“Sah, ini memang rumah Azmin!”
Begitulah duga Rais ketika dia dan rakan sekuliahnya,
Hamidi tiba di hadapan sebuah rumah teres usang yang telah luntur catnya. Pokok
jambu madu rendang di halamannya menguatkan lagi keyakinan kedua-dua sahabat
itu.
“Aku pun rasa begitu. Azmin ada beritahu aku di halaman
rumah dia ada sebatang pokok jambu madu,” balas Hamidi sambil menganguk-angguk
sambil mematikan enjin motornya.
Tanpa mereka sedar, Azmin sedang memerhatikan mereka dari
beranda rumah sewanya. Dia awal-awal lagi telah berdiri di situ menanti Rais dan
rakannya tiba. Apa tidaknya, kali terakhir mereka bertemu adalah setahun yang
lalu iaitu ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang.
Kerinduan yang amat sangat mendorong Azmin berlari ke pintu pagar rumahnya
sambil mulutnya bertakbir dan memuji kebesaran Allah kerana menemukan mereka
kembali. Tercengang-cengang Hamidi melihat gelagat Rais dan Azmin —
berpelukan sambil air mata mengalir laju membasahi pipi kedua-duanya.
“Mungkin inilah yang dinamakan sahabat, dan inilah maksud
ukhuwah fillah yang sering disebut-sebut oleh oleh naqibku,” bisik hati
kecilnya.
*****
Di ruang tamu rumah bujang itu telah pun terhidang juadah
makan tengah hari untuk mereka bertiga. Hamidi pantas menyesuaikan diri dengan
situasi. Dia tidak kekok ‘ditinggalkan’ oleh Rais dan Azmin yang begitu ghairah
berbicara tentang kenangan mereka berdua sewaktu di sekolah menengah dahulu. Antara
cerita yang paling menyentuh hati Hamidi ialah sewaktu Azmin hampir lemas
ketika mandi bersama rakan-rakan lelaki sealirannya di kolam renang di kaki
Bukit Larut. Raislah yang menyelamatkannya. Semenjak peristiwa itu, mereka
berdua menjadi sahabat baik yang begitu akrab.
Namun, Azmin bijak melayani kedua-dua tetamunya itu. Perbualannya
dengan Rais diseimbangkan dengan bertaaruf bersama Hamidi, sambil mereka
menjamu juadah ringkas di rumah bujang itu. Baginya, tetamu datang membawa
rahmat. Justeru, penting untuknya menjaga hati dan tidak membuatkan mana-mana
tetamunya tersinggung dek kepetahan mulutnya berbicara.
*****
“Sedap betul sambal udang tadi. Azmin masak sendiri ke?” soal
Hamidi ketika Azmin mengajaknya dan Rais meninjau-ninjau keadaan dalam rumah itu.
“Alhamdulillah, terima kasih. Aah, aku masak sendiri. Itu
resepi mak aku,” jawab Azmin yang dari tadi tak lekok dengan senyuman.
“Kau dah pandai memasak ke? Aku tengok dapur kau ni bersih
je, macam tak pernah berasap pun,” celah Rais yang gemar menyakat Azmin
semenjak zaman sekolah lagi.
“Aku belajar dari mak aku waktu cuti semester dulu. Dah guna
dapur, kenalah bersihkan. Itukan tuntutan agama kita. Lagipun, ini tempat
menyediakan makanan, sesuatu yang kita nak masukkan ke dalam badan kita, dan
jadi darah daging kita,” jelas Azmin yang makin petah mematahkan setiap usikan
Rais.
Nyata pengalaman beliau memimpin kumpulan aktivis anak muda
ketika ini banyak mengubah Azmin. Dahulu, dia seorang pendiam dan pemalu
walaupun otaknya bergeliga. Namun kini, dia adalah anak muda yang lantang
bersuara dan buah fikirannya ditagih banyak pihak.
Nota: Penulis merupakan pelajar sepenuh masa di Universiti Putra Malaysia (UPM), merangkap Timbalan Presiden Kelab Bimbingan Mahasiswa UPM. Kisah ini hanyalah cereka minda penulis semata-mata dan
bermaksud untuk dijadikan cerita nasihat sahaja. Penulis memohon maaf sekiranya
entri kali ini menyentuh peribadi mana-mana individu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan