Islam, perayaan menjadi salah satu cabang hidup yang mesti kita tempuhi mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah swt.

Darsawarsa ini, dengan pertembungan Islam bersama bangsa lain, dan nilai iman yang corot, umat Islam mula meniru amalan yang tidak berkaitan dengan Islam. Apatah lagi di dalam suasana kepelbagaian kaum dan agama seperti dalam masyarakat majmuk negara kita.

Kini, Hari Valentine atau disebut kini ‘Hari Kekasih’ mulai bercambah menjadi trend anak-anak muda zaman ini, malahan mungkin juga menular kepada orang dewasa. Setiap tahun mereka menanti apakah kejutan yang disediakan oleh insan tersayang pada 14 Febuari. ‘Hari Kekasih’ yang dirayakan oleh orang Barat ini, kini semakin popular dan merebak di Malaysia.

Apabila menjelangnya Februari, banyak kita temui iklan-iklan yang tidak Islamik dan hanya wujud demi untuk mempromosi Valentine. Tempat hiburan bermula dari disko/kelab malam, hotel-hotel, organisasi-organisasi mahupun kelompok-kelompok kecil; berlumba-lumba menawarkan acara untuk merayakan Valentine.

APA SEBENARNYA VALENTINE??

Menurut sejarah Valentine sebenarnya adalah seorang individu yang mengorbankan nyawanya kerana kepercayaan agamanya.

14 Februari 270M, St. Valentine dibunuh karena pertentangannya (pertelingkahan) dengan penguasa Romawi pada waktu itu iaitu Raja Claudius II (268 - 270 M). Untuk mengagungkan dia (St. Valentine), yang dianggap sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka para pengikutnya memperingati kematian St. Valentine sebagai 'upacara keagamaan'.

Tetapi sejak abad 16 M, 'upacara keagamaan' tersebut mulai beransur-ansur hilang dan berubah menjadi 'perayaan bukan keagamaan'. Hari Valentine kemudian dihubungkan dengan pesta jamuan kasih sayang bangsa Romawi kuno yang disebut “Supercalis” yang jatuh pada 15 Februari.

Setelah orang-orang Romawi itu masuk agama Nasrani (Kristian), pesta 'supercalis' kemudian dikaitkan dengan upacara kematian St. Valentine. Penerimaan upacara kematian St. Valentine sebagai 'hari kasih sayang' juga dikaitkan dengan kepercayaan orang Eropah bahwa waktu 'kasih sayang' itu mulai bersemi 'bagai burung jantan dan betina' pada tanggal 14 Februari.

Menerusi teori lain, "Valentine" adalah nama seorang paderi. Namanya Pedro St. Valentino. 14 Februari 1492 adalah hari kejatuhan Kerajaan Islam Sepanyol. Paderi ini mengumumkan atau mengisytiharkan hari tersebut sebagai hari 'kasih sayang' kerana padanya Islam adalah zalim! Tumbangnya Kerajaan Islam Sepanyol dirayakan sebagai Hari Valentine.Terdapat juga beberapa teori lain tetapi semuanya menunjukkan bahawa perayaan ini bukan berasal dari agama Islam.




MENURUT PANDANGAN ISLAM

Islam amat melarang kepercayaan yang membonceng kepada suatu kepercayaan lain atau dalam Islam disebut TAQLID.

“Barang siapa yang meniru atau mengikuti suatu kaum (agama) maka dia termasuk kaum (agama) itu”. ( Hadith Rasulullah saw )

Valentine jelas-jelas bukan bersumber dari Islam, melainkan bersumber dari rekaan fikiran manusia semata-mata. Tujuan mencipta dan mengungkapkan rasa kasih sayang di persada bumi adalah baik. Tetapi bukan seminit untuk sehari dan sehari untuk setahun. Dan bukan pula bererti kita harus berkiblat kepada Valentine seolah-olah meninggikan ajaran lain di atas Islam.

Islam diutuskan kepada umatnya dengan memerintahkan umatnya untuk berkasih sayang dan menjalinkan persaudaraan yang abadi di bawah naungan Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang.

Sudah jelas ! Apapun alasannya, kita tidak dapat menerima kebudayaan import yang nyata-nyata bertentangan dengan keyakinan (akidah) kita. Janganlah kita mengotori akidah kita dengan dalih toleransi dan setia kawan. Kerana kalau dikata toleransi, Islamlah yang paling toleransi di dunia.

Jika benar kita mahu membuktikan kasih sayang, maka buktikanlah ia menerusi cara Islam yang halal, indah, penuh barakah dan tiada kesan sampingan. Tanpa perlu menunggu 14 Februari, berkahwin adalah Sunnah Nabi SAW, yang jika kita serius ke arah itu, susunkanlah agenda hidup ke arahnya dengan baik. Usahlah dibazirkan wang untuk membeli bunga ros, kad-kad ucapan, atau candle light dinner di restoran-restoran mahal, kerana semua itu adalah keindahan yang menjadi pagar-pagar kemurkaan dan neraka Allah SWT.

Kesimpulannya, sambutan valentine day ini sebenarnya lebih bercorak kepercayaan atau animisme belaka yang berusaha merosak 'akidah' muslim dan muslimah sekaligus memperkenalkan gaya hidup barat dengan bertopengkan percintaan, perjodohan dan kasih sayang.

Semoga Allah memberikan kepada kita hidayahNya dan ketetapan hati untuk dapat istiqomah dengan Islam sehingga hati kita menerima kebenaran serta menjalankan ajarannya.


Cintakan Manusia, Manusia Kan Mati, Cintakan Bunga, Bungakan Layu, Cinta Allah Sahaja Yang Hakiki



Nor Farhana Nordin
Setiausaha
Kelab Bimbingan Mahasiswa
Universiti Putra Malaysia
http://ruhulsyaheedah.blogspot.com

Tiada ulasan: