02 April 2012

Bersyukur vs Tersungkur



Alhamdulillah dapat lagi kita menghelakan nafas panjang-panjang pada hari ini, sesekali kita bangun, yang pasti nafas yang segar dapat kita rasai, menghirup udara nyaman tanpa dicampuri unggas-unggas yang tidak menyenangkan.

Setiap yang kita rasai tiada nilai mata wang yang mampu untuk dibayar. Bak kata hati “ diriku dapat merasainya tetapi  tidak mampu diungkap dengan kata-kata”. Namun dalam pemberian nikmat itu masih ramai yang tidak berfikir dan “bersyukran” dengan Ilahi.

Bahkan tanpa segan silu mereka berjalan di bumi yang sangat tua ini dengan tiada kesyukuran. Lopak-lopak dalam jiwa sudah dibiarkan terus berlubang dengan hebat sekali.

Bius dunia seakan-akan telah diadun ke dalam “seketul darah” penggerak jasad hingga menjadi kuih yang keras yang tidak mampu untuk dimakan.

 Sombong dan angkuh telah menggelegak dalam diri tidak kira yang dewasa mahupun telah berusia, masing-masing mempunyai hujah yang tersendiri. Hujahnya dilempar kemas dan padu bagaikan atom yang ingin dilepaskan dalam diri.

 Utuhnya dunia kita, utuh umpama langit yang tiada tanda untuk runtuh. Namun kita tidak berfikir dengan mata hati terhadap apa yang telah kita lihat, sehebat langit yang utuh pun masih mengeluarkan “ air mata” rintihan yang dapat membanjiri alam fauna ini, sehinggakan “Air mata nasuhanya” mampu memberi kebahagiaan kepada makhluk di planet yang kita agungkan ini.

Pun begitu masih tiada riak kesyukuran dalam hati kita. Bak kata orang “ Tidak kupinta lahir ke dunia, tidak kuduga cacat begini…” Aduh!! Hebat kita kerana mampu berkata-kata dengan nada begitu…

 Imam al-Ghazali berkata orang begini sombong namanya, jika disuruh masuk ke dalam perut ibunya kembali dia tidak mahu. Setiap benda yang berlaku tiada erti kesyukuran tetapi riak-riak tersungkur semakin terserlah. Itulah ragam manusia.

 Bayangkan bagaimana seorang ibu bapa membesarkan anak-anak dengan menempuh berbagai ranjau kesusahan. Mereka memberi ilmu dan pendidikan sehingga  anak-anak mereka menjadi insan yang berjaya. Kekadang kesusahan yang mereka tanggung mampu ditagih dengan air mata rintihan semata-mata.

Harapan yang mereka inginkan untuk melihat anak-anak mereka berjaya, bukannya menyambung kesusahan dan keperitan yang mereka alami sekian lama. Begitulah pengorbanan ibu bapa yang telah dicurahkan demi anak-anak. Tetapi malangnya, tatkala anak-anak mereka sudah berganjak dewasa dan berjaya, si tua ditinggalkan bagaikan kayu dimakan bubuk senja, apatah lagi untuk menghormati mereka.

Si tanggang alaf baru telah muncul membawa ‘kekufurannya”. Jika beginilah kita sebagai anak-anak, bagaimanakah perasaan ibu bapa kita? Mereka bukannya robot yang punya bateri “Eveready” yang senantiasa “ready” dan “ steady ” untuk menerima hakikat perlakuan anak-anaknya.

Sudah pasti rasa terkilan akan terzahir dalam hati mereka yang diterjemahkan dengan rasa kecewa dan marah. Itulah rintihan amarah api neraka. Jadi apatah lagi Allah SWT yang memberi kita pelbagai nikmat sejak kita berada di alam dunia ini yang dikelilingi makrifat-makrifat-Nya yang menggunung tinggi. Sudah tentu kemurkaan Allah SWT lebih-lebih lagi kalau hamba-hamba-Nya tidak mensyukuri nikmat-Nya.

 Jadi mana mungkin pemberian Ilahi tidak dibalas dengan ucapan mahupun perlakuan. Kita sebagai hamba yang sodid perlulah senantiasa bersyukur bukannya terus tersungkur dalam arus dunia yang penuh kufur. Ketahuilah hati yang bersih sentiasa membawa jiwa untuk bersyukur. InsyaAllah…

Dalam hal ini Allah berfirman bagi sekalian manusia supaya bersyukur di atas segala nikmat yang diberikan lebih-lebih lagi nikmat Islam dan iman yang terpahat dalam hati. Potongan surah An-nahl:
“Syukurilah nikmat Allah jika kamu sungguh-sungguh menyembah kepada-Nya”

Nikmat pemberian Allah yang melimpah ruah di bumi ini tidak dapat kita hitung dengan jari jemari bahkan dengan kalkulator secanggih mana sekalipun. Sekilas pandangan kanan kiri, depan belakang, atas dan bawah, kita dapat merasai nikmat pemberian Yang Maha agung. Allah SWT amat penyayang dan mengasihani hamba-hamba-Nya dengan memberi pelbagai rahmat kepada kita. Untuk apa? Bukan sekadar untuk hidup selesa di dunia. Akan tetapi berkesinambungan terus hidup selesa di jannah hakiki yang memerlukan sifat syukur yang dizahirkan melalui gerak kerja seharian di dunia terlebih dahulu.

Firman Allah: “Dan jika Allah telah mengeluarkan kamu dari perut ibumu tanpa mengetahui sesuatu, kemudian  diberiNya kamu pendengaran, penglihatan dan hati semoga kamu bersyukur.

Lantaran itu, bilamana keinsafan datang daripada hati, maka  kita sebagai umat yang berakal perlulah senantiasa bersyukur dalam setiap gerak kerja. Bukan sekadar mengucapkan Alhamdulillah semata-mata. Jadi kita sebagai umat yang bertuah mesti ada rasa tanggungjawab dalam menonjolkan sifat kesyukuran ini, tidak lagi tersungkur di bawah timbunan.

 Tatkala hati sudah tertaut maka  rasa kehambaan bak bunga sedang mekar tiada tanda untuk layu. Beginilah permulaan syukur yang mana hati telah diikat kukuh untuk merasa nikmat ilahi dan merasakan segalanya datang daripada rubbul ‘alamin. Hatinya sudah tertaut umpama si rijal mengimpikan si nisa’ bahkan lebih daripada itu.

Tautan hati ini lebih gah daripada tembok besar china. Inilah dinamakan zikir kepada Allah SWT. Dari hati maka turun ke kalam. Kalamak akan terus berkata-kata dengan mengalunkan nada penuh kesyukuran yang tiada putus pujian ucapan Alhamdulillah. Mulutnya tidak lagi basah akibat air setitis tetapi pujian mengagungkan Ilahi sentiasa meniti di bibir. 

Rasulullah SAW bersabda:Allah senang kepada hamba-Nya yang apabila makan mengucapkan puji syukur kepadaNya dan jika minum mengucapkan puji syukur kepadaNya”

Zikir yang terpancar akan dizahirkan pula dengan tingkah laku yang sempurna. Di sini titik kepatuhan kepada-Nya dengan erti kata syukur yang tidak lagi terus tersungkur di lembah yang kufur.

 Bak umpama Qoran yang mana kekayaannya hingga membebankan unta untuk memikul kunci-kunci kekufurannya, akan tetapi kunci-kunci kesyukuran tenggelam di dalam hati yang zulmah tanpa nur yang membentuk kesyukuran, tiada tanda untuk mekar sehinggakan dirinya dan hartanya ditelan oleh bumi. Jadi usahlah kita mencari harta Qoran yang tidak diberkati tetapi carilah harta Abdul Rahman Ibn Auf yang diberkati sehingga kini.        

Hakikat syukur itu sangat indah, tiada indah bulan tanpa cahaya, tiada indah bunga tanpa warna, tiada indah  manusia tanpa hati, dan tiada indah hati tanpa bersyukur. Jadi kita para murobbi sudah semestinya tiada alasan untuk berkata ‘uf” untuk bersyukur kepada Pencipta kita, Allah SWT.

Rasulullah SAW sentiasa bersyukur kepada Allah SWT, jadi kita pengikut Baginda semestilah turut bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan olehNya lebih-lebih lagi nikmat Islam dan iman yang terpahat dalam hati kita ini. InsyaAllah…. Moga-moga kita dalam nikmat bersyukur sentiasa bukan terus tersungkur di lembah kufur…

“ Ya Tuhanku, berikanlah kepadaku petunjuk agar aku mensyukuri nikmat yang  Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada ibubapaku supaya aku melakukan perbuatan baik yang Engkau redhai dan masukkanlah aku dengan rahmatMu ke dalam lingkungan hamba-hambaMu yang soleh..”


Mohd  Zulkifli  alfikry
Presiden KBMUPM

Tiada ulasan: