22 Februari 2009

Penyembelihan Mahasiswa???

Abul A’la Maududi ada menyebut bahawa adalah tempat penyembelihan pemuda-pemuda Islam. Pemuda-pemuda yang yang telah ditarbiyah dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. semakin luntur dan pudar imannya bila menjejak kaki ke universiti. Persoalannya, bagaimanakah penyembelihan ini dilakukan?


Antara ciri penyembelihan ini ialah;


1.Sekularisasi (pemisahan dunia dan akhirat)
2.Liberalisasi (kebebasan tanpa batasan dan berfikir mengikut logik akal sahaja)
3.Rasionalisasi (menggunakan akal semata-mata)
4.Hendonisasi (kehidupan hanya untuk keseronokan duniawi)
5.Materialisasi (mengagungkan kebendaan)


Sistem pendidikan acuan barat ini telah menyembelih mahasiswa Islam. Kita lebih berkiblatkan duniawi dan hidup dengan kesenangan yang fana. Dan sering terlupa ada dunia akhirat yang sedang menanti.


Akibat daripada ini, lahirlah generasi-generasi muda yang rendah nilai moral dan pincang jati diri. Pemuda-pemudi yang hanya berpaksikan diri sendiri dan mencari keuntungan duniawi dalam setiap urusan. Sungguh, universiti tempat idaman setiap insan ini adalah medan yang penuh jahiliyah walau dipenuhi begitu ramai cendekiawan dari pelbagai bidang.


Jahiliyah yang dimaksudkan ini ialah akal yang lalai dan tiadanya keimanan yang benar kepada Allah serta menurut hawa nafsu dan menolak syariat Allah. Inilah jahiliyah yang melanda universiti-universiti hari ini. Tugas kita ialah menjaga dan mengelakkan diri daripada unsur-unsur jahiliyah tersebut melalui penetapan matlamat hidup yang jelas dan proses tarbiyah yang berterusan.


Tujuan manusia diciptakan adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah dan mentadbir alam ini. Maka itulah matlamat itu setiap manusia yang hidup di atas muka bumi ini. Sebagai mahasiswa, kita perlu jelas, kita hidup adalah untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba juga pentadbir alam. Maka, dalam usaha yang tidak mengenal penat lelah mereguk ilmu pengetahuan di universiti, kita jangan terlupa bahawa kita juga hamba, oleh itu jadikanlah setiap langkah dan gerak kerja kita satu khidmat kepada Sang Pencipta.


Seterusnya, kita hendaklah melalui satu proses tarbiyah yang berterusan. Sesungguhnya, manusia itu seringkali lupa, maka hendaklah kita selalu diingatkan. Juga manusia itu imannya sentiasa berubah-ubah, maka proses meningkatkan keimanan perlu bila iman semakin merudum.


Terdapat tujuh asas kejayaan sesebuah proses tarbiyah itu;

1.Ada murabbi yang membimbing
2.Ada sistem tarbiyah yang komprehensif
3.Ada suasana yang membentuk diri ke arah positif
4.Ada proses merawat keaiban diri
5.Bersama-sama dengan sahabat-sahabat yang soleh secara konsisten
6.Tarbiyah dalam jamaah
7.Berdakwah dengan platform jamaah


Kepada barisan mahasiswa, biarpun sudah sejauh mana anda tersembelih oleh universiti acuan barat ini. Jangan putus asa, luka itu masih ada penawarnya. Bukankah Tuhan telah berjanji setiap sakit ada ubatnya kecuali mati dan tua? Mulakanlah dengan menetapkan matlamat hidup yang jelas dan carilah di tengah kejahilan universiti itu, sedikit ruang yang terisi tarbiyah yang bermanfaat.

Tiada ulasan: