27 Januari 2011

Adab Berorganisasi ♥



“Mengasingkan diri, atau bercampur gaul tanpa batasan, kedua-duanya adalah ekstrim. Islam adalah cara hidup yang seimbang. Ia menyuruh kita bergaul seluas mungkin, dan pergaulan itu pula ada garis panduannya” saya menjawab soalan pertama yang diajukan oleh moderator.
Pusat Asasi UIAM di Petaling Jaya menganjurkan Forum Dari Mata Turun ke Hati sempena kempen Biah Solehah di kampus PJ tersebut.
“Antara input, proses dan output, apakah status pergaulan?” saya melontarkan soalan kepada peserta.

Kerusi di Dewan al-Malik Faisal mula berisi. Seperti biasa, di sayap sisters kerusi tambahan sudah mula disusun, manakala kerusi brothers sudah separuh penuh. Lebih positif daripada menyebut masih separuhnya kosong.
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” [At-Taubah 9: 71]
Lelaki dan perempuan, bukan sebarang lelaki dan perempuan.
Mereka adalah lelaki dan perempuan yang beriman.
IMAN itu adalah asas pergaulan dan interaksi kita.
Mereka saling bantu membantu dalam urusan amar makruf nahi munkar, menegakkan Solat dan melunaskan Zakat, serta seluruh agenda yang berada di dalam lingkungan mentaati Allah dan Rasul.
BERBALAH TENTANG PROSES
Apa yang sering menjadi bahan ‘perbalahan’ sesama anak muda ialah tentang perincian pergaulan sebagai PROSES.
Akan tetapi, jika titik mulanya adalah soal Aqidah, soal Iman seorang hamba kepada Allah, dan matlamat daripada pergaulan itu adalah untuk menegakkan perintah serta meninggalkan larangan Allah, bisakah tatacara pergaulan menyimpang daripada niat dan matlamat?
“Syaitan menyesatkan anak Adam berdasarkan dia itu belajar di universiti mana!” saya sengaja menyebut demikian.
Bagi brothers and sisters di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, sesuai dengan tema Islam itu sendiri, tindakan syaitan akan lebih licik. Maksiat akan lebih berpotensi dijamah andaikata ia dikosmetikkan dengan warna-warna Islam.
“Cinta fillaah!”
“Benda ini maslahah ‘ammah. Kepentingan orang ramai”
“Islam mesti dilihat progresif dan memimpin modernisasi”
“Ahh, yang di’sms’ itu bukan lirik lagu Anuar Zain. Ia hadith of the day. Bukankah Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah berpesan, ballighu ‘anni walau aayah!”
Berhati-hati. Syaitan itu jauh lebih sabar daripada dirimu. Ia tidak tergesa-gesa pada mengheret anak Adam tersimpang daripada jalan kebenaran. Tadarruj!
Justeru itu, ambillah secara serius usaha untuk mengenal tatasusila pergaulan seperti yang diajarkan oleh Syariat Islam. Berpersatuan, berbincang tentang pelajaran, berurus niaga, bekerjasama dalam apa sahaja bentuk aktiviti, semuanya diharuskan malah digalakkan oleh Islam. Jika ada saranan yang mahu lelaki dan perempuan itu hidup berasingan dan menghindari kerjasama, ia bukan Islam. Ia pseudo-agama. Akan tetapi, jika ada saranan yang mahu lelaki dan perempuan itu bergaul lagi bekerjasama, tanpa mengira apa motifnya, bagaimanakah tatacaranya, dan tanpa tujuan yang jelas, ia juga bukan Islam. Ia adalah seruan Ibahiyyah yang mahu meleraikan panduan Syariat daripada kehidupan.
“Sebab itu murabbi saya dahulu, ‘mewajibkan’ kami menghadam buku Tafsir Surah an-Nur oleh al-Maududi. Di samping belajar elok-elok Surah Akhlaq, Surah al-Hujuraat” saya menambah.
Pergaulan antara lelaki dan perempuan itu adalah untuk saling mengambil manfaat daripada keunikan masing-masing. Buah fikiran, tumpuan, kemahiran dan kecenderungan antara lelaki dan perempuan itu, banyak perbezaannya. Kerjasama antara kedua-dua belah pihak, berperanan melengkapkan kerja. Namun pergaulan itu tidak boleh terlepas daripada tujuan asalnya iaitu IMAN, serta proses yang betul, dan tujuan akhirnya adalah untuk melaksanakan ibadah serta meraih keredhaan Allah.
Jika kerja, pergaulan hendaklah dalam ruang lingkup menyempurnakan kerja.
Jika belajar, pergaulan hendaklah dalam ruang lingkup menyampaikan maksud belajar.
Selebihnya?
Lagha. Purposeless. Ruang-ruang tanpa motif inilah tempat terbaik nafsu dan syaitan menyerang luar dan dalam untuk mengkucar kacirkan pergaulan silang jantina. Salah satu potensi pergaulan yang kucar kacir ini adalah ZINA.
Lazimnya, kebanyakan maksiat adalah kombinasi antara pain and pleasure antara mangsa dan pemangsa. Jika berlaku kecurian, mangsa berasa sakit, pemangsa pula beroleh keseronokan. Namun berbeza dengan ZINA. Ia adalah maksiat yang sedap. Sama ada pelaku atau yang diperlakukan, kedua-duanya mendapat keseronokan. Itulah hikmah mengapa Allah bukan sekadar mengharamkan ZINA, malah memerintahkan kita agar MENJAUHINYA.
“Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya ia adalah suatu kecelaan dan seburuk-buruk jalan pilihan manusia” [al-Israa' 17: 32]
Allah tahu, zina itu sedap dan nikmat. Menolaknya jika sekadar menolaknya, terlalu sukar. Justeru sama seperti maksiat-maksiat yang lain, Allah bantu kita untuk mengelaknya dengan menutup pintu-pintu kepada zina. Sesungguhnya menolak zina hanya menjadi realiti apabila MUQADDIMAH ZINA dilihat sebagai muqaddimah zina yang mesti dihindari.
Sambungannya selepas ini ^_^
Dipetik dari artikel Saifulislam: Memilih Cinta Yang Susah


Tiada ulasan: