24 September 2011

Bingkisan Berisi Makanan

“Lebih baik menyalakan lilin daripada terus-menerus melaknat kegelapan.”

Kata-kata ini saya petik daripada ucapan Dato’ Dr. Siddiq Fazil dalam satu program anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) pada semester lepas. Berbekalkan doa dan pergantungan yang tinggi pada Allah swt, saya menanam tekad untuk mengambil semangat dan iktibar bagi memperbaiki pencapaian akademik dan sudut tarbiyah diri saya dan rakan-rakan dalam KBMUPM semester ini. Selaku presiden, apa yang saya harapkan hanyalah untuk melihat anak-anak buah saya dalam KBMUPM menjadi seorang yang hari esoknya lebih baik dari hari ini. Dalam usrah pimpinan yang diadakan baru-baru ini, saya mengambil peluang untuk berkongsi peringatan daripada Allah yang disampaikan melalui bahan makanan kita iaitu lobak, telur dan biji kopi berkenaan akhlak kita sebagai hamba jua khalifah.

Rakan-rakan sekalian,

Mari kita amati betul-betul lobak (tak kiralah merah atau putih). Strukturnya keras , amat menyakitkan jika kita cuba menggigitnya mentah-mentah. Bagaimana pula dengan telur? Adakah telur juga keras pada asalnya? Pastinya tidak. Telur berada dalam keadaan cair dan begitu mudah rosak. Lain pula ceritanya dengan kopi. Kopi mempunyai tekstur yg halus serta berwarna hitam (sangat tak menceriakan). Namun begitu, ketiga-tiga bahan makanan ini menunjukkan reaksi berbeza apabila dikenakan air panas.Lobak yang keras tak semena-mena menjadi lembik. Telur pula sebaliknya. Ia lantas menjadi keras. Apa yang berlaku pada kopi? Ia menjadi besar dan menjadikan air panas tadi bertukar menjadi hitam! Subbahanallah.

Apa maksudnya semua ini rakan-rakan? Lobak menjadi analogi bagi orang yang kuat semangat dan iltizamnya. Namun, orang ini terus lemah, lembik dan berputus asa apabila ada aral melintang di hadapannya. Telur pula mencerminkan individu yang awalnya leka dan lena dalam zon selesa yang kemudiannya tersentak, sedar dan insaf apabila didatangi musibah. Manakala kopi pula menjadi perumpamaan kepada orang yang begitu karismatik dan energetic. Masalah dan dugaan yang mendatanginya dimanipulasi dengan baik untuk melonjakkan dirinya menjadi manusia yang lebih baik.

“Wahai orang-orang beriman, bertaubatlah kamu dengan taubat nasuha (taubat yang bersungguh-sungguh), mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Pada hari itu, Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang beriman yang bersama dengannya. Cahaya iman dan amal mereka bergerak pantas di hadapan mereka sambil mereka berkata: Wahai Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami chaya kami dan limpahkanlah keampunan kepada kami. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Demikianlah mafhum ayat 8, surah at-Tahrim untuk kita fikir dan renungkan bagi melengkapkan cerita lobak, telur dan kopi tadi. Siapapun kita sebelum ini tidak penting. Apa yang penting ialah siapa kita hari esok. Saya akui bahawa poin-poin yang saya bangkitkan dalam entri ini saya sentuh secara terapung sahaja. Harapan saya agar ianya diamati dan dijadikan topik bualan dan perbincangan rakan-rakan ketika sedang menunggu bas mahupun sebelum menghirup buih-buih teh tarik. Sebagai kesimpulan, marilah kita tetap berada dalam organisasi ini agar diri kita sentiasa segar dengan peringatan-peringatan Allah seterusnya membantu kita membina keperibadian unggul seorang mahasiswa!

“Kemuliaan dan Kecemerlangan Mahasiswa”

Tiada ulasan: