06 Februari 2013

Kisah Mahasiswa



Saya sempat hadir ke satu program bersama Prof Madya Shaharudin Badaruddin, Prof Redzuan Osman dan turut menampilkan Dato Dr Siddiq Fadzil. Program ini membahaskan pelbagai isu namun ada beberapa isu yang menarik perhatian saya.

Prof Madya Shaharudin Badaruddin mengajak pimpinan gerakan mahasiswa agar memperjuangkan isu hak biasiswa yang dijamin oleh perlembagaan negara disamping membahaskan dengan lebih mendalam persoalan pendidikan percuma dan isu PTPTN. Persoalan samada pendidikan percuma wajar dilaksanakan atau tidak, samada PTPTN wajar dimansuhkan atau dikekalkan sering menjadi perhatian ramai pihak namun persoalan hak biasiswa yang telah dijamin oleh perlembagaan negara ini kadangkala kurang diberi perhatian dan oleh kerana itulah isu ini wajar diperjuangkan oleh gerakan mahasiswa.

Kewujudan  campur tangan terhadap urusan lembaga  pengarah universiti, mempengaruhi dan menekan Naib Canselor Universiti oleh pimpinan parti politik turut disentuh oleh Prof Madya Shaharudin Badaruddin dan beliau turut menjelaskan bagaimana wujudnya ketakutan di kalangan ahli akademik sendiri dalam menyatakan kebenaran terhadap sesuatu isu.

Beliau juga mengharapkan pelbagai pihak agar mampu membezakan antara kerajaan-negara dan  parti politik yang memerintah kerajaan-negara dan menurut beliau pegawai kerajaan perlu setia dan menjalankan tugas selaku pegawai kerajaan tapi mereka tetap mempunyai hak  untuk memilih secara bebas parti politik mana yang menjadi pilihan mereka untuk memerintah kerajaan-negara.

Beliau juga mengharapkan agar pendidikan politik kepada rakyat Malaysia keseluruhannya  khususnya mahasiswa diperkasakan lagi dengan lebih meluas.

Prof Redzuan Osman pula menyelar sikap segelintir pensyarah dan ahli akademik yang hanya memikirkan persoalan naik pangkat dan naik gaji berbanding memikirkan  usaha memberi  kesedaran kepada mahasiswa. Beliau menyorot sejarah bagaimana pensyarah dan ahli akademik era 70 an yang sanggup turun padang bersama-sama mahasiswa dalam memberi kesedaran terhadap sesuatu isu. Mengulas persoalan Naib Canselor bagi beliau masih wujud Naib Canselor yang disifat beliau neutral dan liberal dalam hal kebebasan politik namun beliau menegur  pihak HEP yang disifatkan beliau sebagai satu lantikan politik.

Menurut Prof Redzuan Osman, pihak Universiti sepatutnya memberikan  kebebasan dan peluang untuk mahasiswa dan ahli akademik berfikir  sesuai dengan universiti sebagai pusat pendidikan, tidak menyekat kebebasan mahasiswa namun boleh memberi panduan kepada mahasiswa  dan bagi beliau tahap kesedaran politik mahasiswa hari ini sangat kurang bahkan amat rendah. Situasi ini berlaku semenjak AUKU diperkenalkan dan kerana itulah menurut Prod Redzuan Osman ,idealisme mahasiswa mati.

Beliau menceritakan pengalaman beliau bersama mahasiswa yang mencapai CGPA 3.0 ke atas yang mungkin semakin ramai dan biasa yang menurut beliau ‘nampak macam pandai tapi tak pandai’ berdasarkan kualiti mereka yang sangat rendah disebabkan kurangnya pendedahan dan kegagalan menguasai kemahiran berkomunikasi .

Dato Dr Siddiq Fadzil pula berpandangan mahasiswa- anak muda sekarang ini telah dikorbankan dan beliau menegur mahasiswa yang menjadi penakut tetapi mengatakan tidak pelik dengan mahasiswa yang menjadi penakut memandangkan pensyarah- Naib Canselor, pemimpin juga menjadi penakut.

Menurut beliau ‘’bagaimana kita mahu melahirkan bangsa yang  berani kalau pemimpin pun penakut’. Beliau mengupas tentang kerosakan elit politik dan elit ekonomi dan menjelaskan kini wujudnya kerosakan elit akademik. Bagi beliau ramai ahli akademik sekarang ini yang terlalu mengejar pangkat, kedudukan dan gelaran.

Beliau menasihatkan pimpinan mahasiswa agar terus menggilap idealisme dan dengan nada serius tapi berisi gurauan sinis beliau mengatakan ,’’kematian idealisme alamat kiamat sudah dekat’’.


Dipetik dari: wasif.wan@facebook.com

Tiada ulasan: