30 Jun 2011

Sebuah Travelog : Kembara Amal Mahasiswa MEI 2011



13 Mei 2011 ( Jumaat )

Bersyukur ke hadrat Illahi kerana memberi kekuatan dan kesempatan kepada kami pada minggu ini untuk berjuang ke medan dakwah. Akhirnya Kembara Amal Mahasiswa di Perkampungan Orang Asli Kuala Mu, Sungai Siput menjadi kenyataan. Program ini merupakan anjuran Kelab Bimbingan Mahasiswa, Universiti Putra Malaysia ( KBMUPM ) dengan kerjasamaPrihatin Malaysia, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia ( PKPIM ) dan 4x4 4wd Perlis team.

Program bermula dengan sesi taklimat ringkas di perkarangan Kolej 13, UPM.Seramai 9 orang peserta dari KBMUPM yang menyertai kembara ini.Kami telah dibantu oleh Saudara Fuad dari Prihatin Malaysia yang cukup berpengalaman menjalankan misi dakwah di perkampungan orang asli ini.

Bertolak dari UPM pada jam 12 tengah hari dan kemudian menyusuri Highway Plus selama 5 jam untuk sampai ke Kuala Kangsar. Sekitar jam 9 malam, kelihatan dua 4wd kenderaan sudah menunggu.Perjalanan diteruskan ke Sungai Siput. Di sini kami memunggah barang-barang dari kereta yang kami naiki tadi  ke 4wd kenderaan.  Maklumlah kereta pacuan 4 roda Pajero ini mana boleh masuk ke dalam hutan tebal sebegitu kerana tayarnya yang tidak sesuai. Maka kereta 4wd yang digelar ‘babi kecil’  inilah yang telah banyak berjasa dalam kembara amal ini.Kelihatan para peserta sangat teruja dengan saiznya yang sederhana besar itu.


Jam sudah menunjukkan 12 tengah malam, perjalanan kami berhenti sebentar di Masjid Lasah.Di sinilah bermulanya sesi perkenalan ringkas antara kami dari KBMUPM dan NGO yang terlibat.Tidak lama kemudian, pengembaraan diteruskan.Dari sini lah tempat bermulanya pengembaraan hebat tanpa jalan raya bertar dan bakal mengharungi jalan balak yg sejauh lebih kurang 45 kilometer untuk sampai ke Kampung Kuala Mu.

Setelah 4jam perjalanan yang sangat mengagumkan yang merentasi banjaran Titiwangsa,kami selamat tiba di Kuala Mu dalam pukul 4.40 pagi.Berhenti berehat di Kampung Bersah. Baki masa yang ada sebelum menjengahnya fajar subuh dimanfaatkan oleh para peserta untuk berehat seketika melepaskan penat perjalanan seharian bagi memastikan kami kekal cergas untuk meneruskan misi penting pada keesokan harinya.

14 Mei 2011 ( Sabtu )

Kami dikejutkan dengan kokokan ayam jantan Kuala Mu untuk bangun mengerjakan Solat Subuh secara berjemaah.Sebagai bekal penguat jati diri sepanjang pengembaraan ini, kami diberikan tazkirah yang berisi untaian kata-kata nasihat oleh Ketua Kembara Amal ini iaitu Ustaz Fuad.



Selepas itu, kami semua dijemput ke rumah Tok Batin yang terletak di sebelah teratak buluh kami.Julung kalinya bertemu dengan Tok Batin yang bernama Tok Batin Hadu yang sangat peramah dan baik hati bersama isterinya yang di mesra dipanggil Ummi.Para peserta perempuan membantu Ummi menyediakan sarapan pagi yang unik bagi kami iaitu ubi kayu goreng dan ikan tengas goreng.Terima kasih diucapkan kepada Pak Hadu sekeluarga atas layanan yang baik dan huluran sarapan yang sangat enak.Selain itu, kami juga berpeluang merasa buah durian Kampung Bersah.Kuning isinya amat memukau kami sehingga berebut untuk merasanya. Ya, mengingatkan kami bahawa  musim durian bakal menjengah seawal bulan Jun nanti! Selesai sesi sarapan dan membantu mengemas dapur unik Ummi, kami bergegas ke teratak buluh kami dan duduk membentuk halaqah untuk berbincang aktiviti yang bakal dijalankan pada hari ini.Kami mencapai kata sepakat dengan membuat pembahagian kumpulan kepada dua iaitu Kumpulan A dan Kumpulan B. Kumpulan A ditugaskan membuat bancian ringkas tentang berapa jumlah keluarga di Kampung Bersah ini. Hal ini bertujuan untuk memudahkan urusan pembahagian pakaian terpakai dan barangan makanan yang lain. Sementara itu, kumpulan B pula sibuk membuat perkelasan pakaian mengikut jantina dan usia. Kami perlu memastikan agihan ini dilaksanakan seadil-adilnya agar semua keluarga dapat menerima bantuan ini


Berbincang selepas bersarapan

Sekitar jam 9 pagi, kami bergerak dan memulakan agihan pakaian terpakai dan makanan ringan seperti roti, biskut, dan kuih kering kepada hampir 15 keluarga di Kampung Bersah ini. Kelihatan penduduk dan adik-adik di Kampung Bersah ini dangat ceria dan gembira menerima bantuan yang tidak seberapa itu. Mereka juga mesra menerima huluran salam kami dan setia mengiringi kami ke mana sahaja.

