28 April 2012

Buktikan Kita Bukan Munafik!

Salah satu perkara penting yang diremehkan saat ini oleh umat Islam masa kini adalah solat Subuh berjemaah di masjid. Permasalahan ini telah disentuh secara serius dalam Usrah Qiadah KBMUPM bertarikh 24 April 2012 yang lalu. Sungguh jelas, sejarah telah mencatatkan adanya kepincangan semangat beribadah antara umat Islam masa kini dan beberapa generasi awal Islam.

Sebagai contoh, Imam Malik dalam buku beliau yang terkenal, al-Muwathta’, ada menyebut kisah Umar bin Khatthab terkena tikaman pedang yang menjadi penyebab kematiannya. Beliau mengalami luka parah dan mengerang kesakitan. Namun, apabila beliau dikejutkan ketika masuk waktu Subuh, beliau dengan segera bangun dengan penuh bersemangat dan menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid. Subbahanallah! Padahal lukanya masih mengalir darah kesan dari tikaman tersebut.

Lihat pula keadaan Anas bin Malik. Dalam buku ’21 Tip Bagi yang Sukar Solat Subuh’ nukilan Shaikh Muhammad Shalih al-Munajjid dan Syaikh Murid al-Kullab, ada diceritakan bahawa Anas bin Malik akan menangis dengan penuh penyesalan setiap kali mengenangkan peristiwa penakhlukan kota Tustar. Tahukah anda, mengapa beliau menagis?


Sebabnya ialah kerana penakhlukan benteng Tustar itu dilakukan sesaat setelah terbitnya fajar. Tustar adalah sebuah kota di Parsi. Benteng tersebut telah berjaya dikepung oleh kaum Muslimin selama satu setengah tahun. Apabila pasukan Islam berjaya menembus masuk ke dalam benteng, maka terjadilah pertempuran dasyat antara 30 ribu orang pasukan Islam dan 150 ribu orang pasukan Parsi. Pertempuran sengit tersebut berakhir dengan kemenangan kaum Muslimin. Lantas, Anas bin Malik menangis setelah sedar bahawa dia telah melalaikan solat Subuh sekali dalam hidupnya.

Kata Anas, “Apakah ertinya Tustar? Jika aku telah melalaikan solat Subuh dan aku tidak akan senang walaupun satu dunia diberikan kepadaku sebagai ganti solat Subuh yang terlambat ini.”

Dalam buku tersebut juga ada disebutkan tentang kisah Yahya bin Abdurrahman Mahdi. Ayahnya menceritakan bahawa suatu malam, Yahya bangun untuk menghidupkan malamnya dengan solat Tahajjud dan ibadah lain. Namun, apabila fajar menjelang, dia merebahkan dirinya di atas katil sehinggalah terbit matahari. Akibatnya, dia gagal mengerjakan solat Subuh secara berjemaah di masjid.

Walhal, dia sebenarnya hanya ingin tidur sebentar setelah penat mengerjakan solat malam. Sayangnya, dia langsung tidak mendengar azan Subuh yang bekumandang. Lantaran itu, dia berjanji pada dirinya agar tidak tidur di atas katil hingga kedua-dua pahanya dipenuhi bisul, semata-mata agar dia tidak kehilangan solat Subuh berjemaah sekali lagi. Subbahanallah!

Lihatlah keadaan kita di zaman ini. Kita tidak sakit, tidak terlibat dalam pertempuran sengit malah tidak juga kepenatan kerana terlalu lama mengerjakan solat malam. Namun demikian, kita masih lagi berasa berat dan susah untuk bangun menunaikan solat Subuh berjemaahdi masjid. Situasi apakah ini?

Ini petanda awal rapuhnya keimanan kita dan beraninya kita meremehkan perintah Allah. Bagi kesalahan yang besar ini, kita tidak pula menangis sebagai ungkapan penyesalan kepada Allah, seperti yang telah dilakukan oleh Anas bin Malik.

Kita patut mengkritik diri sendiri tatkala kita masih berasa berat untuk bangun menunaikan solat Subuh di masjid. Tanyakan kepada diri kita,

“Apakah aku termasuk dalam kalangan orang-munafik atau telah terdapat tanda-tanda kemunafikan dalam diri?”

Renungkan dan fikirkanlah apa yang telah menular dalam iman kita. Contohnya, kita berniat memulakan perjalanan dan jadualnya pada pukul tiga pagi. Sudah pasti kita akan bangun untuk menepati jadual perjalanan itu. Akan tetapi, mengapa kita tidak bersemangat untuk bangun menepati jadual solat Subuh berjemaah?

Hayatilah ucapan Abdullah bin Mas’ud ini:

“Kami selalu melaksanakan solat Subuh berjemaah bersama Nabi saw, dan tidak ada seseorang pun yang tidak menghadirinya kecuali dia adalah seorang munafik yang jelas kemunafikannya” (HR Muslim dalam kitab al-Masajid)

Yang jelas, karakter bagi orang-orang munafik pada zaman Rasulullah saw adalah mereka berasa berat dan tidak sanggup menghadirkan diri untuk solat Subuh dan Isyak berjemaah di masjid.

BUKTIKAN BAHAWA KITA BUKAN MUNAFIK!

Bagaimana cara membuktikannya? Mulai esok pagi, hilangkan rasa mengantuk yang menjerat dan lemparkan rasa malas yang membelenggu diri. Bangun dan pergilah ke masjid. Bergabunglah dengan barisan umat Muslimin dalam solat Subuh berjemaah.


Saya mohon kepada Allah swt agar memberikan taufik dan hidayahNya kepada sekalian umat Islam, khususnya sahabat-sahabat KBMUPM serta diri saya agar kita semua mampu melaksanakan solat Subuh dengan sempurna dan tepat pada waktunya, inshaAllah.




Penulis ialah pelajar sepenuh masa Bacelor Sains dan Teknologi Makanan di Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, UPM yang juga Timbalan Presiden 1, Kelab Bimbingan Mahasiswa UPM.

Tiada ulasan: