06 Mei 2013

Siapa Ketuaku?


            Hmm, cepat sungguh masa berlalu. Pejam celik sudah 5 tahun berlalu dan kini tiba masa Pilihan Raya Umum ke-13. Walaupun berada jauh di tempat orang dan tidak dapat mengundi pada kali ini, tetapi bahang kehangatan dan semangat mengundi rakyat Malaysia dapat saya rasakan apabila di wall facebook saya penuh dengan pelbagai cerita berkaitan pilihanraya. Semuanya cuba mempromosikan  parti yang disokong masing-masing dan tidak kurang yang mengkritik dan menghina pemimpin parti-parti yang terlibat.
            Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk kita renungkan mengenai satu perkataan yang menjadi topik hangat pada masa ini, iaitu PEMIMPIN, menurut perspektif Islam.

Siapakah Pemimpin?
"Setiap kalian adalah pemimpin dan bertanggung jawab atas apa yang di pimpinnya, Seorang penguasa adalah pemimpin bagi rakyatnya dan bertanggung jawab atas mereka, seorang isteri adalah pemimpin di rumah suaminya dan dia bertanggung jawab atasnya. Seorang hamba sahaya adalah penjaga harga tuannya dan dia bertanggung jawab atasnya.
(Hadith Riwayat Bukhari) 

Kita juga perlu ingat bahawa antara salah satu sebab kita diwujudkan di atas muka bumi ini adalah untuk menjadi pemimpin (khalifah) seperti firman Allah dalam kitab suci Al-Quran:
Dan (ingatlah) ketikanTuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan khalifah di bumi.” Mereka berkata, “Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?” Dia berfirman, “Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”
[ Surah Al-Baqarah (2) : ayat 30]

Namun, memimpin adalah amanah dan tanggungjawab yang akan dipersoalkan di akhirat nanti. Amanah dan tanggungjawab ini tidak akan terlaksana tanpa adanya pemimpin yang berwibawa memiliki ciri-ciri dan sifat-sifat yang tertentu, sesuai dengan tugas dan tanggungjawabnya, mengajak manusia mengabdikan diri sesungguhnya kepada Allah swt, melalui kerja-kerja memakmurkan bumi Allah swt, melakukan islah, menegakkan kebenaran, menwujudkan keamanan, keharmonian dan kesejahteraan dalam masyarakat dan negara. Oleh itu, kita perlu melantik pemimpin yang sebaiknya supaya amanah yang diperintahkan oleh Allah dapat kita tunaikan sebaik mungkin.

Apakah ciri-ciri Pemimpin yang Baik?

  1)    Sentiasa Menggunakan Hukum Allah dalam Menyelesaikan Setiap Masalah yang Dihadapi :
"Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul (Muhammad), dan ulil amri (pemegang kekuasaan) di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah kepada Allah (Al Qur’an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya".
[Surah An-Nisa’ (4) : ayat 59]

Maka demi tuhanmu, mereka tidak beriman sebelum mereka menjadikan engkau (Muhammad) sebagai hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, (sehingga) kemudian tidak ada rasa keberatan dalam hati mereka terhadap putusan yang engkau berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.”
[Surah an-Nisa’ (4) : ayat 65]
  2)    Adil
“Hai Daud! Sesungguhnya engkau Kami jadikan khalifah (penguasa) di bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah engkau mengikuti hawa nafsumu, kerana akan menyesatkan engkau dari jalan Allah. Sungguh, orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan”.
[Surah Shaad (38) : ayat 26]

Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu)  berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi bantuan kepada kerabat, dan Dia melarang (melakukan) perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.
[Surah an-Nahl (16) : ayat 90]

  3)    Jujur dan Amanah
“Dan janganlah kamu campuradukkan kebenaran dengan kebatilan dan (janganlah) kamu sembunyikan kebenaran, sedangkan kamu mengetahuinya.”
                                                                                              [Surah Al-Baqarah (2) : ayat 42]

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.”
                                                                                              [Surah Al Anfal (8) : ayat 27] 
  4)    Berilmu
Seorang pemimpin perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan yang meluas supaya dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh organisasi dan pengikutnya.
Al- Imam Al Ghazali berkata :

"Sesungguhnya Islam yang diperjuangkan atas landasan kejahilan akan lebih memudharatkan berbanding serangan musuh Islam. Malangnya kebanyakan pendukung Islam adalah dari kalangan orang-orang jahil.”

  5)    Mempunyai Kuasa dan Kemampuan

Pemimpin yang baik hendaklah boleh bertindak bagi menyelesaikan sesuatu urusan atau masalah yang berlaku samada melalui tenaga, perkataan, tulisan atau fikiran dalam segala aspek.

  6)    Bersikap Lemah-lembut, Pemaaf, Bermusyawarah serta Bertawakal kepada Allah. Firman Allah:

 “Maka berkat rahmat Allah engkau (Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu. Kerana itu maafkanlah mereka dan mohonkanlah ampunan untuk mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian, apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sungguh, Allah mencintai orang yang bertawakal.”
                                                                                        [Surah Ali ‘Imran (3) : ayat 159]
  7)    Rendah Hati
Seorang pemimpin Islam hendaklah memiliki sikap rendah hati. Tidak suka menampakkan kelebihannya (riya’) serta tidak merendahkan orang lain.

  8)    Sabar

Pemimpin Islam haruslah sabar dalam menghadapi segala macam persoalan dan permasalahan, serta tidak bertindak tergesa-gesa dalam mengambil keputusan.

Inilah antara sifat dan ciri-ciri yang perlu ada dalam diri seseorang jika hendak menjadi pemimpin. Sememangnya, menjadi pemimpin merupakan amanah yang sangat berat dan akan dipersoalkan di akhirat kelak.
Jika dahulu, para sahabat R.A sangat takut jika dipilih menjadi seorang pemimpin, tetapi sekarang, ramai yang berlumba-lumba untuk menjadi pemimpin. Semua mengaku yang terbaik dan sanggup menjatuhkan lawannya dengan apa cara sekalipun!
Justeru, walau siapa pun yang memenangi pilihan raya kali ini, sama ada orang yang kita pilih atau tidak, kita doakan mereka menjadi pemimpin yang terbaik sesuai dengan kehendak Allah dan mengutamakan cara Islam. Semoga Islam akan terus tertegak dengan megahnya di atas muka bumi ini. InsyaAllah..Wallahualam.


·         * Pemimpin itu bukan atas kepetahannya bercakap, tetapi atas keberaniannya menegakkan                   kebenaran,
Pemimpin itu bukan atas berapa ramai pengikutnya tapi atas keikhlasannya membimbing,
Pemimpin itu bukan atas kehebatannya mematahkan hujah tapi atas seberapa banyak kata-katanya meresap ke jiwa,
Pemimpin itu bukan atas kegilaannya pada kuasa tapi pada mahunya dia untuk melakukan perubahan,
Pemimpin itu bukan atas kekayaan hartanya, tapi sejauh mana kekayaan jiwanya.

28 April 2013

~Mari Bahagia Bersama.. ^.^~

            Anda sering gelisah, marah atau sedih? Anda ingin bahagia dan gembira seperti orang lain? Bagaimanakah cara mudah untuk menghilangkan tekanan emosi tersebut dan kembali kepada ketenangan dan keceriaan?

            Di sini saya ingin berkongsi dua kaedah berbeza yang sering diguna pakai oleh orang di sekeliling kita .
   1)    Kaedah yang diguna oleh orang bukan Islam dan mereka yang tidak mahu mengikuti cara Islam :-
-       Minum arak / minuman keras sehingga mabuk
-       Mengunjungi disko / pusat hiburan dan menari sepuas hati
-       Mengambil dadah
-       Memaki / mencarut dan berterusan menyalahkan orang lain 
-       Melawan / memarahi orang yang memberi nasihat
-       Menceritakan aib dan keburukan orang lain (termasuk mengadu di muka buku)
-       Merosakkan harta benda serta menyakiti haiwan dan orang lain
Dan banyak lagi cara yang seumpama dengannya. Cara seperti yang dinyatakan di atas adalah dilarang  dalam Islam kerana selain membazirkan banyak tenaga dan wang ringgit, turut boleh menjejaskan kesihatan diri. Seperti yang ditulis dalam firman Allah:

            “Orang kafir itu kadang-kadang (nanti di akhirat) menginginkan, sekiranya mereka dahulu) di dunia menjadi orang Muslim.”
            “Biarkanlah mereka (di dunia ini) makan dan bersenang-senang dan dilalaikan oleh angan-angan (kosong) mereka, kelak mereka akan mengetahui (akibat perbuatannya.”
                                                                                              [Surah Al-Hijr (15) : ayat 2-3]

Seterusnya, mari kita perhatikan apakah langkah-langkah terbaik yang boleh kita ambil jika mempunyai masalah seperti yang mula-mula saya sebutkan.
   2)    Kaedah yang dianjurkan oleh Islam
-       Lakukan ibadah wajib seperti solat dan puasa
-       Lazimkan diri untuk melakukan ibadah sunat seperti solat sunat, membaca Al-Quran (beserta maknanya) dan berzikir.
-       Berkawan dengan orang yang berfikiran positif
-       Sentiasa bersyukur dengan rezeki yang diterima
-       Sayangi orang sekeliling dan elakkan sifat dendam dan iri hati
-       Banyakkan memberi dan kurangkan meminta
-       Sentiasa senyum
-       Bantu orang yang memerlukan
-       Bina matlamat hidup dan fokus kepada perkara yang ingin dicapai
-       Makan makanan yang baik dan berkhasiat
-      Halakan 100% pergantungan kepada Allah setelah kita berusaha dan berdoa sebaiknya

Firman Allah :
“Dan segala nikmat yang ada padamu (datangnya) dari Allah, kemudian apabila kamu ditimpa kesengsaraan, maka kepada-Nyalah kamu meminta pertolongan.”
                                                                                  [Surah An-Nahl (16) : ayat 53]

Dia (Ibrahim) berkata,“Tidak ada yang berputus asa dari rahmat Tuhan-Nya, kecuali orang yang sesat.”
                                                                                                                                                                                                                                                     [Surah Al-Hijr (15) : ayat 56]

21 April 2013

Kenapa Bertanya???


                         Pernahkah anda ditanya pelbagai soalan berkaitan agama Islam oleh adik-adik anda, rakan-rakan atau oleh orang bukan Islam? Jika kita berada di Malaysia atau negara lain yang majoriti penduduknya adalah orang beragama Islam, perkara ini mungkin bukan satu masalah kerana terdapat banyak tempat rujukan seperti para guru dan alim ulama di samping media massa yang banyak mendedahkan tentang kehidupan orang Islam. 



            Namun, bayangkan ketika anda melawat, belajar atau berpindah ke negara luar yang penduduk Islamnya adalah golongan minoriti, keadaan di mana segala tindak-tanduk kita yang memegang identiti sebagai Muslim akan diperhatikan. Pelbagai soalan akan muncul di benak mereka apabila melihat kita melakukan perkara yang tidak pernah mereka ketahui sebelum ini. Jika bernasib baik, mereka akan bertanya kepada kita dan inilah peluang kita untuk menjelaskan sebaiknya tentang Islam. Jika tidak, mereka mungkin akan terus mencurigai tindak-tanduk kita yang seterusnya boleh menyebabkan mereka memasang prasangka yang kurang baik tentang agama Islam. Namun, bagaimanakah kita hendak menjawab segala persoalan yang dikemukan? Berikut adalah  antara soalan-soalan yang pernah saya terima berkaitan agama Islam iaitu:

  • Jika orang bukan Islam mempunyai berhala dan salib, siapakah Tuhan orang Islam? Apakah simbol / tanda kewujudan-Nya?
  • Mengapa orang Islam tidak mahu menyembah patung sembahan mereka sedangkan orang beragama lain seperti Kristian dan Buddha menyembah patung tersebut untuk menghormati budaya mereka?
  • Mengapa wanita Islam perlu memakai tudung dan memakai pakaian yang menutupi hampir seluruh badan? Tidak panaskah?
  • Mengapa perlu sembahyang sehingga 5 kali sehari?
  • Kenapa orang Islam tidak makan daging babi dan daging binatang yang disembelih oleh orang bukan Islam dan bukan dengan cara Islam?
  • Mengapa tidak boleh memegang anjing dan babi?
  •  Mengapa tidak boleh bersalam dan menyentuh orang yang bukan mahram?
  • Adakah agama Islam menyeksa umatnya kerana disuruh berpuasa sehingga 1 bulan
  • Mengapa tidak boleh minum arak walaupun sedikit seperti yang telah dimasukkan dalam makanan? 
  • Benarkah Islam tidak membenarkan pasangan kekasih ‘dating’, berpegangan tangan dan sebagainya. Jika begitu, tentu sangat membosankan kerana tidak romantik.


Dan berbagai-bagai lagi bentuk soalan yang seumpama dengan ini saya terima. Saya telah cuba menjawab sedaya-upaya yang boleh seperti yang saya ketahui dan belajar. Pada pandangan saya, mereka bertanya kerana mereka tidak tahu, oleh itu, kitalah yang bertanggungjawab untuk menyampaikan kepada mereka berkaitan Islam. Jadi, jika anda menghadapi situasi yang sama, bagaimanakah jawapan anda? Ayuh fikirkan.. 



Moga kita dapat sentiasa mempersiapkan diri dengan ilmu agama supaya kita dapat beribadat dengan sempurna serta menyampaikan kepada orang lain. Diharapkan semoga agama Islam dipandang sebagai sebuah agama yang indah, sempurna dan mudah, bukannya kejam, ketinggalan zaman dan menyusahkan. Semoga kita bersama-sama mendapat manfaat.. InsyaAllah..



“Maka apakah orang yang mengetahui  bahawa apa yang diturunkan Tuhan kepadamu adalah kebenaran, sama dengan orang buta? Hanya orang yang berakal saja yang dapat mengambil pelajaran,”


                                                                 
                                                                                                   [Surah Ar-Ra’d (13) : ayat 19]



Add caption