18 Jun 2009

Sebuah Warkah yang Lahir dari Hati

Assalamualaikum, salam ceria, salam kecemerlangan kepada sahabat-sahabat sekalian.
Kali ini saya ingin berkongsi satu warkah yang saya sifatkan cukup menusuk qalbu saya.
Ianya satu luahan hati seorang sahabat saya ketika kami masih di sekolah menengah. Semoga ia dapat memberi sesuatu kepada semua yang menghayatinya. SELAMAT MEMBACA ek.. ^_^

Hari ini , aku dapat peluk al-Quran. Al-Quran ini kalam Allah yang sangat mulia. Dalam al-Quran, segalanya dicatatkan. Betullah kata ustaz dan ustazah, al-Quran itu merangkumi semua aspek kehidupan manusia. Sebuah kitab yang perfect, sehinggakan tidak ada sesiapapun yang bisa menandingi kehebatan dan keindahan gaya bahasa al-Quran. Subhanallah..

Aku rasa malu sangat tatkala mengenangkan bahawa aku ini hamba yang kerdil, lemah, daif dan jahil. Namun, Allah Maha Pemberi Kurnia.Allah izinkan aku memegang al-Quran ini walaupun tangan aku ini kotor dan telah banyak bergelumang dengan najis dosa. Ya Allah, malunya aku terhadapMu, memegang kitab yang mulia ini dengan tangan yang kotor. Ampunkan aku Ya Allah...


Aku dapat peluk al-Quran hari ini, tetapi aku tidak tahu adakah esok, lusa, bulan depan, tahun depan aku masih dapat memeluk kitab agungMu ini Ya Azim.. Aku tidak tahu adakah nanti aku sudah belajar tinggi-tinggi, bekerja dan melayari bahtera hidupku sendiri, masihkah ada waktu yang aku luangkan untuk menyelak helaina suci ini dan membacanya dengan penuh tawadhuk, Ya Allah..

Hari ini, aku dapat peluk al-Quaran. Namun, fenomena dunia hari ini begitu menyesakkan fikiran. Anak-anak muda hari ini seolah-olah hilang pedoman dan kewarasan akal fikiran. Kebiadaban menjadi suatu kebiasaan dan menghakis terus nilai kesantunan. Malah, apa yang lebih mengjengkelkan, hal-hal keagamaan tidak lagi dititikberatkan tetapi dipandang enteng oleh banyak pihak. Aku lelah dan tidak keruan, adakah aku dapat memperturunkan ilmu al-Quran yang aku pelajari ini kepada anak-anak dan cucu-cucuku. Tambahan cabaran terhadap anasir luar tentunya lebih hebat dan besar daripada sekarang.

Hari ini, aku dapat peluk kitab suci , al-Quran yang kudus, namun aku tidak pasti adakah aku mampu lagi untuk memeluk sebegini erat kitabMu ini, Ya Allah.

Aku cinta kepadaMu Ya Allah. Aku cinta kepada Rasulmu, Muhammad S.A.W. Aku juga cinta kepada kitab peninggalan kekasihMu, Ya Allah. Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami atas agamaMu dan jadikanlah kami hamba yang taat kepadaMu.

Ya Allah, jauhkanlah segala kerisauan dan ketidakpastianku. Berikanlah aku berita gembira dan izinkanlah aku memeluk kitabMu ini selalu seperti mana eratnya aku memeluk sekarang.

Kepada saudaraku sekalian,
Ingatlah bahawa Nabi kita, Muhammad S.A.W. pernah bersabda pada khutbah terakhir yang disampaikan baginda:

"Telah aku tinggalkan kepada kamu 2 prkara. Selama mana kamu berpegang kepada 2 perkara ini, kau tidak akan sesat selamanya, iaitu kitab Allah dan sunnah NabiNya."

Oleh itu, marilah kita sama-sama menjadikan al-Quran itu sebagai panduan hidup kita dan mengamalkan sunnah Rasulullah dalam kehidupan seharian. asaemoga hidup kita sentiasa berprestasi dalam reda Allah.

Nailofar 502

Tiada ulasan: