28 September 2009

LAMENT

Ketika aku mencari sinar..
secebis cahaya menerangi laluan..
Adakalanya langkah aku tersasar..
tersungkur aku di lembah kegelapan..

Ya,
Telah aku lalui semalam..
jalanan kelam dan suram..
Lampaui batasan insan...
keagunganMu aku lupakan..

Dan alhamdulillah,
syukur sungguh di hati ini..
Kau kurniakan aku teman sejati..
penunjuk jalan dekati Engkau..
Doa-doa ku pohon sentiasa setiap masa..
Ampunkanlah dosa-dosa semasa laluan ku ke sana..
Dewasakanlah pemikiranku yang tak semegah mana..

16 September 2009

Sebuah Dialog di Malam Hari, Buat Insan Bernama Dai'e



"Akhi*, dulu ana* merasa semangat saat-saat aktif dalam dakwah. Tapi, kebelakangan ini rasanya semakin terasa hambar. Ukhuwah* makin kering-kontang, bahkan ana melihat ternyata banyak ikhwah* pula yang aneh dan pelik!"

Begitu keluh kesah seorang mad'u* kepada murabbi*nya di suatu malam. Sang murabbi hanya terdiam, mencuba terus menggali semua kegelisahan dalam diri mad'unya.

"Lalu apa yang ingin anta* lakukan setelah merasakan semua itu?" Sahut sang murrabi setelah sesaat termenung seketika.



"Ana ingin berhenti saja, keluar dari tarbiyah ini. Ana kecewa dengan perilaku dan sikap beberapa ikhwah yang tidak Islami. Juga dengan organisasi dakwah yang ana geluti*; kaku dan sering mematikan potensi anggota-anggotanya. Jika terus begini, lebih baik ana bersendiri saja." Ikhwah itu berkata.

Sang murabbi termenung kembali. Tidak kelihatan raut terkejut daripada wajahnya. Sorot matanya tetap kelihatan tenang, seakan jawapan itu memang sudah diketahuinya sejak awal.

"Akhi, bila satu kali anta naik sebuah kapal mengharungi lautan luas. Kapal itu ternyata sudah rosak. Layarnya banyak berlubang, kayunya banyak yang reput, bahkan kabinnya penuh dengan sampah bauan kotoran akibat manusia. Lalu apa yang anta lakukan untuk tetap sampai pada tujuan?" Tanya seorang murabbi dengan kiasan yang mendalam maknanya.

Sang mad'u terdiam berfikir. Tak kuasa hatinya mendapat umpan balik sedemikian tajam dengan kiasan yang amat tepat.

"Apakah anta memilih untuk terjun ke laut dan berenang sampai tujuan?" Sang murabbi mencuba memberi jawapan kepadanya.

"Bila anta terjun ke laut, sesaat anta akan merasa senang. Bebas dari bau kotoran manusia, merasakan kesegaran air laut, atau bebas bermain dengan lumba-lumba. Tapi itu hanya sesaat. Berapa kekuatan anta untuk berenang sampai tujuan? Bagaimana bila ribut datang? Dari mana anta mendapat makan dan minum? Bila malam datang bagaimana anta mengatasi hawa dingin?"

Serentetan pertanyaan dihamparkan di hadapan sang ikhwah tersebut. Tidak semena-mena, sang ikhwah menangis tersedu-sedu. Tak kuasa hatinya menahan kegundahan sedemikian. Kekecewaannya kekadang memuncak, namun sang murabbi yang dihormatinya justeru tidak memberi jalan keluar yang sesuai dengan keinginannya.



"Akhi, apakah anta masih merasa bahawa jalan dakwah adalah jalan yang paling utama menuju redha ALLAH SWT?"

Pertanyaan yang menghujam jiwa sang ikhwah. Ia hanya mengangguk.

"Bagaimana bila ternyata kereta yang anta bawa dalam menempuh jalan itu ternyata rosak dan bermasalah? Anta akan berjalan kaki meninggalkan kereta itu tersadai di tepi jalan atau mencuba memperbaikinya?" Tanya sang murabbi lagi.

Sang ikhwah tetap terdiam dalam esakan tangis perlahannya. Tiba-tiba ia mengangkat tangannya.

"Cukup akhi, cukup. Ana sedar. Maafkan ana, InsyaALLAH ana akan tetap istiqamah*. Ana berdakwah bukan untuk mendapat pingat kehormatan atau agar setiap kata-kata ana diperhatikan. Atau ana mendapat nama di sisi manusia. Biarlah yang lain dengan urusan peribadi masing-masing. Biarlah ana tetap berjalan dalam dakwah dan hanya Allah swt sahaja yang akan membahagiakan ana kelak dengan janji-janji-NYA. Biarlah segala kepedihan yang ana rasakan jadi pelebur dosa-dosa ana."

Sang mad'u berazam di hadapan sang murabbi yang semakin dihormatinya. Sang murabbi tersenyum.

"Akhi, jama'ah* ini adalah jama'ah manusia. Mereka adalah kumpulan insan yang punya banyak kelemahan dan kekurangan. Tapi di sebalik kelemahan itu, masih amat banyak kebaikan yang mereka miliki. Mereka adalah peribadi-peribadi yang menyambut seruan Allah untuk berdakwah. Dengan begitu mereka sedang berproses menjadi manusia terbaik pilihan ALLAH SWT."

"Bila ada satu dua kelemahan dan kesalahan mereka, janganlah hal itu meresahkan perasaan anta. Sebagaimana ALLAH SWT menghapus dosa manusia dengan amal baik mereka, hapuslah kesalahan mereka di mata anta dengan kebaikan-kebaikan mereka terhadap dakwah selama ini. Kerena di mata ALLAH SWT, belum tentu antum lebih baik dari mereka."

"Futur*, mundur lemah atau bahkan berpaling menjadi lawan bukanlah jalan yang masuk akal. Apabila setiap ketidakkesepakatan selalu diselesaikan dengan jalan itu; maka apakah dakwah ini dapat berjalan dengan baik?" Sambungnya panjang lebar.

"Kita bukan sekadar pemerhati yang hanya berkomentar. Atau hanya pandai menuding-nuding jari kerana sesuatu kesalahan. Kalau hanya itu, orang kafir pun boleh melakukannya. Tapi kita adalah dai'e. Kita adalah khalifah. Kitalah yang diberi amanat oleh Allah swt untuk menyelesaikan masalah-masalah di muka bumi. Bukan hanya membongkarnya, yang menjadikan ia semakin meruncing dan membarah."

Sang mad'u termenung sampai merenungi setiap kalimat murabbinya. Azamnya kembali menguat. Namun ada satu hal yang tetap bergelayut di hatinya.

"Tapi bagaimana ana boleh memperbaiki organisasi dakwah dengan kemampuan ana yang lemah ini?"

Sebuah pertanyaan konstruktif akhirnya muncul juga.

"Siapa kata kemampuan anta lemah? Apakah Allah swt menjadikan begitu kepada anta? Semua manusia punya potensi yang berbeza. Namun tak ada yang mampu melihat bahawa yang satu lebih baik dari yang lain!" Sahut sang murabbi.

"Bekerjalah dengan ikhlas. Berilah kerjasama dalam kebenaran, kesabaran dan kasih sayang pada semua ikhwah yang terlibat dalam organisasi itu kerana peringatan selalu berguna bagi orang yang beriman. Bila ada sebuah isu atau fitnah, tutuplah telinga anta dan bertaubatlah. Singkirkan segala prasangka anta terhadap saudara anta sendiri."

Malam itu sang mad'u menyedari kesalahannya. Ia bertekad untuk tetap hidup bersama jama'ah untuk tetap mengharungi jalan dakwah dan tarbiyah. Kembalikan semangat itu saudaraku, jangan biarkan putus asa itu hilang, ditelan gersangnya debu yang menerpa. Biarlah itu semua menjadi saksi sampai kita diberi dua kebaikan oleh ALLAH SWT.

Kemenangan atau Mati Syahid

Ikhlas adalah roh daripada setiap amal. Ikhlas adalah motivasi yang kuat agar amal kita tetap terjaga sentiasa, tidak usang kerana kepanasan dan tidak luntur kerana kehujanan, tidak ghurur* kerana pujian dan tidak kendur kerana cacian. Terus bergerak ke arah tujuan yang paling tinggi puncak dan cita-citanya. Peliharalah keikhlasan dalam bekerja. Semoga kita sama-sama terus istiqamah dalam dakwah dan tarbiyyah.




Glosari kata
akhi = saudara lelaki
ana = saya
ukhuwah = perhubungan
mad'u = murid
murabbi = guru
anta = kamu
geluti = hadapi dengan kesukaran
istiqamah = tetap
jama'ah = kumpulan yang mempunyai tujuan yang sama
futur = lemah/malas
ghurur = tertipu

Artikel ni ana ambil dari
www.iluvislam.com
dihantar oleh : Risk Taker
editor : IskethaykaL

11 September 2009

MIFTAH '09


Labels:

Miftah adalah Majlis iftar Tahunan PKPIM yang selalu diadakan setiap tahun merupakan program yang wajib saya sertai. Program yang banyak menekankan aspek pengisian dalaman merupakan program yang wajib disertai oleh semua lebih-lebih lagi di dalam bulan Ramadhan. Dan ini antara program yang sesuai disertai oleh semua.

Iftar bersama-sama dengan rakan seperjuangan membuatkan hati saya kembali penuh daripada kosong sebelum ini. Semangat makan bersama menambahkan lagi ukhuwah yang sedia terjalin. Ukhuwan islamiah ini yang tiada di mana-mana tempat di dunia kecuali di dalam gerakan islam seperti ini.


Selain daripada iftar bersama, pengisian yang bermakna pun mengisi jiwa raga saya ini. Dua slot pagi tadi tidak dapat saya dengari tetapi ada yang merakamnya. Ia daripada Dr Abd Aziz Bari dan Cikgu Sidek Baba. Terlepas peluang keemasan bersama majlis ilmu kali ini.

Nasib baik ia dapat diganti dengan pengisian oleh Dr.Farid pada sebelah petangnya tentang Gerakan Taadib Islami. Satu tajuk yang sangat tinggi dan hebat untuk diperbincangkan. Antara kandungan ucapan beliau adalah:

Taadib adalah adab di dalam kehidupan seharian kita dan maknanya sangat luas. Ia bukan setakat beradab di depan ibu bapa kita malah ia lebih besar daripada itu. Ia merupakan satu cara untuk meletakkan sesuatu pada tempatnya dengan perbuatan yang sesuai dengan keadaan. Nilai ini yang semakin hilang dalam diri kita pada hari ini. Ini antara perkara pokok dalam ucapan beliau.

Selain itu, apabila saya berjumpa dengan sahabat-sahabat saya ini, banyak perkara baru saya dapat. Ini membuatkan saya sentiasa inginkan pengisian ilmu kerana jika tiada pengisian jiwa saya kosong sangat2. Pedoman kepada semua supaya tidak mengikuti jejak langkah saya.

Terakhir sekali, bersama kita menghitung hari mendatang adakah ia akan lebih baik daripada hari ini ataupun sebaliknya. Bersama doakan yang terbaik supaya kita menjadi orang yang beruntung lebih-lebih lagi beruntung di dalam bulan Ramadhan ini.

p/s: Saudara izat merupakan pelajar Universiti Islam Antarabangsa yang sering memberikan bantuan tenaga dan buah pikiran untuk program2 yang dijalankan Kelab Bimbingan Mahasiswa. Tambahan pula, bagi saya program MIFTAH'09 ini amat terkesan dan membawa aura positif bagi mereka yg b'kobar-kobar dalam mencari erti ramadhan yg sebenar.

09 September 2009

Masih ada 10 malam lagi...



Hari ini sudah masuk hari ke 19 ramadhan. Malam ini malam ke 20. Malam pertama sepuluh malam terakhir. Pencarian Lailatul Qadar bakal bermula. Malam yang lebih baik dari seribu bulan. Siapa saja yang tidak mengharapkannya?

10 yang terakhir,peringkat ketiga ini adalah peringkat di mana Allah menjanjikan pelepasan dari api neraka. Setelah rahmat dan maghfirah, terlepas dari azab seksaan pedih api neraka adalah dambaan setiap hamba. Mungkinkah saya antara yang terpilih untuk memperolehinya?


Setelah 19 hari berpuasa memang terasa ‘memontum’ sedikit menurun. Saya sudah tertinggal beberapa juz bacaan al-Quran yang cuba saya istiqamahkan untuk khatam di hujung bulan. Alhamdulillah, terawih masih belum berlubang cuma ada beberakali tidak sempat sampai 8 rakaat. Qiam lebih-lebih lagi menggusarkan. Saya merasakan prestasi ibadah saya benar-benar di tahap yang lemah. Itu hanya fizikal, belum di kira rohani lagi. Soal khusyuk, ikhlas, tawaduk, tawakal, semuanya terlalu lemah dan memerlukan banyak pemurniaan.

Itu baru amar maaruf. Belum bicara soal nahi mungkar. Tidak perlu cerita panjang soal dakwah dan islah kerana hakikatnya nahi mungkar dalam diri sendiri masih sukar menjadi habit. Masih berlaku sakit hati, dengki, umpat-keji dan banyak lagi. Astaghfirullah. Bagaimana telah saya manfaatkan madrasah ramadhan tahun ini?

Saya muhasabah kembali. Sungguh, saya bukan ahli sufi, bukan juga maasum, saya benar-benar seorang hamba yang lemah, daif dan dibelenggu banyak dosa. Saya sedar, saya tidak mungkin mampu melakukan banyak perkara kerana lemahnya saya. Cukuplah sekadar keampunan dan redha Allah kepada saya.

Tempoh untuk berada dalam madrasah ini masih berbaki 10 hari. Memang tidak lama, namun cukup juga untuk terus mendidik hati dan jiwa. Untuk terus mengajar nafsu dan akal. Insya Allah, akan saya manfaatkan sebaiknya.

Dan lailatul qadar akan saya usahakan untuk diperolehi. Sungguh, saya ini manusia yang kurang amal dan penuh dosa. Mana mungkin saya melepaskan bonus yang dikurniakan Tuhan setahun sekali dalam mempertingkatkan simpanan pahala? Doanya kita sama-sama dikurniakan rezeki bertemu lailatul qadar, malam yang lebih baik dari seribu bulan. Insya Allah.