30 Jun 2013

Betapa hidup ini dimudahkan...

Betapa hidup ini dimudahkan...

Selepas kembali dari cuti semester kedua 2011/2012, aku ditakdirkan untuk diuji dengan satu kemalangan jalan raya yang menyebabkan aku cedera, tidak mampu solat secara normal selama kira-kira tidak kurang daripada tempoh 4 minggu

Sedang saat itu begitu banyak hal yang perlu diselesaikan, almaklumlah mahu berpraktikal. Lesen motor pun tiada, motor jauh sekali...

Saat itu, majoriti sahabat sekuliah telah memulakan praktikal, aku masih ada satu subjek tersisa, memaksa aku menangguh praktikal sehingga selesai peperiksaan akhir. 

Dengan beban cuma 3 kredit perlu dihabiskan,  beban akademik memang ringan... saat ini sepatutnya dimanfaatkan untuk mendapatkan kerja sambilan sebagai inisiatif memperolehi wang saku bekalan berpraktikal selama 12 minggu.

Semua yang dirancang terganggu, nak solat berjemaah pun sukar. Harapan untuk memperbaiki rohani yang bermasalah selama ini adalah tidak kesampaian. 

Itulah ketentuan Allah,  aku tidak bisa mengubahnya... mungkin inilah ujian penghapus dosaku yang banyak itu.

Dengan susah payah aku menyelesaikan kuliah hingga minggu akhir kuliah. Pada minggu akhir itu juga, aku mula mendapatkan lesen L motosikal. Tarikh berpraktikal semakin hampir tinggal kira-kira 3 minggu...

Saat itu, aku masih belum mempunyai lesen, motorsikal... bukan itu sahaja, aku juga berdepan masalah fobia menunggang motosikal... sungguh kemalangan yang terjadi menyebabkan aku fobia pada kelajuan. Hanya mampu menunggang selaju 40km/j sahaja. Hati bagai dibadai taufan untuk memecut lebih laju.

Dua minggu sebelum praktikal,  aku pulang ke kampung... Niatnya satu sahaja, mendapatkan kelengkapan pakaian untuk praktikal dan mencari solusi kepada masalah kenderaan untuk berpraktikal...

Alhamdulillah,  aku semuanya dimudahkan... dua orang kakakku sudi meminjamkan wang untuk membeli motosikal...

Tamat peperiksaan akhir, aku berjaya menyelesaikan proses mendapat lesen L dan proses membeli motosikal. Untuk orang kecil seperti aku, ini adalah pencapaian besar dalam hidup. Disebalik berdepan masalah kurang keyakinan diri, aku berjaya mengatasi nya.

Walaupun semua itu selesai, proses mendapatkan lesen dan motosikal tidak dapat diselesaikan sebelum memulakan praktikal.  Bernasib baik sebab ada kawan sekuliah yang telah memulakan praktikal lebih awal sudi memberikan aku tumpangan ke sekolah praktikal.

Hari keempat praktikal proses membeli motosikal selesai, tetapi lesen masih belum diperolehi. Namun aku berkeputusan untuk bermotosikal ke sekolah walaupun tidak berlesen atas pelbagai sebab.

Sungguhpun hati fobia, tetap aku cekalkan hati. Meredah lebuh raya silk kajang untuk ke semenyih, sekali gus menumpang di rumah keluarga sahabat ku yang belajar di UIA GOMBAK.

Sememangnya hati berat untuk menyusahkan orang yang belum pernah dikenal. Hanya Allah sahaja yang tahu. Namun itulah pilihan yang terbaik yang ada...

Daripada kesukaran ini, aku terus mengorak langkah dalam kehidupan yang singkat ini. Aku tak ingin menoleh ke belakang lagi...

Dari Rincing, aku berpindah ke Bangi untuk menikmati kehidupan rohani yang
lebih baik. Surau dan majlis ilmu di sana sentiasa dirindui hati ini.

Dari seorang guru praktikal,  aku menjadi seorang guru ganti di Semuksin. Alhamdulillah jasa baik guru-guru disana banyak membantu aku. Hanya Allah sahajalah bisa membalas...

Sahabat Abim bangi akan sentiasa dikenang sebagai sahabat ilmu dan kehidupan.  Sentiasa menjadi role model yang terbaik bagaimana memberi komitmen pada kerjaya yang sibuk dan perjuangan Agama yang tidak pernah selesai.

Ahli keluarga yang sentiasa bersama walaupun dipisahkan dengan jarak dan masa... siapalah aku tanpa sokong mereka. Wang ringgit, kritikan dan semangat yang diberikan sentiasa menjadikan aku insan yang bersyukur.

Walaupun fobia dengan kelajuan dan motosikal... dengan motosikal itulah aku meneruskan kehidupan.... dari upm ke semenyih ke bangi ke kelantan. Kemudian kembali ke klang. Kemudian dari klang aku meredah banjaran titiwangsa ke tempat aku sekarang chenor pahang...

Buat semua yang hadir ke dalam hidupku, aku cuma mampu melafazkan terima kasih yang tiada taranya. Hanya Allah yang memberi sebaik-baik balasan. Moga aku mampu membalas dengan sekelumit jasa sebelum rohku dicabut dari tubuh yang lemah ini...
#Apoint2Thanks #luv2share #mogaBERMANFAAT

20 Jun 2013

Wacana Teknik Belajar dan Mahasiswa Bitara [TBMB]

Kepada,

Pelajar
Pusat Asasi
Universiti Putra Malaysia (UPM)




Saudara/i,

JEMPUTAN MENYERTAI ‘WACANA TEKNIK BELAJAR DAN MAHASISWA BITARA’.

Didoakan semoga saudara/i berada dalam lindungan dan rahmat Allah Ta’ala hendaknya. Merujuk perkara di atas, sukacita dimaklumkan bahawa Kelab Bimbingan Mahasiswa (KBM) akan menganjurkan suatu program pembangunan pelajar ‘Wacana Teknik Belajar dan Mahasiswa Bitara’.

Berpegang kepada motto ‘kemuliaan dan kecemerlangan mahasiswa’, KBM berasa terpanggil untuk menganjurkan program ini sebagai usaha mempersiapkan para mahasiswa/i terutama para pelajar baharu untuk menempuh kehidupan dan pembelajaran di universiti. Ia terbuka kepada semua tanpa mengira bangsa dan agama.

Sehubungan dengan itu, pihak kami menjemput saudara/i untuk menyertai wacana ini dan tiada bayaran dikenakan kepada peserta. Namun begitu, tempat hanya terhad kepada 50 peserta terawal (bagi siri 1 ini). Butiran program adalah seperti yang berikut:

Tarikh : 20 Jun 2013 (Khamis)
Masa : 8.00 malam – 10.30 malam
Tempat: Dewan Kuliah Utama Pusat Asasi Sains Pertanian, UPM

Bersama-sama surat ini disertakan tentatif program untuk rujukan pihak saudara/i. Pelajar yang berminat bolehlah mendaftarkan nama dalam borang yang dilampirkan dan dipulangkan kepada wakil kami, Sdri ‘Atiqah Syairah selewat-lewatnya pada Khamis (20 Jun 2013, jam 2 petang). Sebarang pertanyaan boleh diajukan terus dengan menghubungi Sdri ‘Atiqah Syairah di talian 013-3007506 (Whatsapp: 016-6415941).

Segala kerjasama dan perhatian yang diberikan didahului dengan ucapan Jazakallahu Khairan Kathira.

Sekian. Wassalam.

HIDUP BIAR BERJASA”

Yang benar,


AMIR SYAZWAN BIN MANAF
Presiden
Kelab Bimbingan Mahasiswa (KBM)
Universiti Putra Malaysia (UPM)









BUTIRAN PROGRAM

  • Tarikh : 20 Jun 2013 (Khamis)
  • Masa : 8.00 malam – 10.30 malam
  • Tempat : Dewan Kuliah Utama Pusat Asasi Sains Pertanian, UPM


OBJEKTIF
  • Mempersipkan mahasiswa secara mental dan fizikal bagi menghadapi alam kampus.
  • Berkongsi tips-tips dan teknik belajar di universiti
  • Mengeratkan hubungan dan kerjasama antara mahasiswa dengan pensyarah PASUM



TENTATIF PROGRAM

20 Jun 2013 (Khamis)
08.00 malam : Pendaftaran peserta
08.10 malam : Ucapan alu-aluan pengerusi majlis
08.20 malam : Perasmian pembukaan majlis oleh Sdr Amir Syazwan, Presiden KBM UPM
08.30 malam : Sesi 1 Ucapan dan perkongsian oleh wakil pensyarah UPM
09.00 malam : Sesi 2
Wacana Teknik Belajar dan Mahasiswa Bitara
Pembimbing: Tuan Khairul Ariffin Munir (Jurulatih Al-Bairuni Research).
10.00 malam : Sesi Komentar dan Soal Jawab
              10.30 malam : Majlis penyampaian cenderahati
                                      : Jamuan ringan dan bersurai

06 Mei 2013

Siapa Ketuaku?


            Hmm, cepat sungguh masa berlalu. Pejam celik sudah 5 tahun berlalu dan kini tiba masa Pilihan Raya Umum ke-13. Walaupun berada jauh di tempat orang dan tidak dapat mengundi pada kali ini, tetapi bahang kehangatan dan semangat mengundi rakyat Malaysia dapat saya rasakan apabila di wall facebook saya penuh dengan pelbagai cerita berkaitan pilihanraya. Semuanya cuba mempromosikan  parti yang disokong masing-masing dan tidak kurang yang mengkritik dan menghina pemimpin parti-parti yang terlibat.
            Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk kita renungkan mengenai satu perkataan yang menjadi topik hangat pada masa ini, iaitu PEMIMPIN, menurut perspektif Islam.

Siapakah Pemimpin?
"Setiap kalian adalah pemimpin dan bertanggung jawab atas apa yang di pimpinnya, Seorang penguasa adalah pemimpin bagi rakyatnya dan bertanggung jawab atas mereka, seorang isteri adalah pemimpin di rumah suaminya dan dia bertanggung jawab atasnya. Seorang hamba sahaya adalah penjaga harga tuannya dan dia bertanggung jawab atasnya.
(Hadith Riwayat Bukhari) 

Kita juga perlu ingat bahawa antara salah satu sebab kita diwujudkan di atas muka bumi ini adalah untuk menjadi pemimpin (khalifah) seperti firman Allah dalam kitab suci Al-Quran:
Dan (ingatlah) ketikanTuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan khalifah di bumi.” Mereka berkata, “Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?” Dia berfirman, “Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”
[ Surah Al-Baqarah (2) : ayat 30]

Namun, memimpin adalah amanah dan tanggungjawab yang akan dipersoalkan di akhirat nanti. Amanah dan tanggungjawab ini tidak akan terlaksana tanpa adanya pemimpin yang berwibawa memiliki ciri-ciri dan sifat-sifat yang tertentu, sesuai dengan tugas dan tanggungjawabnya, mengajak manusia mengabdikan diri sesungguhnya kepada Allah swt, melalui kerja-kerja memakmurkan bumi Allah swt, melakukan islah, menegakkan kebenaran, menwujudkan keamanan, keharmonian dan kesejahteraan dalam masyarakat dan negara. Oleh itu, kita perlu melantik pemimpin yang sebaiknya supaya amanah yang diperintahkan oleh Allah dapat kita tunaikan sebaik mungkin.

Apakah ciri-ciri Pemimpin yang Baik?

  1)    Sentiasa Menggunakan Hukum Allah dalam Menyelesaikan Setiap Masalah yang Dihadapi :
"Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul (Muhammad), dan ulil amri (pemegang kekuasaan) di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah kepada Allah (Al Qur’an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya".
[Surah An-Nisa’ (4) : ayat 59]

Maka demi tuhanmu, mereka tidak beriman sebelum mereka menjadikan engkau (Muhammad) sebagai hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, (sehingga) kemudian tidak ada rasa keberatan dalam hati mereka terhadap putusan yang engkau berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.”
[Surah an-Nisa’ (4) : ayat 65]
  2)    Adil
“Hai Daud! Sesungguhnya engkau Kami jadikan khalifah (penguasa) di bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah engkau mengikuti hawa nafsumu, kerana akan menyesatkan engkau dari jalan Allah. Sungguh, orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan”.
[Surah Shaad (38) : ayat 26]

Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu)  berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi bantuan kepada kerabat, dan Dia melarang (melakukan) perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.
[Surah an-Nahl (16) : ayat 90]

  3)    Jujur dan Amanah
“Dan janganlah kamu campuradukkan kebenaran dengan kebatilan dan (janganlah) kamu sembunyikan kebenaran, sedangkan kamu mengetahuinya.”
                                                                                              [Surah Al-Baqarah (2) : ayat 42]

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.”
                                                                                              [Surah Al Anfal (8) : ayat 27] 
  4)    Berilmu
Seorang pemimpin perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan yang meluas supaya dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh organisasi dan pengikutnya.
Al- Imam Al Ghazali berkata :

"Sesungguhnya Islam yang diperjuangkan atas landasan kejahilan akan lebih memudharatkan berbanding serangan musuh Islam. Malangnya kebanyakan pendukung Islam adalah dari kalangan orang-orang jahil.”

  5)    Mempunyai Kuasa dan Kemampuan

Pemimpin yang baik hendaklah boleh bertindak bagi menyelesaikan sesuatu urusan atau masalah yang berlaku samada melalui tenaga, perkataan, tulisan atau fikiran dalam segala aspek.

  6)    Bersikap Lemah-lembut, Pemaaf, Bermusyawarah serta Bertawakal kepada Allah. Firman Allah:

 “Maka berkat rahmat Allah engkau (Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu. Kerana itu maafkanlah mereka dan mohonkanlah ampunan untuk mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian, apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sungguh, Allah mencintai orang yang bertawakal.”
                                                                                        [Surah Ali ‘Imran (3) : ayat 159]
  7)    Rendah Hati
Seorang pemimpin Islam hendaklah memiliki sikap rendah hati. Tidak suka menampakkan kelebihannya (riya’) serta tidak merendahkan orang lain.

  8)    Sabar

Pemimpin Islam haruslah sabar dalam menghadapi segala macam persoalan dan permasalahan, serta tidak bertindak tergesa-gesa dalam mengambil keputusan.

Inilah antara sifat dan ciri-ciri yang perlu ada dalam diri seseorang jika hendak menjadi pemimpin. Sememangnya, menjadi pemimpin merupakan amanah yang sangat berat dan akan dipersoalkan di akhirat kelak.
Jika dahulu, para sahabat R.A sangat takut jika dipilih menjadi seorang pemimpin, tetapi sekarang, ramai yang berlumba-lumba untuk menjadi pemimpin. Semua mengaku yang terbaik dan sanggup menjatuhkan lawannya dengan apa cara sekalipun!
Justeru, walau siapa pun yang memenangi pilihan raya kali ini, sama ada orang yang kita pilih atau tidak, kita doakan mereka menjadi pemimpin yang terbaik sesuai dengan kehendak Allah dan mengutamakan cara Islam. Semoga Islam akan terus tertegak dengan megahnya di atas muka bumi ini. InsyaAllah..Wallahualam.


·         * Pemimpin itu bukan atas kepetahannya bercakap, tetapi atas keberaniannya menegakkan                   kebenaran,
Pemimpin itu bukan atas berapa ramai pengikutnya tapi atas keikhlasannya membimbing,
Pemimpin itu bukan atas kehebatannya mematahkan hujah tapi atas seberapa banyak kata-katanya meresap ke jiwa,
Pemimpin itu bukan atas kegilaannya pada kuasa tapi pada mahunya dia untuk melakukan perubahan,
Pemimpin itu bukan atas kekayaan hartanya, tapi sejauh mana kekayaan jiwanya.