Alhamdulillah dapat lagi kita menghelakan
nafas panjang-panjang pada hari ini, sesekali kita bangun, yang pasti nafas
yang segar dapat kita rasai, menghirup udara nyaman tanpa dicampuri
unggas-unggas yang tidak menyenangkan.
Setiap yang kita rasai tiada nilai mata
wang yang mampu untuk dibayar. Bak kata hati “ diriku dapat merasainya
tetapi tidak mampu diungkap dengan
kata-kata”. Namun dalam pemberian nikmat itu masih ramai yang tidak berfikir
dan “bersyukran” dengan Ilahi.
Bahkan tanpa segan silu mereka berjalan di
bumi yang sangat tua ini dengan tiada kesyukuran. Lopak-lopak dalam jiwa sudah
dibiarkan terus berlubang dengan hebat sekali.
Bius dunia seakan-akan telah diadun ke
dalam “seketul darah” penggerak jasad hingga menjadi kuih yang keras yang tidak
mampu untuk dimakan.
Sombong dan angkuh telah menggelegak dalam
diri tidak kira yang dewasa mahupun telah berusia, masing-masing mempunyai
hujah yang tersendiri. Hujahnya dilempar kemas dan padu bagaikan atom yang
ingin dilepaskan dalam diri.
Utuhnya dunia kita, utuh umpama langit yang
tiada tanda untuk runtuh. Namun kita tidak berfikir dengan mata hati terhadap
apa yang telah kita lihat, sehebat langit yang utuh pun masih mengeluarkan “
air mata” rintihan yang dapat membanjiri alam fauna ini, sehinggakan “Air mata
nasuhanya” mampu memberi kebahagiaan kepada makhluk di planet yang kita
agungkan ini.
Pun begitu masih tiada riak kesyukuran
dalam hati kita. Bak kata orang “ Tidak kupinta lahir ke dunia, tidak kuduga cacat
begini…” Aduh!! Hebat kita kerana mampu berkata-kata dengan nada begitu…
Imam
al-Ghazali berkata orang begini sombong namanya, jika disuruh masuk ke dalam
perut ibunya kembali dia tidak mahu. Setiap benda yang berlaku tiada erti
kesyukuran tetapi riak-riak tersungkur semakin terserlah. Itulah ragam manusia.
Bayangkan bagaimana seorang ibu bapa
membesarkan anak-anak dengan menempuh berbagai ranjau kesusahan. Mereka memberi
ilmu dan pendidikan sehingga anak-anak
mereka menjadi insan yang berjaya. Kekadang kesusahan yang mereka tanggung
mampu ditagih dengan air mata rintihan semata-mata.
Harapan yang mereka inginkan untuk melihat
anak-anak mereka berjaya, bukannya menyambung kesusahan dan keperitan yang mereka
alami sekian lama. Begitulah pengorbanan ibu bapa yang telah dicurahkan demi
anak-anak. Tetapi malangnya, tatkala anak-anak mereka sudah berganjak dewasa
dan berjaya, si tua ditinggalkan bagaikan kayu dimakan bubuk senja, apatah lagi
untuk menghormati mereka.
Si tanggang alaf baru telah muncul membawa
‘kekufurannya”. Jika beginilah kita sebagai anak-anak, bagaimanakah perasaan ibu
bapa kita? Mereka bukannya robot yang punya bateri “Eveready” yang senantiasa
“ready” dan “ steady ” untuk menerima hakikat perlakuan anak-anaknya.
Sudah pasti rasa terkilan akan terzahir
dalam hati mereka yang diterjemahkan dengan rasa kecewa dan marah. Itulah rintihan
amarah api neraka. Jadi apatah lagi Allah SWT yang memberi kita pelbagai nikmat
sejak kita berada di alam dunia ini yang dikelilingi makrifat-makrifat-Nya yang
menggunung tinggi. Sudah tentu kemurkaan Allah SWT lebih-lebih lagi kalau
hamba-hamba-Nya tidak mensyukuri nikmat-Nya.
Jadi
mana mungkin pemberian Ilahi tidak dibalas dengan ucapan mahupun perlakuan.
Kita sebagai hamba yang sodid perlulah senantiasa bersyukur bukannya terus
tersungkur dalam arus dunia yang penuh kufur. Ketahuilah hati yang bersih
sentiasa membawa jiwa untuk bersyukur. InsyaAllah…
Dalam hal ini Allah berfirman bagi sekalian
manusia supaya bersyukur di atas segala nikmat yang diberikan lebih-lebih lagi
nikmat Islam dan iman yang terpahat dalam hati. Potongan surah An-nahl:
“Syukurilah
nikmat Allah jika kamu sungguh-sungguh menyembah kepada-Nya”
Nikmat pemberian Allah yang melimpah ruah
di bumi ini tidak dapat kita hitung dengan jari jemari bahkan dengan kalkulator
secanggih mana sekalipun. Sekilas pandangan kanan kiri, depan belakang, atas
dan bawah, kita dapat merasai nikmat pemberian Yang Maha agung. Allah SWT amat
penyayang dan mengasihani hamba-hamba-Nya dengan memberi pelbagai rahmat kepada
kita. Untuk apa? Bukan sekadar untuk hidup selesa di dunia. Akan tetapi
berkesinambungan terus hidup selesa di jannah hakiki yang memerlukan sifat
syukur yang dizahirkan melalui gerak kerja seharian di dunia terlebih dahulu.
Firman Allah: “Dan
jika Allah telah mengeluarkan kamu dari perut ibumu tanpa mengetahui sesuatu,
kemudian diberiNya kamu pendengaran,
penglihatan dan hati semoga kamu bersyukur.
Lantaran itu, bilamana keinsafan datang
daripada hati, maka kita sebagai umat
yang berakal perlulah senantiasa bersyukur dalam setiap gerak kerja. Bukan
sekadar mengucapkan Alhamdulillah semata-mata. Jadi kita sebagai umat yang
bertuah mesti ada rasa tanggungjawab dalam menonjolkan sifat kesyukuran ini,
tidak lagi tersungkur di bawah timbunan.
Tatkala hati sudah tertaut maka rasa kehambaan bak bunga sedang mekar tiada
tanda untuk layu. Beginilah permulaan syukur yang mana hati telah diikat kukuh
untuk merasa nikmat ilahi dan merasakan segalanya datang daripada rubbul
‘alamin. Hatinya sudah tertaut umpama si rijal mengimpikan si nisa’ bahkan
lebih daripada itu.
Tautan hati ini lebih gah daripada tembok
besar china. Inilah dinamakan zikir kepada Allah SWT. Dari hati maka turun ke
kalam. Kalamak akan terus berkata-kata dengan mengalunkan nada penuh kesyukuran
yang tiada putus pujian ucapan Alhamdulillah. Mulutnya tidak lagi basah akibat
air setitis tetapi pujian mengagungkan Ilahi sentiasa meniti di bibir.
Rasulullah SAW bersabda:“ Allah senang kepada
hamba-Nya yang apabila makan mengucapkan puji syukur kepadaNya dan jika minum
mengucapkan puji syukur kepadaNya”
Zikir yang terpancar akan dizahirkan pula
dengan tingkah laku yang sempurna. Di sini titik kepatuhan kepada-Nya dengan
erti kata syukur yang tidak lagi terus tersungkur di lembah yang kufur.
Bak
umpama Qoran yang mana kekayaannya hingga membebankan unta untuk memikul
kunci-kunci kekufurannya, akan tetapi kunci-kunci kesyukuran tenggelam di dalam
hati yang zulmah tanpa nur yang membentuk kesyukuran, tiada tanda untuk mekar
sehinggakan dirinya dan hartanya ditelan oleh bumi. Jadi usahlah kita mencari
harta Qoran yang tidak diberkati tetapi carilah harta Abdul Rahman Ibn Auf yang
diberkati sehingga kini.
Hakikat syukur itu sangat indah, tiada
indah bulan tanpa cahaya, tiada indah bunga tanpa warna, tiada indah manusia tanpa hati, dan tiada indah hati
tanpa bersyukur. Jadi kita para murobbi sudah semestinya tiada alasan untuk
berkata ‘uf” untuk bersyukur kepada Pencipta kita, Allah SWT.
Rasulullah SAW sentiasa bersyukur kepada
Allah SWT, jadi kita pengikut Baginda semestilah turut bersyukur dengan nikmat
yang dikurniakan olehNya lebih-lebih lagi nikmat Islam dan iman yang terpahat
dalam hati kita ini. InsyaAllah…. Moga-moga kita dalam nikmat bersyukur
sentiasa bukan terus tersungkur di lembah kufur…
“ Ya Tuhanku, berikanlah kepadaku petunjuk agar aku
mensyukuri nikmat yang Engkau anugerahkan
kepadaku dan kepada ibubapaku supaya aku melakukan perbuatan baik yang Engkau
redhai dan masukkanlah aku dengan rahmatMu ke dalam lingkungan hamba-hambaMu
yang soleh..”
Mohd Zulkifli
alfikry
Presiden KBMUPM