25 September 2013


APAKAN DAYA AKU TAK LARAT @ Perkongsian Bersama 

Minggu lepas, saya pernah berkongsikan kisah warga emas Orang Asli yang bernama Pak Cik Embo yang kini berusia 94 tahun. Rumahnya yang daif dgn ketiadaan pintu depan dan tandas mengusik perasaan. Dia hidup sebatang kara di samping burung dan kucing yang tersayang.

Atas kesedaran inilah ABIM dgn kerjasama Kelab Bimbingan Mahasiswa UPM akan mengadakan Kembara KBM ke Perkamppungan Orang Asli, Bukit Broga, Semenyih, Selangor pada 28 dan 29 Sept ini (Sabtu dan Ahad). Hulurkanlah sumbangan anda kpd kami utk disalurkan kpd beberapa buah keluarga Orang Asli Mualaf. Boleh berhubung dgn al-Ayubi di talian 011-29023355

JAGA HATI JAGA IMAN

23 Ogos 2013

SYIAH PENYESAT UMMAH @ Perkongsian Bersama

 

Selain dikejutkan dengan isu pergolakan di negara Arab sana, kita turut diserang oleh serangan fahaman yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Syiah kian merebak dan terus merebak di beberapa buah negara termasuklah negara kita yang turut terkena tempiasnya. Kebanyakan Sunni Islam mengatakan bahawa Mahzab Syiah merupakan satu kefahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam kerana fahaman ini mendakwa bahawa Ali iaitu sepupu Rasulullah sepatutnya menjadi khalifah selepas kewafatan Baginda sedangkan kita wajib beriman kepada rasul yang membimbing umatnya ke jalan yang benar.

Kebelakangan ini, aliran fahaman Syiah semakin terancam khususnya di negeri Selangor. Sasaran kali ini mungkin terarah kepada anak muda yang semakin lama semakin jauh daripada akidah Islam. Perkara ini sangat membimbangkan kerana fahaman Syiah ini ibarat debu di waktu malam. Ahli Syiah menggunakan pelbagai taktik dan teknik untuk membuatkan umat Islam mempercayai fahaman Syiah ini. Sasaran ini turut menjurus kepada pelajar kampus kerana sesetengah IPT mempunyai pelajar antarabangsa yang berasal dari kebanyakan negara Arab yang mengamalkan mazhab Syiah ini.

Oleh itu, saya mewakili saf Qiyadah Kelab Bimbingan Mahasiswa (KBM) Sesi 2013/14 menasihati seluruh umat Islam khususnya pelajar kampus supaya berwaspada dengan taktik yang digunakan oleh pengamal mazhab Syiah serta memperkukuhkan pengetahuan mengenai akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana iman merupakan persoalan utama yang menjadi pilihan sama ada kita akan ke syurga ataupun ke neraka.

Harta akan habis jika digunakan tetapi ilmu semakin bertambah jika digunakan.

JAGA HATI JAGA IMAN

MUINNUDIN BIN MOHD KAMAL
Timbalan Presiden
Kelab Bimbingan Mahasiswa
Universiti Putra Malaysia
Sesi 2013/14

22 Ogos 2013

UJIAN DAN BALA ILAHI @ Perkongsian Bersama


UJIAN DAN BALA ILAHI @ Perkongsian Bersama 

Setiap hari, kemalangan tidak putus-putus ditimpakan kepada mereka secara borong tanpa mengira sesiapapun. Pada zahirnya, kita melihat ini semua adalah kecuaian terhadap diri pemandu itu sendiri kerana ada kalanya mungkin leka ataupun memandu mengikut nafsu sendiri. Mungkin itu adalah suatu ujian bagi mereka yang beriman kerana Allah ingin menghapuskan dosa mereka supaya mereka tidak berasa merana di akhirat nanti. Mungkin itu juga boleh jadi ia adalah suatu bala bencana atas kemungkaran yang melata di atas muka bumi ini tanpa pencegahan daripada semua pihak.

Apapun yang terjadi, ia sudah ditakdirkan sejak azali lagi. Kemalangan yang berlaku di Genting Highlands baru-baru ini adalah suatu kemalangan ulangan bagi kemalangan yang membabitkan pengangkutan awam di Malaysia ini. Itulah isu yang tidak putus-putus diperdebatkan sehingga tidak tahu apakah inisiatif yang diambil oleh kerajaan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya membabitkan pengangkutan awam.

Suatu perkara yang perlu kita fahami adalah kemalangan yang berlaku ini adalah suatu tazkirah buat kita supaya sentiasalah bersyukur kepada Allah dengan membalas budi Allah melalui keimanan dan amal soleh kita sepanjang hayat dan jangan sesekali kita merasa diri kita hebat di hadapan Allah tetapi kita sebenarnya lemah di sisiNya. Maka, dengan ini saya mewakili seluruh saf Qiyadah Kelab Bimbingan Mahasiswa (KBM) Sesi 2013/14 mengucapkan salam takziah kepada keluarga yang kehilangan orang yang tersayang. Semoga bersabar menghadapi ujian hidup yang mencabar ini dan terus diberikan kekuatan untuk meneruskan sisa-sisa hidup yang berbaki ini.

JAGA HATI JAGA IMAN

MUINNUDIN BIN MOHD KAMAL
Timbalan Presiden
Kelab Bimbingan Mahasiswa
Universiti Putra Malaysia
Sesi 2013/14

21 Ogos 2013

Menentang Jahiliah


Menentang Jahiliah

Islam menuntut umatnya supaya mengenali jahliah pada zaman mereka supaya mereka tidak mudah terpedaya dan terpengaruh dengannya. Kalimat jahiliah berasal dari kalimat Arab jahala yang bermaksud kejahilan. 

Sayid Qutub di dalam Maalim fit Tariq berkata, "(Cara hidup jahiliah) adalah satu cara hidup yang ditegakkan atas dasar pencabulan hak istimewa Allah dalam aspek pemerintahan dan kekuasaan. Jahiliah menjadikan sebahagian manusia hamba kepada sebahagian yang lain di samping memberikan hak penggubalan undang-undang, peraturan, nilai, dan konsep hidup kepada manusia walaupun ia terpesong dan terbabas daripada kehendak dan perintah Allah."

Said Hawa di dalam al-Asas fit Tafsir pula berkata, "Zaman jahiliah bukanlah suatu zaman yang mempunyai tarikh yang khusus dalam sejarah. Ia sebenarnya adalah suatu keadaan yang berlaku apabila hukum hakam dan syariat yang berhubung dengan kehidupan ditentukan mengikut kehendak hawa nafsu manusia terpisah daripada manhaj dan kaedah dan syariat yang ditetapkan Allah. Jika sesuatu zaman dan tempat mempunyai ciri-ciri ini, ia menepati ciri-ciri jahiliah."

Berpandukan definisi ini, jahiliah tidak wujud hanya pada zaman sebelum kebangkitan nabi s.a.w., sebaliknya ia wujud pada setiap zaman termasuk zaman pasca-moden ini. Manifestasi jahiliah pada hari ini wujud dalam setiap bidang kehidupan manusia. Faktor kritikal yang menyebabkan jahiliah ini terus hidup dan berkembang adalah meledaknya fahaman dan falsafah hidup sesat yang mendasari acuan dan pemikiran dan nilai hidup masyarakat pada hari ini.

Dalam al-Quran, dasar-dasar jahiliah ditonjolkan pada empat tempat:
  1. Jahiliah sikap dan nilai
  2. Jahiliah hukum hakam
  3. Jahiliah pemakaian dan pergaulan
  4. Jahiliah kesombongan
Keempat-empat jahiliah ini sebenarnya sudah mendominasi dunia kita pada hari ini. Hasilnya adalah pancaroba, kezaliman, ketidakadilan, permusuhan, peperangan, seks bebas, peningkatan kes penyakit jangkitan seksual, ketidakstabilan institusi keluarga, peningkatan kes jenayah, ketidaktentuan masa depan serta pelbagai bentuk maksiat yang berleluasa pada hari ini. Umat Islam wajib menentang jahiliah ini sedaya upaya mereka berpandukan metodologi syariat. Pengabaian di sudut ini mendekatkan umat Islam kepada azab Allah.


20 Ogos 2013

PTPTN vs CCRIS

                                      
                                              
Mengaitkan peminjam PTPTN dgn CCRIS Bank Negara seprti langkah 'terdesak' pihak kerajaan. Hakikatnya, ia tidak akan banyak membantu pihak PTPTN. Bahkan, akan menyebabkan kesan sampingan bukan setakat kepada peminjam malah juga kepada pergerakan jangka panjang ekonomi Negara secara keseluruhannya.

Sewajarnya, ruang yang sedia ada seperti KWSP dan LHDN perlu dimanafaatkan dengan sebaik mungkin agar masalah yang ‘dianggap bebanan kepada kerajaan’ ini dapat diselesaikan secara lebih telus dan adil, ibarat ‘memalu ular dalam benih: ular biar mati, benih jangan rosak’

Tidak dinafikan dalam konteks hari ini, kita akur kerajaan tidak akan mampu untuk menyediakan peluang pendidikan peringkat tinggi secara percuma sepenuhnya. Cuma, apa yang kita harapkan kos yang terpaksa ditanggung oleh rakyat tidak begitu membebankan sehingga terpaksa menanggung bebanan hutang puluhan tahun lamanya. Pada masa yang sama, rakyat mengetahui wujudnya ‘ketidak telusan’ dalam pengurusan ‘wang rakyat yang telah diamanahkan kepada kerajaan’.

Memandangkan perkara ini sudah berlaku dan agak mustahil untuk ‘write-off’ sepenuhnya buat masa ini untuk elak bebanan kewangan berpanjangan kepada kerajaan yang tempias langsungnya akan dikembalikan kepada rakyat. Maka, saya mencadangkan dengan budi bicara dan timbang rasa kerajaan untuk melaksanakan perkara berikut:

Pertama – memberikan 50% diskaun serta merta kepada semua peminjam yang sudah menamatkan pengajian mereka dan menjadualkan semuala pembayaran agar bayaran bulanan pada kadar yang lebih munasabah mengikut kaedah pembiyaan Islam sepenuhnya.

Kedua – memberikan kebenaran kepada LHDN untuk ‘offset’ PCB dengan bayaran bulanan yang sepatutnya dibayar oleh peminjam.

Ketiga – memberikan kebenaran kepada KWSP sekiranya ada dikalangan peminjam yang mahukan baki pinjaman mereka di ‘offset’ dengan dividen tahuan yang dibayar oleh KWSP.

Keempat – mewujudkan kaedah pembayaran balik berdasarkan CGPA sepenuhnya kepada peminjam-peminjam baru. Mereka yang mendapat CGPA yang tinggi berhak mendapat ‘privilege’untuk membayar semula kurang daripada mereka yang kurang cemerlang.

Kelima – memperkasakan konsep waqf korporat dan agihan zakat dalam pengurusan pendidikan tinggi Negara agar kosnya dapat ‘dimunasabahkan’ mengikut keupayaan rakyat kebanyakan.

Keenam – mengawal kewujudan IPTS yang dilihat lebih menjurus ke arah desakan komersial dan keuntungan, sehingga jumlah pinjaman PTPTN pelajar mereka melebihi sekali ganda berbanding pelajar yang berada di IPTA.

Ketujuh – memperkasakan konsep ‘Islamic CSR’ melalui pemindahan kepakaran industri ke pusat-pusat pengajian tinggi dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh pihak industri.

Justeru, sekali lagi ingin saya tegaskan bahawa dengan mengaitkan peminjam PTPTN dengan CCRIS, ia bukanlah satu kaedah penyelasaian yang terbaik. Bahkan, ia dilihat seperti mengundang musibah yang lebih besar kepada rakyat dan Negara secara ‘invisible hand’ untuk tempoh jangka panjang. Yang akhirnya, rakyat jadi ibarat ‘lembu yang meragut rumput di padang yang hanya menanti masa untuk disembelih dan dagingnya pula dijual’.

Oleh : Abdul Hadi Yusof ( Usrah Fikir )

IBU......Along sayangkan IBU...

20.8.2013 M @ 14 Syawal 1434 H

Sayu hati...

Hari ini saya mandikan dua jenazah. Jenazah yg pertama adalah seorang bayi keguguran dan hanya baru berusia 6 bulan tetapi dah cukup sifatnya.

Yg kedua, saya mandikan anak kecil baru berusia 11tahun. Saya nak share dengan teman2 pasal anak kecil yg mulia ini. Anak ini anak yatim. Hanya ada ibu tunggal, mak saudara dan dua adik perempuan yg masih kecil. Bapanya meninggal empat tahun yg lalu.

Diagnosis (punca) kematian anak ini adalah demam panas. Yg menarik nak dikongsi adalah cerita ibu saudaranya tentang kisah beberapa hari sebelum arwah "pergi buat selamanya".

Arwah asyik mengira duit2 raya yang diperolehinya. Kadang2 sampai lima kali sehari sehingga ditegur oleh ibu saudaranya. 

Apabila ditanya, abang nak beli apa? Ditanya kembali kepada ibu saudaranya....Maksu, cukup tak duit ni nak beli baju kurung ibu dgn tudung?

Ibu saudaranya bertanya, kenapa? Anak kecil ini menjawab...dia takut kalau dia mati, tapi ibunya tidak menutup aurat dan tidak berhijab sedangkan dia anak lelaki sulung. Ibu saudara hanya mampu terdiam dan mengalirkan air mata. Hari ini...semasa dia meninggal dunia, anak itu meninggalkan semua duit rayanya bersama sekeping nota... 

"Ibuku sayang, duit yg along tinggalkan ini utk ibu. Ibu gunalah utk beli baju kurung yg tidak terbelah. Along harap sangat ibu beli dan pakai tudung. Bukan tudung yg nampak rambut...tapi hanya nampak wajah ibu yg cantik shj. Along syg ibu...along tak nak ibu masuk neraka. Ustazah kata, kalau tak tutup aurat nanti kepala dibakar. Along taknak ibu dibakar api neraka. Along sygkan ibu dan family kita semua... Sayang Ibu, ALONG"...

Kalau anak sekecil ini, takut akan api neraka...takkan kita tidak terasa akan bahangnya dan masih sanggup melakukan dosa kepadanya. Wallahualam.

Alfatihah buat Along Muhammad Fiqry. Terima kasih kepada Maksu yg sudi share cerita ini selepas saya kafankan jenazah along sebentar tadi. Moga Allah ampunkan dosa along, ibunya dan kita semua. Al Fatihah!

Amir Muttakin
Hospital Ampang, Selangor

Dari : FB Ustaz Shauqi ( Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa Arab ) UPM

Apa kata beliau!!! ISU MESIR


Rampasan kuasa tentera Mesir menggulingkan Presiden Morsi memerlukan analisis lebih mendalam, termasuk sejarah panjang pemerintahan diktator negara itu dan latar belakang mengenai liku-liku perit yang dilalui Ikhwanul Muslimin selama hampir 60 tahun.

Prof Dato' Dr Mohammad Redzuan Othman (gambar), Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya dirasakan tokoh akademik dan pengamat politik Timur Tengah yang paling layak memberikan pandangan terhadap krisis di Mesir. Wakil Harakah, Ahmad Lutfi Othman dan Arif Atan menemubual Dr Redzuan di kediamannya, Sungai Ramal, Kajang, pertengahan Julai lalu.

Soalan :
Presiden pertama Mesir yang dipilih rakyat dalam satu pilihan raya yang diakui adil dan bebas telah digulingkan hanya selepas setahun berkuasa. Ada pihak melihat dalang di sebaliknya adalah pihak Barat, terutamanya Amerika Syarikat. Sebagai tokoh akademik yang lama mengikuti politik Mesir, termasuk gerakan Ikhwanul Muslimin, tentu Prof lebih arif tentang apa sebenarnya yang berlaku?

Jawapan :
Barat sebenarnya sudah lama merancang untuk bertindak dan menindas gerakan Ikhwanul Muslimin yang ditubuhkan pada 1928. Kejayaan Ikhwanul Muslimin mengambil alih kuasa selepas ditindas lebih enam puluh tahun menimbulkan kegusaran, termasuklah juga rejim monarki di negara Arab yang turut merasakan kedudukan mereka akan tergugat jika gerakan Islam ini berjaya mengemukakan alternatif kepada pelbagai kemelut yang dihadapi oleh umat Arab.

Untuk memahami apa yang berlaku di Mesir, kita harus meneliti sejarah yang pernah berlaku sebelum ini. Sejarah penindasan ke atas Ikhwanul Muslimin pada 1948-1954 seolah-olah berulang dengan menggunakan skrip sama. Contohnya, pada 13 Julai lalu, berita menyiarkan bahawa Morsi akan disiasat kerana dikatakan terlibat dalam kegiatan yang memcetuskan keganasan. Pendukung Ikhwanul Muslimin yang dibunuh dan dianinya, tetapi mereka pula yang dituduh.

Nasib yang sama pernah menimpa Ustaz Abdul Qadir Audah, pemimpin Ikhwanul Muslimin yang tersohor yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada tahun 1954 kerana dituduh mencetuskan keganasan dan terlibat dalam komplot cubaan bunuh ke atas Gamal Abd al-Nasser. Bersama-sama beliau yang turut menjalani hukuman gantung, termasuklah Abd al-Fattah Ismail, Muhammad Al-Faghali, Yusof Talaat, Ibrahim al-Tayyeb dan lain-lain.

Pada 1966 Sayyid Qutb dijatuhi hukuman gantung. Bukti yang digunakan dan digembar-gemburkan ialah Ikhwanul Muslimin terlibat dalam kegiatan bersenjata dan pelbagai jenis senjata ditemui di pejabat gerakan tersebut. Ini juga perkara yang dihebohkan oleh tentera Mesir dengan mengatakan bahawa senjata ditemui di ibu pejabat Ikhwanul Muslimin di Moqattam dan penemuan tersebut adalah bagi mengesahkan gerakan ini menaja keganasan dan wajar ditindas.

Tuduhan yang dikenakan ke atas Ikhwanul Muslimin juga hampir sama seperti enam dekad lalu. Bagi mendapat sokongan rakyat tindakan General Abd al-Fattah al-Sisi sama seperti Gamal Abd al-Nasser pada 1954, iaitu mengembleng rakyat menyatakan sokongan kepada beliau melalui Hubbat al-Ahrar (Liberation Rally).

Atas nama sokong kepada regimnya rakyat berhimpun bagi menyatakan sokongan kepada Nasser dan mengutuk Ikhwanul Muslimin. Ini yang dilakukan oleh tentera pada hari ini dengan menaja demonstrasi rakyat bagi menyokong regim dan menolak Ikhwanul Muslimin yang dikatakan antinasional.

Sama seperti kira-kira 60 tahun lalu, tentera tidak ada belas kasihan dan bertindak sewenang-wenang ke atas pendukung Ikhwanul Muslimin termasuk melakukan penindasan kejam. Ternyata penindasan tanpa belas kasihan ini memberi impak yang amat besar kepada Ikhwanul Muslimin.

Tahun 1948-1954 merupakan tahun penuh cabaran kepada Ikhwanul Muslimin. Pada Februari 1949, pengasas dan pemimpinnya, Hasan al-Banna mati ditembak. Sejak itu Ikhwanul Muslimin terus ditindas dan seterusnya diharamkan pada 1954 hinggalah selepas Husni Mubarak diturunkan dari jawatan presiden berikutan berlakunya Kebangkitan Arab pada 2011. Ini bermakna Ikhwanul Muslimin telah diharamkan selama 67 tahun dan ribuan anggotanya pernah dipenjarakan dan puluhan yang lain mati di tali gantung.

Dari segi sejarah, tentera menindas Ikhwanul Muslimin selama hampir enam dekad. Tentera memandang Ikhwanul Muslimin dengan penuh curiga. Dengan menggunakan kekuatan senjata dan kuasa yang dimiliki tentera tidak pernah menunjukkan belas kasihan kepada Ikhwanul Muslimin. Melihat rekod lalu tiada perkara yang boleh menghalang mereka untuk terus berusaha menindas Ikhwanul Muslimin.

Soalan :
Maknanya, apa yang berlaku hari ini mengulangi penindasan kejam terhadap Ikhwanul Muslimin 60 tahun lalu. Apakah mungkin ia mengakibatkan Ikhwan sukar untuk bangkit semula?

Jawapan :
Tentera cuba mengulangi pendekatan yang pernah mereka lakukan lebih 60 tahun lalu. Namun begitu, suasana sudah berubah. General Abd al-Fattah al-Sisi tidak sehebat Nasser dan kemajuan dalam teknologi maklumat menjadikan penipuan dan propaganda yang mengelirukan rakyat tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya.

Natijah kepada konflik Ikhwanul Muslimin dan tentera banyak bergantung sejauh mana gerakan Islam ini mampu bertahan. Rekod yang dimiliki Ikhwanul Muslimin menunjukkan gerakan tersebut mempunyai daya tahan yang luar biasa.

Walaupun enam dekad ditindas dengan para pemimpin utamanya ramai mati dibunuh dan penindasan dilakukan secara berterusan, namun Ikhwanul Muslimin masih bersisa dan mampu bangkit. Inilah yang berlaku pada 2011, walaupun ditindas rejim Mubarak, namun mampu muncul sebagai organisasi yang paling tersusun dan memberikan alternatif kepada rakyat.

Walaupun tentera dan kumpulan anti-Ikhwanul akan menggunakan pelbagai cara untuk menghapuskan pengaruhnya, tetapi suasana 2013 tidak sama seperti 1954. Hari ini Ikhwanul Muslimin mampu membawa jutaan penyokongnya di jalan raya dari seluruh 27 Muhafazah (wilayah) di Mesir.

Namun begitu, situasinya masih sama, iaitu bagi kumpulan anti-Ikhwan yang terdiri daripada penyokong sosialis, nasionalis, liberalis, sekularis dan kelompok tariqat tertentu mereka sanggup mengetepikan perbezaan dan permusuhan sesama mereka semata-mata bagi menentang gerakan Islam ini.

Soalan :
Mengimbau sejarah lalu, Ikhwanul Muslimin yang dizalimi seperti tidak mendapat simpati atau sokongan daripada masyarakat antarabangsa termasuk kalangan kumpulan Islam sendiri. Mengapa terjadi begitu?

Jawapan :
Ketika Gamal Abd al-Nasser menjadi Presiden Mesir beliau berjaya menggerakkan jentera propagandanya sehingga menggelap dan menggerhanakan peranan Ikhwanul Muslimin. Pengaruh beliau cukup hebat hingga pelajar Malaysia yang belajar di Universiti al-Azhar, Mesir pada waktu itupun tidak tahu tentang peranan dan sumbangan Ikhwanul dalam memperjuangkan Islam yang syumul.

Nasser yang tampil dengan imej Islam digambarkan sebagai tokoh pemimpin Islam dan tidak hairanlah apabila beliau mati, terdapat madrasah dan kelompok umat Islam di Malaysia menganjurkan solat ghaib sebagai tanpa kasih kepada "pemimpin Islam yang banyak berjasa".

Sentimen anti-Israel yang dilaungkan Nasser menjadikan beliau dikagumi sehingga umat Islam di Malaysia, termasuk mereka yang pernah belajar di Mesir tidak menyedari kezaliman dan penindasannya ke atas Ikhwanul Muslimin. Ini termasuklah apabila Sayyid Qutb dihukum gantung pada 1966, protes hanya disuarakan sekelompok kecil pelajar Malaysia yang belajar di Barat.

Menariknya, kebangkitan Islam di Malaysia pada awal 1970-an bukan digerakkan lulusan Mesir, sebaliknya oleh mereka yang terpengaruh dengan perjuangan dan pemikiran Ikhwanul Muslimin dalam kalangan pelajar dari universiti tempatan dan mereka yang belajar di Barat.

Pengaruh Ikhwanul Muslimin yang disebarkan melalui buku-buku tokoh-tokoh Ikhwanul yang tersohor seperti Hasan al-Banna, Abd al-Kader Audah, Sayyid Qutb dan lain-lain. Buku-buku ini pula bukan dalam bahasa Arab tetapi dalam bahasa Inggeris seperti buku Maalim Fit Tariq oleh Sayyid Qutb yang lebih dahulu dibaca dengan judul Milestones.

Soalan :
Merujuk kebangkitan rakyat Mesir tiga tahun lalu untuk menumbangkan regim Hosni Mubarak, ada pendapat mengatakan pada peringkat awal Ikhwanul seperti menjauhkan diri dan tidak terlibat. Boleh prof jelaskan keadaan sebenarnya?

Jawapan :
Perkara ini sering dijadikan ungkitan penggerak gerakan 25 Januari yang memaksa Husni Mubarak meletakkan jawatan. Mereka mengatakan Ikhwanul Muslimin menanguk di air keruh dengan mengambil kesempatan daripada kebangkitan.

Memang ada kebenarannya kerana ketika rakyat mula turun ke jalan raya, pada peringkat awalnya Ikhwanul Muslimin mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Pada awal Februari 2011 barulah Ikhwanul Muslimin turut mengerahkan pengikutnya ikut serta dalam protes yang dilakukan.

Pendekatan Ikhwanul Muslimin yang terpaksa mengambil pendekatan berhati-hati mudah difahami kerana gerakan ini sudah terlalu lama berusaha mengerakkan kebangkitan tetapi gagal mendapat sambutan meluas. Sebaliknya, kebangkitan yang mereka anjurkan berakhir dengan tragedi apabila ada ahlinya yang dihukum berat, dipenjarakan dan harta disita.

Hal yang sama pernah berlaku pada 1952 apabila berlaku kebangkitan rakyat menentang Raja Farouk dan British, Ikhwanul Muslimin tidak berada berada di barisan hadapan dan tidak terlibat secara langsung. Apabila Gamal Abd al-Nasser melancarkan revolusi dan berjaya menggulingkan Raja Farouk, Ikhwanul Muslimin dianggap tidak berperanan memainkan peranan sebenar.

Dengan pelbagai pengalaman itu, sebagai usaha mempelbagaikan pendekatan Ikhwanul Muslimin pernah terlibat secara langsung dalam pilihan raya Mesir. Ikhwanul Muslimin sudah terlibat dengan pilihan raya sejak 1984 lagi, walaupun bukan sebagai sebuah parti yang bertanding menggunakan nama gerakan tersebut. Ia pernah bergabung dengan parti Buruh, Parti Wafd dan bertanding secara bebas.

Kejayaan terbesar Ikhwanul ialah apabila berjaya meraih hampir 25 peratus undi dalam pilihan raya Mesir tahun 2007. Namun begitu, kejayaan besar ini bukan memberikan manfaat kepada Ikhwanul Muslimin, sebaliknya gerakan Islam ini semakin ditindas. Penindasan yang berterusan ini mendorong lahirnya dua kelompok kepimpinan dalam Ikhwanul Muslimin.

Kumpulan konservatif merasakan Ikhwanul Muslimin perlu kembali fungsinya yang asal iaitu menumpukan kepada dakwah dan tarbiyyah dan tidak terlibat dalam politik bagi memastikan survival gerakan yang tidak putus-putus ditindas. Kumpulan reformis pula mencadangkan Ikhwanul Muslimin perlu melakukan trasformasi dan mengikut contoh AKP di Turki bagi membolehkan perubahan dilakukan di Mesir.

Dalam muktamar Ikhwanul Muslimin pada 2010, kumpulan konservatif yang diketuai Badaei berjaya menguasai kelompok kepimpinan gerakan Islam itu dengan mengetepikan kumpulan reformis yang diketuai Essam al-Erian.

Soalan :
Bagaimana pula dengan pembabitan Ikhwanul dalam proses pemilihan ahli-ahli Parlimen dan jawatan Presiden Mesir?

Jawapan :
Sebagai kumpulan yang dianggap paling tersusun, Ikhwanul Muslimin ternyata lebih bersedia menghadapi pilihan raya dan berjaya memperoleh kemenangan dalam pilihan raya tahun 2012. Setelah berjaya mendapat kemenangan yang amat memberansangkan dalam pilihan raya parlimen, Ikhwanul Muslimin memutuskan untuk bertanding merebut jawatan presiden.
Pada peringkat awal Ikhwanul Muslimin secara tegas menyatakan mereka tidak berminat dengan jawatan itu. Apabila seorang pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin, iaitu Moneim Abd al-Futuh menyatakan beliau berhasrat bertanding jawatan presiden, beliau dipecat kerana mengingkari keputusan syura.

Apabila Ikhwanul Muslimin memutuskan untuk merebut jawatan presiden, calon mereka ialah Khayrat Shater. Namun begitu, kelayakan beliau untuk bertanding dibatalkan kerana pernah ditahan di bawah pemerintahan Husni Mubarak. Sebagai gantian Muhammad Morsi dipilih sebagai calon. Hal yang sama juga berlaku kepada calon Parti Nour, iaitu, Hazem Abu Ismail yang tidak layak bertanding.

Akhirnya Morsi yang bertanding menentang mantan Perdana Menteri Mesir di zaman Mubarak, iaitu Ahmad Syafiq. Morsi menang dengan 51 peratus undi, walaupun peratus yang keluar mengundi sekitar 32 peratus sahaja. Morsi merupakan Presiden Mesir yang dilantik secara demokratik.

Soalan :
Soalnya, walaupun bertanding menentang Syafiq, yang dikira mewarisi Husni Mubarak, tetapi Morsi hanya mendapat sekitar 52 peratus, tidakkah itu boleh dianggap sokongan yang berbelah-bagi?

Jawapan :
Walaupun Morsi hanya mendapat 52 peratus undi, namun sebagai pilihan raya yang diiktiraf adil, telus dan bebas, beliau dikira mendapat sokongan majoriti. Jumlah yang keluar mengundi sebanyak 32 peratus juga tidak boleh dijadikan alasan bahawa beliau tidak mendapat legitimasi kerana Husni Mubarak menang pilihan raya dan dilantik sebagai presiden dengan kadar keluar mengundi sekitar 10 peratus sahaja.

Disebabkan rakyat tidak yakin dengan pilihan raya, kerana sudah pasti Husni Mubarak akan menang besar menyebabkan rakyat tidak ambil kisah untuk keluar mengundi. Lagipun di Mesir pilihan raya mengambil masa yang panjang. Pilihan raya Mesir yang melibatkan 27 wilayah mengambil masa selama tiga bulan untuk selesai. Pengundian pula dibahagikan kepada tiga peringkat dengan setiap peringkat melibatkan sembilan wilayah.

Pilihan raya Mesir selepas kejatuhan Mubarak dianggap telus, adil dan bebas kerana dipantau hakim. Parti-parti yang bertanding menggunakan pelbagai pendekatan untuk memenangi hati pengundi. Sebagai pertubuhan yang mempunyai jentera di seluruh negara Ikhwanul Muslimin berjaya menggerakkan penyokongnya untuk ke peti undi dan menyokong partinya.

Selain Parti Nour, hanya Parti al-Karamah yang dipimpin Hamden Sabahi yang mampu memberi saingan. Beliau seorang yang berfahaman sosialis dan pengikut Nasser yang setia. Beliau menggunakan bas dua tingkat sebagai pendekatan kempen untuk membolehnya menjelajah ke seluruh negara. Pendekatannya ternyata berkesan apabila berjaya menduduki tempat ketiga dalam pemilihan jawatan presiden. Hamden Sabbahi merupakan salah seorang pemimpin Tamarrod yang bersekongkol dengan tentera dan kumpulam sekular dalam menjatuhkan kerajaan pimpinan Morsi.

Soalan :
Sejarah Ikhwan menunjukkan ia turut berpecah membabitkan kepemimpinan tertinggi setiap kali berlaku peristiwa besar dalam politik Mesir. Apakah kali ini juga berlaku hal sama?

Jawapan :
Ikhwan gagal menyatukan perpecahan apabila ada pemimpin pertubuhan itu bertindak keluar kerana perbezaan dari segi pendekatan. Dakwaan cubaan Morsi untuk "mengIkhwanulkan" Mesir pula tidak lebih propaganda yang sengaja ditiupkan. Morsi cuba untuk buat yang terbaik tetapi malangnya dia mewarisi suatu sistem yang sesiapa pun tidak boleh pegang. Tumbangnya Morsi minggu lepas, Qatar dan Arab Saudi beri USD12 bilion masuk ke Mesir sebagai bantuan 'soft loan'. Raja Abdullah ucap tahniah kepada tentera.

Soalan :
Morsi juga mendapat kritikan keras daripada sebahagian aktivis Ikhwan?

Terdapat dalam kalangan golongan Islamis yang menuduh Morsi terlalu berlembut dan bersikap liberal kerana tidak tegas laksanakan undang-undang syariah. Pihak sekular pula menolak Morsi kerana dikatakan cuba mengikwankan Mesir. Pemerintahan Morsi depan serangan pelbagai penjuru dan keadaan ini dipersulitkan lagi dengan keadaan ekonomi yang semakin parah sehingga menimbulkan kesulitan kepada rakyat.

Soalan :
Politik Mesir tidak dapat dipisahkan daripada pengaruh dan pembabitan proaktif pihak tentera...

Jawapan :
Tentera Mesir bukan sahaja terlibat dalam menjaga keselamatan. Mereka juga terlibat dalam pentadbiran dan menguasai ekonomi. Apabila tentera tidak menyokong Mubarak beliau terpaksa meletak jawatan. Morsi juga dijatuhkan oleh tentera. Ini bermakna selepas ini sesiapa sahaja boleh tumbangkan oleh tentera. Tentera Mesir merupakan golongan elit dan kenaikan Mursi dilihat berisiko menggugat dominasi mereka.

Permusuhan Ikhwanul Muslimin dan tentera telah berakar umbi berdekad-dekad lamanya. Dengan sebab itu apabila apabila Amerika Syarikat menyeru kepada pendemokrasian di Mesir, jawapan Husni Mubarak ialah, “Kalau saya (Mubarak) jatuh, Ikhwanul akan berkuasa”. Bila Ikhwanul Muslimin berkuasa Amerika Syarikat amat khuatir dengan perkembangan ini.

Selain berdepan Mubarak dan AS, Ikhwanul Muslimin juga bertembung dengan kumpulan lain. Mereka termasuklah kumpulan Salafi yang dibiayai Arab Saudi yang berfahaman Wahabi. Ketika zaman Mubarak, beliau menggalakkan kumpulan Tarikaq yang tidak menyokong gerakan Islam. Ini merupakan pendekatan halus bagi melemahkan Ikhwanul Muslimin. Walaupun golongan sekular juga berpecah kepada pelbagai kumpulan tetapi mereka bersatu menentang Ikhwanul Muslimin.

Soalan :
Boleh Prof jelaskan kedudukan dan pengaruh pertubuhan dan parti-parti politik Islam di Mesir?

Jawapan :
Ketika mula berlakunya kebangkitan rakyat Mesir kumpulan Nour mengeluarkan fatwa haram hukumnya menentang Mubarak. Namun begitu, apabila Mubarak jatuh kumpulan ini menyokong kebangkitan rakyat. Dalam konteks politik Mesir, kumpulan Nour merupakan kumpulan Islam yang kedua berpengaruh selepas Ikhwanul Muslimin.

Morsi dilihat terlalu berbaik sangka dengan pihak tentera, yang akhirnya menikam balik dirinya.

Morsi tidak mempunyai banyak pilihan. Dalam pentadbiran Morsi mengambil pendekatan terbuka, termasuklah melantik dalam kalangan orang Kristian dan bukan ahli Ikhwanul Muslimin dalam pentadbirannya. Morsi cuba melakukan pelbagai perubahan dalam tempoh 100 hari pemerintahannya, tetapi amat sukar untuk sesiapa sahaja yang memerintah Mesir melakukan perubahan secara drastik.

Morsi mewarisi sistem ekonomi yang lemah dan sistem sosial yang tidak mantap. Ikhwanul Muslimin cuba bersikap baik dengan tentera seperti pada tahun 1952, tetapi tentera tidak pernah bersangka baik dengan Ikhwanul.

Soalan :
Prof juga banyak mengkaji dan mengikuti dari dekat lanskap politik di Turki. Mungkin ada persamaan di antara kedua-dua negara ini dan apakah pengalaman berharga yang dilalui Erdogan dan partinya yang mungkin boleh dikongsi dengan realiti di Mesir?

Jawapan :
Cubaan untuk mempraktikkan politik Islam di Mesir nampaknya lebih sukar berbanding Turki yang tebal dengan amalan sekularisme. Walaupun demikian di Turki terdapat dua parti sekular iaitu Republikan dan Demokrat.

Walaupun kedua-dua parti berfahaman sekular, namun tidak ada titik pertemuan di antara kedua-duanya, dan malahan lebih bersedia untuk bekerjasama dengan parti Islam daripada berpakat sesama mereka. Akhirnya parti Islam itu berjaya memerintah seperti yang berlaku pada 1996 apabila Parti Refah berjaya membentuk kerajaan walaupun dengan sokongan 21 peratus undi sahaja.

Soalan :
Ada pihak bimbang Mesir mungkin mengulangi tragedi berdarah di Syria yang tidak berpenghujung...

Jawapan :
Tidak dapat dinafikan terdapat kebimbangan ini. Namun begitu, situasi di Syria agak berbeza kerana di Mesir masyarakatnya tidak terbahagi kepada puak. Kekhuatiran yang lebih besar ialah Mesir akan kembali kepada zaman 1970-an dan 1980-an apabila kumpulan Islam mengambil pendekatan bersenjata sehingga menyebabkan berlakunya pertumpahan darah yang tiada penghujung.

Bagi pendukung gerakan Islam termasuk Ikhwanul Muslimin kemungkinan untuk terjerumus kepada pendekatan ini tidak boleh ditolak apabila mereka ditindas tanpa belas kasihan. Bagi Ikhwanul Muslimin pengalaman sejarah mengajar mereka untuk berjuang hingga ke titisan darah terakhir. Dalam kemelut yang berlaku sama ada mereka menang atau pasti ditindas secara berterusan sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini.

Pengalaman di Algeria juga merupakan iktibar yang amat menjadi keprihatinan kepada aktivis Ikhwanul Muslimin apabila demokrasi yang diwujudkan di negara tersebut menghalang FIS daripada terlibat dalam politik dan bertanding dalam pilihan raya. Pendekatan tentera dan kumpulan sekular hari ini menjurus ke arah tersebut yang berusaha menyisih Ikhwanul Muslimin daripada berperanan dalam proses politik di Mesir.

Realiti hari ini menunjukkan Ikhwanul Muslimin berdepan cabaran hebat untuk menentukan survival masa depannya. Penentuan masa depannya amat bergantung kepada sejauh mana ia dapat terus bertahan dan konsisten dalam perjuangan serta dengan strategi yang lebih baik daripada pihak lain yang menjadi musuh politiknya.

Ikhwanul Muslimin bukan sahaja berdepan musuh politik dalam negeri, tetapi juga daripada AS dan Israel yang mempunyai kepentingan dan tidak mahu melihat gerakan Islam ini berpengaruh. Walaupun AS menjuarai demokrasi, tetapi negara kuasa besar itu bersifat hipokrit dalam isu pergolakan politik di Mesir yang menyebabkan Morsi dilucutkan jawatan. AS dan negara barat tidak bersuara lantang apabila tentera “merampas kuasa” di Mesir, tetapi memprotes apabila berlakunya rampasan kuasa di Fiji, Maldive dan lain-lain.

Anehnya, rampasan kuasa di Mesir bukannya dikutuk, tetapi sebaliknya dijanjikan dengan bantuan kewangan. Arab Saudi dan beberapa negara Teluk yang merupakan sekutu kuat AS dan amat khuatir dengan perluasan pengaruh Ikhwanul Muslimin menjanjikan bantuan sebanyak USD 12 billion kepada Mesir sebaik-baik sahaja Morsi dilucutkan jawatan oleh tentera.

Perkembangan di Mesir memperlihatkan manifestasi sikap “double standard” Barat terhadap Islam. Walaupun Morsi dilantik secara demokrasi, tetapi cara beliau diturunkan tidak bersifat demokratik.

Jika demonstrasi jalanan dijadikan tanda aras bagi mengukur populariti bukannya melalui sokongan peti undi, demokrasi di Mesir bukan maju ke hadapan. Sebaliknya, Mesir masih terus berada pada zaman gelap seperti rejim-rejim lalu dan hasrat generasi muda negara itu untuk mewujudkan masyarat yang mampu bersaing dengan negara lain akan terus tinggal impian semata-mata.

17 Ogos 2013

IA TIDAK PERNAH BERAKHIR




SALAM SYAWAL....1434 H
RAMADHAN TELAH BERLALU
TETAPI BUKANNYA PENGHUJUNG PERJUANGAN....
BAHKAN SEBAGAI PENYUNTIK SEMANGAT BADAR UNTUK TERUS MEMBELA.

PERJALANAN DAKWAH MASIH JAUH DAN TIDAK PERNAH ADA PENGHUJUNG
TERUSKAN MELANGKAH

LAGI DAN LAGI 

BRO AL BANNA



14 Ogos 2013

Perihal Puasa Enam

Persoalan tentang puasa enam: 


Soalan:
Bolehkah digandingkan niat qadha puasa Ramadan dengan puasa sunat syawal sekali?
Apakah kita akan mendapat pahala kedua-duanya sekali? 

Adakah ada hari tertentu untuk puasa bagi mendapat kedua-dua pahala ini ?

Jika tidak, amalan bagaimana lebih afdal?

Terima kasih



Jawapan :

Persoalan pertama berkaitan niat puasa ganti Ramadan yang tertinggal adakah mendapat pahala puasa sunat Syawal.

Berkaitan perkara ini memang merupakan suatu perkara yang khilaf (perbezaan pandangan) di kalangan ulama.

Pendapat pertama: Sebahagian ulama berpendapat, tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan niat puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain. Sekiranya dilakukan, maka puasa itu tidak sah, sama ada bagi yang fardhu ataupun yang sunat. 

Pendapat ini bertepatan dengan sabda Nabi SAW:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ صَامَ الدَّهْر

Maksudnya: "Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari bulan Syawal maka seolah-olah dia telah berpuasa setahun". (HR Muslim)

Bagi memenuhi maksud hadis ini, sebagai usaha memperolehi pahala yang dijanjikan iaitu pahala berpuasa setahun, maka hendaklah dia menyempurnakan puasa Ramadan (yang merupakan puasa wajib) kemudian ditambah dengan puasa enam hari di bulan Syawal (yang merupakan puasa sunat). [Syeikh Muhammad Sholih Al-Munajid – www.islamqa.com]

Pendapat kedua: Di kalangan ulama mazhab Syafie ada yang berpendapat bahawa ganjaran puasa enam Syawal tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha sekalipun dia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya. 

Namun, pahala yang diperolehi itu adalah kurang berbanding seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. [Fatawa al-Azhar 9/261]

Setelah diteliti, dapat disimpulkan bahawa pendapat kedua iaitu pandangan ulama yang membolehkan ‘puasa dua dalam satu’ ini tidak disandarkan kepada mana-mana nas Al-Quran ataupun Al-Sunnah yang sahih. Mereka juga mengatakan bahawa amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qadha pada bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyyatul masjid dengan solat fardhu (orang yang terus mengerjakan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyyatul masjid)

Timbul persoalan, yang manakah yang lebih afdal untuk dilakukan bagi memperoleh pahala kedua-duanya; mendahulukan puasa sunat enam hari dalam Syawal atau mengqadhakan puasa Ramadan? 

Dalam persoalan ini terdapat dua pendapat.

Pendapat pertama: Boleh mendahulukan puasa sunat Syawal, berdasarkan hadis Aishah RA yang menyatakan bahawa:

( كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إلَّا فِي شَعْبَانَ. قال يحيى:الشغل من النبي أو بالنبي )

Maksudnya: “Aku berpuasa di bulan Ramadan dan aku tidak mengqadha kecuali dalam bulan Syaaban”. Kerana sibuk melayani Rasulullah SAW.” (HR Bukhari:1950, penjelasan “kerana sibuk melayani Rasulullah SAW” ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Said.)

Para ulama yang mengemukakan pendapat pertama berhujah bahawa sudah tentu isteri Rasulullah SAW iaitu Aishah RA tidak meninggalkan puasa sunat enam Syawal. Tindakannya yang mengqadhakan puasa Ramadan pada bulan Syaaban menunjukkan bahawa adalah dibolehkan untuk berpuasa sunat Syawal meskipun seseorang itu belum mengqadhakan puasa Ramadan.

Pendapat kedua: Tidak boleh mendahulukannya, berdasarkan hadis yang menyatakan kelebihan puasa sunat Syawal tadi. Rasulullah SAW mensyaratkan puasa Ramadan terlebih dahulu sebelum mengiringinya dengan puasa enam Syawal bagi mendapatkan ganjaran pahala yang dijanjikan.

"Jika seseorang tertinggal beberapa hari dalam Ramadan, dia wajib berpuasa ganti terlebih dahulu, lalu kemudian baru boleh melanjutkannya dengan enam hari puasa Syawal, kerana dia tidak boleh melanjutkan puasa Ramadan dengan enam hari puasa Syawal, kecuali dia telah menyempurnakan Ramadannya terlebih dahulu." [Fataawa Al-Lajnah Ad-Daa'imah lil Buhuuth wal Ifta', 10/392]

Sekiranya diteliti , maka pendapat kedua adalah lebih rajih (kuat) kerana ia bertepatan dengan dalil puasa sunat Syawal itu sendiri.

Selain itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan daripada memberi sedekah yang sunat.

Namun, sekiranya seorang itu tidak berkesempatan kerana keuzuran untuk melakukan qadha kemudian berpuasa enam, tetapi dia berkeyakinan bahawa akan sempat mengqadhakannya sebelum Ramadan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama tadi boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Ummul Mukminin Aishah RA.

Manakala berkaitan hari-hari yang tertentu pula, dinyatakan bahawa:

"Hari-hari ini (berpuasa dalam bulan Syawal) tidak harus dilakukan langsung setelah Ramadan. Boleh melakukannya satu hari atau lebih selepas 1 syawal iaitulah hari raya, dan mereka boleh melakukannya secara berurutan atau terpisah selama bulan Syawal, mana-mana yang lebih mudah bagi seseorang. ... dan ini (hukumnya) tidaklah wajib, melainkan sunnah."
[Fataawa Al-Lajnah Ad-Daa'imah lil Buhuuth wal Ifta', 10/391]


Imam An-Nawawi RH berkata:


"Sahabat-sahabat kami berkata: Adalah dianjurkan untuk berpuasa 6 hari Syawal. Dari hadis ini mereka berkata: Sunnah mustahabah ( digalakkkan ( melakukannya secara berurutan pada awal-awal Syawal, tapi jika seseorang memisahkannya atau menunda pelaksanaannya hingga akhir Syawal, ini juga dibolehkan, kerana ia masih berada pada makna umum dari hadis tersebut. Kami tidak berbeza pendapat mengenai masalah ini dan inilah juga pendapat Ahmad dan Abu Daud." [Al-Majmu' Syarh Al-Muhazzab]

Adalah dianjurkan untuk menyegerakan dan berlumba-lumba dalam melakukan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah Taala:

وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amalan yang baik untuk mendapat) ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.” [Surah Ali Imran:133]

Wallahu a’lam.

05 Ogos 2013

Ramadhan di Bumi Asing ~


Subhanallah..tanpa disedari, begitu cepat masa berlalu. Hampir setahun aku berada jauh di rantau orang.  Bulan Ramadhan yang seakan-akan  baru sahaja tiba semalam, rupa-rupanya cuma tinggal kurang dari seminggu untuk diakhiri. Oleh itu, ingin aku coretkan serba-sedikit pengalamanku menyambut Ramadhan di sini sebagai perkongsian bersama rakan-rakan di tanah air tercinta. 

Pada awal kedatanganku ke negara matahari terbit ini, timbul sedikit  kerisauan tentang bagaimana agaknya keaadaanku ketika bulan puasa yang dijangka tiba pada musim panas. Hal ini disebabkan oleh perubahan musim dan cuaca yang tidak menentu di sini. Perbezaan jarak waktu siang dan malam yang sentiasa berubah-ubah juga menggusarkan aku. 

Jika pada musim sejuk, waktu malam yang lebih panjang dari waktu siang menjadikan hari-hari begitu cepat berlalu. Jika berpuasa pada waktu tersebut, tentu waktu berpuasa menjadi sangat singkat kerana dimulai pada jam lebih kurang pukul 6 pagi dan berakhir kira-kira pukul 4 petang. Namun begitu, pada musim panas seperti ini, matahari sudah mula terbit pada lebih kurang pukul 2.30 pagi dan terbenam pada waktu maghrib yang tiba kira-kira jam 7.00 malam.

Ada beberapa sebab yang menjadikan aku risau pada ketika itu. Salah satunya adalah melalui pengalamanku sebelum bulan Ramadhan iaitu setelah beberapa kali hampir pitam di dalam keretapi dek kerana diserang pening kepala dan sakit perut akibat lambat sampai di asrama untuk makan malam. Jarak perjalanan yang jauh daripada asrama hingga universiti tempatku belajar yang memakan masa kira-kita 30 minit menaiki keretapi ditambah pula 15 minit berjalan kaki perlu aku hadapi hampir setiap hari. 

Tambahan pula, waktu rehat yang hanya sekali pada jam 12.00 tengah hari diikuti kelas yang berturut-turut dari waktu pagi dan berakhir lebih kurang jam 6.00 petang menyukarkanku untuk mencari makanan bagi mengalas perut. Disebabkan hal tersebut, aku sering bertanya kepada diri sendiri, mampukah aku bertahan ketika bulan puasa nanti. Aku hanya berserah pada Allah. Dia lebih mengetahui apa yang terbaik bagi aku.

Alhamdulillah, kini, setelah hampir sebulan berpuasa, tidak ada sebarang masalah yang timbul. Walaupun aku perlu bersahur seawal jam satu atau dua pagi, semua itu lansung tidak menjadi masalah walaupun aku hanya boleh tidur kira-kira pada jam 3.00 pagi setelah bersahur dan menunaikan solat subuh. Hal ini kerana aku risau tidak dapat bangun untuk bersahur dan terlepas waktu subuh jika aku tidur lebih awal. Tambahan pula, ketiadaan ibu yang sentiasa mengejutkan aku untuk bersahur seperti selalu menjadikan aku perlu belajar untuk berdikari di sini.

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya....”
                                                                       [Surah Al-Baqarah (2): ayat 286]

Seperti firman Allah di atas, hari-hari yang berlalu juga menjadi begitu lancar dan seakan-akan tidak terasa perjalanannya. Setiap kelas dan aktiviti yang dianjurkan juga Alhamdulillah dapat  kuhadiri  tanpa rasa letih dan lemah walaupun ketika berpuasa. Rakan-rakan yang bukan beragama Islam disini juga sangat memahami keadaanku dan seorang lagi rakanku yang beragama Islam disini. Mereka sentiasa mengelakkan diri dari makan di hadapan kami dan kadangkala sanggup tunggu untuk makan bersama-sama ketika waktu berbuka puasa. Selain itu, ada juga diantara mereka yang sangat berminat untuk mencuba berpuasa bersama kami bagi merasai pengalaman berpuasa seperti orang Islam. Semoga mereka terpilih sebagai orang yang diberikan hidayah oleh Allah s.w.t..amin...

Namun begitu, cuma satu perkara yang membuatkanku sedih ketika menjalani ibadah puasa dan beraya di sini, iaitu tiada keluarga di sisi dan suasana yang tidak sama ketika di Malaysia. Di sini, boleh dikatakan hampir setiap hari aku hanya makan makanan segera ketika bersahur dan berbuka puasa. Tiada ayam percik, laksa, nasi ulam dan sebagainya. Pada ketika inilah, aku dapat belajar erti bersyukur dan menghargai setiap makanan yang ada kerana tidak semua makanan yang boleh dimakan disini. Saudara-saudara muslim di Palestin, Syria dan negara lain sudah tentu mengalami nasib yang lebih teruk jika dibandingkan denganku disebabkan kesukaran mendapatkan makanan, bukan?..

Aku juga sedar betapa beruntungnya berada di negara Islam seperti Malaysia. Tiada kesukaran untuk beribadah, keselamatan terjamin dan yang paling penting suasana sekeliling yang terdiri daripada majoriti masyarakat yang mengamalkan Islam dalam kehidupan harian. Walaupun hanya setahun menjadi perantau dan cuma sekali berpeluang berpuasa di negara orang, pengalaman ini cukup untuk menyedarkan aku akan betapa pentingnya kita memartabatkan Islam dan menjalankan perintah Allah walau di mana sahaja kita berada. Selaku khalifah di atas muka bumi ini, kita tidak boleh lari dari tugas menyebarkan Islam walaupun dengan hanya menunjukkan akhlak dan ajaran Islam yang sebaiknya.

·         Teringat kata-kata yang dipetik dalam salah satu usrah bersama senior KBM,
“Janji Allah itu pasti. Islam pasti akan tertegak dengan megah di atas bumi ini suatu hari nanti. Tetapi alangkah bertuahnya jika kita terpilih menjadi salah seorang yang tergolong dalam kalangan pejuang yang menyumbang untuk kejayaan tersebut.” ..InsyaAllah..amin..

Terima kasih kerana membaca..Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir & Batin.