12 Mac 2013

Aku Harap Kau Mengerti...

“Jangan lupa ye party malam ni, semua pelajar dikehendaki membayar sebanyak 2500 Yen.” Kata salah seorang ahli Kelab Cha-cha, persatuan khas pelajar-pelajar Jepun dan pelajar dari negara lain.

“Erk, mahal giler.  Party apa sampai RM100? Nak makan malam kat restoran biasa je kot,” Aku mengomel tidak puas hati. Bukan hanya kami  yang datang dari negara bermatawang rendah sahaja yang tidak setuju, bahkan rakan-rakan dari negara lain seperti Kanada, Spain dan Taiwan juga begitu . Tapi apakan daya kami sebagai pelajar-pelajar yang baru datang ke tempat orang. Terpaksa ikut aje la. Party pada malam itu dianjurkan untuk meraikan kedatangan pelajar-pelajar pertukaran ke Jepun. Semua pelajar yang terlibat diwajibkan hadir.

Aku dan seorang lagi rakan dari Malaysia yang beragama Islam mula berasa risau. Restoran yang bagaimanakah yang akan kami pergi? Tidak haramkah? Boleh dimakankah makanan di situ? Aduh, pening kepala berfikir. Restoran halal yang terdapat di kawasan itupun tidak kami ketahui kerana baru sahaja tiba di sini seminggu yang lalu. Kami lalu menjelaskan kepada presiden kelab  itu berkaitan makanan yang kami tidak boleh makan sebagai orang Islam. Beliau memahami hal tersebut dan berusaha mencari restoran yang ada menyediakan makanan laut.  Beliau berbincang dengan tukang masak di situ supaya menyediakan makanan yang lain khusus untuk kami berdua.

Setelah menjalankan sesi suai kenal bersama pelajar lain, kami pun makan sambil bercerita antara satu sama lain. Disebabkan tahap Bahasa Jepun yang masih merangkak menjadikan aku seorang yang pendiam pada malam itu. Aku hanya mengangguk apabila ditanya dan tersengih bak kerang busuk apabila mereka bercakap mengenai perkara yang tidak aku fahami. “Ah, lantak la hangpa nak cakap apa pun, aku datang ni nak makan je. RM100 oii.. boleh makan kat hotel dah kalau kat Malaysia,” bisikku dalam hati.  Sedang asyik aku makan udang yang dimasak bersama sos tomato, datang seorang mamat Jepun ni. Aku ingatkan student dari Korea. Tiba-tiba..

Hye, watashiwa Rio desu, anatawa? Doko kara kita no?” sapa mamat tersebut sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.

“Owh, hye, Suzana desu..Mare-syia kara kimashita..err..”jawabku sambil terketar-ketar.  Aku tak semena-mena menjadi kaku.

“Alamak, nak buat macam mana ni? Takkan nak bersalam dengan bukan mahram! Tapi dia dah lama menunggu tangannya disambut. Kawan-kawan lain pun sedang menyaksikan ‘sesi perkenalan’ kami berdua. Ya Allah, macam mana ni? Perlukah aku sambut kerana takut menjatuhkan air muka dia? Ataupun perlukah aku pertahankan diriku dari disentuh lelaki yang bukan mahram?” Bisik hatiku lagi.  Aku dilema.. Sedang aku bersoal-jawab dengan diri sendiri, Rio pun menjatuhkan tangannya. Aku nampak air mukanya berubah. Malu barangkali. Tapi jauh di sudut hati aku merasa sangat lega kerana dapat mempertahankan peganganku.  Aku tahu Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. 

Setelah bertanya beberapa soalan, Rio berganjak dari mejaku dan berbual bersama rakan lain. Kami makan dan berbual hingga mendapat teguran daripada pemilik restoran bahawa restoran sudah hendak ditutup. Setelah bertukar-tukar nombor telefon dan alamat  facebook, semua bergerak pulang ke tempat tinggal masing-masing.

Setelah beberapa hari berlalu, aku bertemu dengan Cik Moteki, staf di Pejabat Bahagian Pertukaran Pelajar. Watak Cik Moteki yang ceria serta prihatin terhadap keperluan pelajar menjadikan dirinya mudah didekati oleh semua warga Universiti Kokugakuin, tempat di mana aku sedang menuntut ilmu sekarang. Pada hari itu, kami berkongsi pelbagai cerita termasuk masalah yang kami hadapi sepanjang berada di situ. 

Tidak lama kemudian, Cik Moteki memberitahu aku berkenaan salah seorang pelajar di situ yang mengadu  kepadanya tentang insiden perkenalan dengan pelajar yang memakai tudung dari Malaysia yang tidak mahu menyambut tangannya untuk bersalam. Cik Moteki bertanya, adakah aku orang yang disebutkan? Aku mengiayakan pertanyaannya. Aku bersungut di dalam hati, “Cis, kurang asam punya mamat.. hal macam tu pun nak mengadu ke.. haish..” Cik Moteki kemudian menerangkan bahawa pelajar tersebut, iaitu Rio amat terkejut. Dia tidak pernah berhadapan dengan situasi tersebut di mana salamnya tidak disambut. Walaupun budaya orang jepun juga tidak bersalam antara satu sama lain, menurut pendapat Rio, budaya bersalaman walaupun berlainan jantina seperti orang barat melambangkan persahabatan yang akrab. Kata Rio lagi, dia hanya ingin kami menjadi sahabat yang baik di sini.

 Diriku tiba-tiba dihurung perasaan bersalah. Aku menyesal kerana tidak menerangkan kepadanya mengapa aku tidak boleh bersalam dengannya. Keadaanku pada masa itu yang terkejut dan kaku mungkin boleh mendatangkan andaian negatif mereka terhadap orang Islam.  Aku tidak mahu orang Islam dilabelkan sebagai orang yang sombong dan tidak mahu menjalinkan hubungan yang baik dengan orang lain.  Aku mesti bertanggungjawab untuk betulkan keadaan dan salah faham ini. Tekadku di dalam hati.

Beberapa minggu kemudian, Rio datang ke program ‘English Conversation Class’, iaitu program yang mewajibkan semua pelajar berbangsa Jepun yang hadir di situ berkomunikasi dengan kami hanya dalam Bahasa Inggeris.  Ketika nampak aku di situ, Rio memalingkan wajahnya ke arah lain. Dia seolah-olah mengelak dari bertemu dengan aku. Hatiku dipagut rasa bersalah lagi kerana seolah-olah menjadikannya tidak mahu berinteraksi dengan orang Islam. 

Setelah program berakhir, aku menghampiri Rio dan mengambil kesempatan untuk menerangkan secara terperinci sebab-sebab wanita Islam tidak boleh bersalam dan bersentuhan dengan lelaki yang bukan mahram.  Rio mendengar  dengan teliti dan kemudian mengangguk sambil tersenyum.

Soudesuka..wakarimashita. Watashimo wakaranai kara gomennasai ne,” ujar Rio.
Air mataku hampir menitis ketika itu kerana beban rasa bersalah yang aku tanggung selama ini telah terlerai. Aku harap Rio boleh menjadi wakil untuk menerangkan kepada pelajar-pelajar lain supaya insiden yang sama tidak akan berulang lagi. Aku juga berdoa supaya terus diberikan kekuatan dan keteguhan iman dalam mempertahankan akidah sebagai seorang Muslim.. InsyaAllah.. amin...

Firman Allah: “Dan janganlah kamu campuradukkan kebenaran dengan kebatilan dan (janganlah) kamu sembunyikan kebenaran, sedangkan kamu mengetahuinya.” [Surah Al-Baqarah  (2) : ayat 42]

~Mari Belajar Bahasa Jepun~
* Hye, watashiwa Rio desu, anatawa? Doko kara kita no? = Hai, saya Rio, awak? Datang dari mana?

* Suzana desu..Mare-syia kara kimashita =  Saya Suzana, datang dari Malaysia

* Soudesuka..wakarimashita. Watashimo wakaranai kara gomennasai ne = Oh, macam tu ke..sekarang saya faham. Saya pun minta maaf kerana saya tidak tahu.

1 ulasan:

Amalina Ismail berkata...

i'm crying reading this..su, be strong n congratulation for being persistent...may Allah bless u there...n we mizz u so much here...n send my regard to Rio...is he handsome like takuya kimura? hehe...