Sekitar jam 10 pagi, kami meneruskan perjalanan ke Kampung Gapeng untuk membuat kenduri atau ‘cak raya’.Bagi memastikan kelancaran program, kami dibahagikan tugas mengikut kumpulan tadi. Jika tadi, kumpulan A sudah keluar membuat bancian dan agihan barangan, kini kumpulan B pula yang mengambil alih tugas tersebut di kampung ini. Sementara itu, kumpuan A mengambil tugasan di dapur untuk membuat persiapan makan besar pada waktu tengah hari nanti.Makanan yang dimasak ialah  lauk ayam kari (lauk asasi) bagi program sebegini. Makan besar ini dilihat mampu menarik minat  masyarakat orang asli. Hal ini terserlah dengan turunnya beberapa orang daripada golongan ibu yang turut serta membantu untuk memotong bawang, cili, kentang dan lain-lain. Sementara itu,  agihan baju-baju terpakai kepada penduduk dan adik-adik Kampung Gapeng.Kelihatan mereka sangat ceria dan gembira.



Sementara menanti  waktu makan tengah hari yang dijadualkan selepas waktu Zohor, kami mengambil kesempatan untuk membuat modul bersama adik-adik di sini. Sebahagian kami mengajak  golongan kanak-kanak  turun ke sungai dan dijalankan demo mencuci tangan dan mengambil wuduk. Sementara adik-adik di peringkat umur 7 hingga 12 tahun, kami mengajak mereka berbual ( rata-ratanya mampu berbahasa Melayu dengan baik kerana pendedahan  secara formal di sekolah ) Dari sinilah dapat diselami hati  mereka yang dambakan kemajuan dan ingin bebas dari belenggu kemiskinan ini. Kami cuba meniupkan semangat perjuangan dalam diri mereka supaya berusaha bersungguh-sungguh dalam menekuni pelajaran. Hanya dengan pendidikan sahaja mereka dapat mengubah nasib dan persepsi masyarakat terhadap mereka.


Zohor menjelang.Kami mengajak mereka menunaikan solat zohor secara berjemaah.Disusuli tazkirah ringkas oleh Ustaz Fuad yang tajuknya lebih berkisarkan perjuangan dan ajakan berdakwah secara berhikmah kepada masyarakat orang asli. Kemudian, bermulalah sesi ‘cak raya’ iaitu makan besar bersama mereka.Kesungguhan mereka beratur untuk mendapatkan makanan amat menyentuh hati kami. Difahamkan bahawa mereka amat jarang makan nasi, hanya apabila ada para pendakwah yang naik  menjalankan program sebegini barulah mereka berpeluang makan nasi.Dan rupanya hari panas tidak sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari.Ada benarnya peribahasa Melayu itu, petang tersebut hujan turun dengan lebatnya.Kami bertuah kerana di kawasan tersebut terdapat pondok buluh yang sederhana besarnya dan dapatlah berteduh menanti redanya hujan.Kami mengambil kesempatan untuk merancang sebaik-baiknya aktiviti petang ini dan sempat menjalankan modul bersama adik-adik yang setia membuntuti kami walau di mana kami berada.

Alhamdullillah, Allah SWT Maha Memahami akan niat kami untuk menjalankan sukaneka bersama adik-adik ini. Namun, sebelum itu kami berpeluang melihat seorang pemuda daripada penduduk kampung ini memeluk Islam.Saat beliau mengucapkan kalimah suci ‘syahadah’ amat meyentuh hati kami kerana umum mengetahui hidayah itu milik Allah SWT.Doa kami agar beliau dapat istiqamah dengan amalan-amalan soleh yang mampu beliau lakukan. “Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit”.InsyaAllah, itulah yang diharapkan agar cahaya Islam megah tersebar ke seantero pelusuk dunia.

Selepas itu, kami berubah angin ke padang bola yang nan hijau  untuk menjalankan acara sukaneka bersama adik-adik di sini. Beberapa modul sukaneka telah dijalankan. Kelincahan mereka berlari menggambarkan adik-adik ini ibarat permata negara yang harus digilap dan diberi perhatian akan potensi mereka. Hampir sejam juga melayani telatah kelucuan mereka yang sering menggaru hati kami.Sesi sukaneka berakhir dengan acara kutipan saki baki belon yang pecah dan pemberian gula-gula seperti lollipop sebagai upah dan hadiah kepada mereka.

Modul kami tidak berakhir di hamparan padang nan hijau itu, sebaliknya kami memberi arahan supaya mereka ke sungai. Sepantas kilat mereka telah sampai di gigi sungai.Modul terakhir kami ialah bermandi-manda untuk membersihkan badan mereka daripada segala daki dan kotoran sepanjang seharian bermain bersama kami.Acara menggosok kaki dan membersihkan badan dengan beberapa buku sabun yang telah dibeli khas bagi menjayakan sesi ini.Kami menerapkan bahawa betapa pentingnya penjagaan kesihatan kerana rata-ratanya adik-adik di sini tidak gemar memakai selipar mahupun alas kaki ketika melangkah keluar.Mereka lebih selesa berkaki ayam. Itulah modul yang kami rangkakan khas bagi mereka untuk memastikan amalan bersih lebih dititik beratkan dalam gaya hidup mereka.

Petang menjengah jua. Tibalah masanya untuk kami  berangkat ke Kampung Bersah semula kerana kami akan bermalam di situ.Sebelum sesi urus diri, kami mengambil kesempatan untuk ke kampung ketiga sekitar itu juga untuk memberikan agihan pakaian terpakai yang masih berbaki
.
Malam itu,Tok Batin Hadu dan Ummi dengan baik hati memberikan sayur bayam yang ditanam oleh mereka untuk dimasak sebagai makan malam.Sangat sedap dan malam itu sehinggakan kami sangat kenyang sekali.Maklumlah banyak lauk malam itu. Dan makan  bersama-sama jemaah lain.Sekali lagi diadakan cak raya bersama penduduk di Kampung Bersah pula. Pada malam itu juga, sekitar jam 10 lebih kami telah tidur awal kerana sudah mengantuk. Bersama angin malam dengan bayu berpuput mesra.Tidur sangat lena di samping udara luar yang tersangat sejuk. Sangat mendamaikan jiwa.




15 Mei 2011 ( Ahad )

Pada pagi esoknya, usai solat subuh, seorang  muslimin UPM dikehendaki memberi tazkirah subuh. Dapat task on the spot, dan Alhamdulillah beliau dapat memberikan yang terbaik.Lagi-lagi bagi tazkirah kepada bukan calang-calang orang, malah hampir semua orang-orang tua yang berpangkat ustaz dan professional.

Pagi ini kami sempat memanfaatkan masa yang masih berbaki dengan mengadakan modul senaman ringkas kepada adik-adik di sini. Dengan berlatar belakangkan lagu ‘Chicken Dance’ dan ‘Nikmat Tangan dan kaki’ terpancar keriangan di wajah redup adik-adik Kampung Bersah ini.
Selepas itu sesi sarapan dan mengemas kini barang dan peralatan.Sebelum berpisah, sesi bertangkap gambar sebagai kenang-kenangan.Kemesraan terserlah apabila mereka keluar dari rumah masing-masing dan menghantar kepulangan kami dengan pandangan harapan.
            Sekitar jam 10 pagi, kami bertolak keluar dari KampungBersah. Kami singgah sebentar di R&R untuk makan tengah hari dan berpeluang merasai dinginnya air sungai serta solat Zohor berjemah.Selepas itu, dijalankan sesi post-mortem dalam kalangan peserta dan NGO yang terlibat.  Kami bertuah kerana diiringi oleh orang-orang yang lebih berpengalaman.Dalam perjalanan keluar itu, sempat ziarah sebentar ke Kampung Perjek. Diadakan cak raya hasil menu makanan tengah hari kami.

Sebagai intiha, kami bersyukur kerana Kembara Amal di Perkampungan Orang asli Kuala Mu ini dapat berjalan dengan lancar. Kesempatan untuk naik ke Kuala Mu ini memberikan saribu satu pengalaman berharga kerana kami dapat melihat sendiri peranan pendidikan sebagai agen pencerah kepada pembangunan masyarakat orang asli di atas sana walaupun jauh dengan akses kemudahan Sebagai renungan bersama, 'kita mungkin mudah mencari orang yang kuat beribadat seperti tambahan sembahyang sunat sampai berpuluh-puluh rakaat,tetapi amat sukar mencari orang yang rela berdakwah terutama kepada masyarakat asli yang berada diperdalaman hutan rimba dan mengajak mereka kepada ajaran Islam.'Ya Allah,tabahkan hati pejuang-pejuang  agama-Mu ini. Berjuang memang pahit kerana syurga itu manis!Semoga kali pertama ini bukanlah yang terakhir buat kita.Ucapan terima kasih dan maaf untuk segala yang tersirat dan tersurat.Ke Kuala Mu hanya untuk-Mu.



Tiada ulasan: