31 Mac 2013

Agamaku Maruahku..



“Esok nak pakai baju apa ye? Tudung warna apa yang matching dengan baju-baju ni? Em, nampaknya sikit sangat la tudung yang aku ada.” Aku mengomel seorang diri sambil tangan ligat mengira jumlah tudung yang aku bawa untuk kegunaan sepanjang satu tahun di Jepun. 

            Erk, lebih dua puluh helai tudung yang aku ada sekarang termasuk yang mak poskan bulan lepas, tapi mana satu yang aku nak pakai esok ek? Aku sendiri terkejut melihat jumlah tudung di hadapanku. Macam mana aku nak bawa balik Malaysia nanti? Muatkah untuk ‘disumbat’ ke dalam beg semua pakaianku yang semakin lama semakin bertambah jumlahnya ni? 

            Sedang aku termangu, aku teringat kata-kata ayah ketika kami membuat persiapan membeli baju raya tahun lepas.“Susah betul nak uruskan orang perempuan ni, kaki sepasang je tapi kasut smpai tiga, empat pasang, dah macam kaki lipan. Tudung pulak kena sama warna dengan baju, kalau tak sama beli yang lain lagi.. hmm,” Aku dan adik-adik perempuanku hanya tersengih bak kerang busuk.

            Setelah tersedar dari lamunan, aku terus memilih pakaian untuk dipakai esok. Debaran kian terasa. Esok aku akan menghadiri temuduga kerja sambilan atau part time job di syarikat milik rakyat Jepun. Walaupun hanya mahu melakukan kerja sambilan sementara mengisi masa cuti semester selama 3 bulan, aku tetap perlu mematuhi prosedur yang mewajibkan aku menghadiri temuduga dan menghantar resume kepada syarikat yang dipohon.

            Aku juga tidak lupa untuk mengulangkaji istilah-istilah penting berkaitan pekerjaan di syarikat tersebut dalam Bahasa Jepun. Keesokan  harinya, aku begitu bersemangat bangun awal dan bersiap untuk menghadiri temuduga tersebut. Aku benar-benar ingin bekerja di sana. Selain dapat menampung kos sara hidup yang sangat tinggi, aku juga ingin mendapat pengalaman bekerja serta mempelajari selok-belok pengurusan dan cara bekerja orang Jepun yang bagiku penuh dengan disiplin dan produktif.

            Aku sampai di Akihabara  iaitu tempat syarikat tersebut terletak satu jam lebih awal dari masa yang dijanjikan. Semangat nak bekerja la katakan. Namun, akibat gagal mengikut peta yang diberikan ‘pakcik’ google maps, aku akhirnya tersesat ke tempat lain. Bangunan yang aku cari tak dapat kutemui. Jarak bangunan syarikat tersebut dari stesen keretapi yang sepatutnya hanya memakan masa lebih kurang lima minit  berakhir hingga hampir satu jam. Nasib baik ada pondok polis di situ yang boleh kuminta bantuan untuk tunjukkan jalan, jika tidak tentu tak sempat hadiri temuduga.

            Kepenatan akibat mencari jalan sebentar tadi seakan tidak terasa apabila bertemu dengan penemuduga yang sangat ramah dan mesra iaitu Encik Uchida. Sesi temuduga yang kusangkakan akan berlangsung dalam suasana tegang berlaku sebaliknya. Kami bertukar-tukar soalan dan bercerita pelbagai perkara termasuk pekerjaan, pelajaran, dan agama. Ternyata Encik Uchida mengetahui banyak perkara mengenai Islam namun pemahamannya yang kurang menjadikannya agak berfikiran negatif terhadap agama ini. Sebagai contoh, beliau menyatakan bahawa agama Islam sangat tegas kerana semua orang Islam terpaksa berpuasa sebulan berturut-turut ketika bulan Ramadahan dan tidak dibenarkan makan langsung dalam tempoh tersebut. 

Kemudian aku jelaskan kepada beliau bahawa orang Islam hanya berpuasa bermula waktu pagi ketika terbit fajar hingga waktu petang setelah matahari terbenam. Beliau agak terkejut dengan jawapanku kerana andaiannya ternyata tidak benar dan agama Islam tidaklah sebegitu susah. Setelah itu, beliau bertanya lagi, mengapa Muslim tidak makan babi atau kedengaran lebih sopan jika disebut sebagai khinzir?  Adakah kerana binatang tersebut adalah sangat suci dan disembah seperti yang dilakukan oleh penganut agama Hindu?

Jauh di sudut hatiku, aku berasa sangat marah kerana orang Islam dikatakan menyembah khinzir. Namun, aku cuba bersabar seboleh mungkin dan cuba menjawab dengan nada yang paling baik. Beliau bertanya kerana tidak tahu dan mungkin inilah masanya untuk aku jelaskan supaya orang kafir tidak lagi berpandangan negatif terhadap agama Islam. Aku jelaskan padanya bahawa khinzir termasuk anjing adalah binatang paling kotor dalam agama Islam kerana boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit. Memegangnya sahaja sudah diharamkan apa lagi hendak memakannya. Encik Uchida mengangguk tanda faham dan beralih ke soalan lain.

            Tidak lama kemudian, beliau kembali fokus membaca resume dan soalan kaji selidik yang aku tulis. Beliau sangat teruja kerana di dalamnya aku tuliskan bahawa aku turut boleh berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu serta secara asasnya boleh menggunakan komputer. Beliau lalu mencadangkan supaya aku melakukan kerja yang melibatkan aktiviti penterjemahan. Aku maklumkan padanya bahawa aku tidak kisah apa sahaja kerja yang diberikan akan aku buat melainkan kerja yang melibatkan perkara haram dan dilarang oleh agama Islam.

            Tiba-tiba Encik Uchida bertanya, “Boleh tak awak buka tudung masa bekerja nanti?”. Hah.. pulak dah. Aku tergamam kemudian kucuba senyum dan menjawab,“Tak boleh, ini kewajipan dalam agama saya.”

Kemudian beliau berkata lagi, “Mengikut rekod sebelum ini, selalunya pemilik kedai atau syarikat tidak akan membenarkan wanita memakai tudung ketika bekerja. Jadi, jika kamu tidak mahu membuka tudung, peluang untuk kamu mendapat pekerjaan adalah sangat tipis.

“Em, kalau ada kerja yang saya boleh bekerja dengan tetap memakai tudung, encik hubungilah saya.  Tapi kalau tak boleh jugak, tak mengapalah, saya cuba cari di tempat lain, terima kasih.”

"Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka menutupkan jilbab ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu agar mereka lebih mudah untuk dikenali, sehingga mereka tidak diganggu." 
                    
                                                       [Surah Al-Ahzab(33) : ayat 59]

Walaubagaimanapun, kini cuti semester hampir berakhir, aku masih belum berjaya mendapat sebarang pekerjaan. Aku telah cuba mencari di merata tempat terutamanya di syarikat yang dimiliki orang Islam seperti kedai runcit dan restoran. Namun, perkara yang amat menyedihkanku adalah kebanyakan restoran milik orang Islam turut menjual minuman keras sebagai menu yang dihidangkan kepada pelanggan. Status halal yang dimiliki mereka hanyalah merujuk kepada makanan yang dimasak menggunakan daging haiwan yang disembelih dengan cara Islam. Lambakan pekerja dari Bangladesh dan Pakistan di kedai runcit pula menyukarkanku untuk mendapat kerja di situ. 

Hmm, mungkin rezekiku belum tiba. Aku redha asalkan aku tidak melakukan pekerjaan yang haram atau syubhah. Aku yakin bahawa Allah tidak akan membiarkan hamba-Nya dalam kesusahan dan kelaparan. Pintu rezeki akan terbuka pada masa yang  diizinkan-Nya. Perkara yang utama adalah jangan pernah berhenti berusaha, berdoa dan bertawakal kerana aku percaya di situlah terletaknya kunci kejayaan. InsyaAllah..
Firman Allah:

            “Katakanlah (Muhammad), Tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakallah orang-orang yang beriman.”

                                                            [Surah At-Taubah (9) : ayat 51]

 -Suhaila binti Rusni-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

saya doakan agar anda tabah dan menddapat kejayaan. berdoalah selalu kerana Allah sentiasa bersama orang yang tabah...