08 Julai 2009

Kejutan Budaya



Saya mengambil keputusan untuk menyertai minggu orientasi pelajar baru sebagai urusetia. Sedikit aneh sebenarnya kerana hakikinya saya jarang-jarang sekali berminat untuk menyertai program anjuran universiti. Bila dikenangkan kembali mengapa, saya sedar kini sebabnya setelah saya melalui sendiri dua minggu ini.


Pertama, saya tak mungkin berjaya mengadaptasi diri dengan gaya dan budaya yang diamalkan dalam sebarang aktiviti dan program yang diadakan. Barangkali tidak semua namun hampir setiap daripadanya. Saya jadi terkenang minggu orientasi yang telah saya lalui dua tahun lalu ketika kali pertama saya menjejak kaki sebagai mahasiswa di institut pengajian tinggi ini. Ia menjadi titik tolak untuk saya jadi berhati-hati dalam memilih sebarang program dan aktiviti untuk disertai. Namun, akhir-akhir ini iaitu semenjak semester yang lalu saya semakin cuai dan lalai. Sungguh, saya perlu kembali berwaspada dan sentiasa waras serta berfikir sepanjang sebelum mengambil sebarang keputusan.


Sebelum mula bertugas sebagai fasilitator untuk pelajar baru, kami terlebih dahulu perlu menghadapi tiga hari kursus persediaan. Tiada apa yang menarik tentang kursus ini selain masalah penyediaan makanan pada mulanya dan isu ketepatan masa oleh pihak yang menganjurkan. Namun, saya sedikit tertarik untuk berbicara soal rancangan Suara Siswa terbitan RTM yang dirakamkan secara langsung di universiti ini ketika kami sedang menjalani kursus tiga hari.


Hakikatnya saya bukanlah penggemar rancangan ini, cuma sesekali menonton untuk menilai kemampuan mahasiswa masa kini dalam menganalisis isu-isu semasa disamping melontarkan idea serta pemikiran serta berkongsi ilmu pengetahuan. Ternyata, acapkali saya membuat konklusi betapa mahasiswa kita begitu lemah dalam soal-soal begini. Bukan saya mahu merendah atau memperkecilkan kebolehan mereka kerana hakikatnya saya sendiri lebih rendah dan kecil berbanding mereka yang tampil sebagai pemimpin mahasiswa, namun saya merasakan mahasiswa kita kurang meneliti ilmu serta membuka minda unutk berfikir secara lebih kritis dan kreatif.


Apa yang menarik tentang rancangan Suara Siswa ini bukanlah kerana hangatnya topik perbincangan kerana ternyata idea-idea yang disampaikan oleh panel-panel jemputan sama sekali bagi saya tidak sampai maklumatnya atau jika sampai sekalipun hanyalah idea-idea lapuk yang kurang relevan dan perlu penjelasan yang lebih mendalam. Namun saya begitu tertarik untuk mengupas serba sedikit tentang topik kejutan budaya yang diutarakan pengacara. Bukan mahu menunjuk pakar di sini, sekadar perkongsian idea dan wacana. Barangkali tempoh kurang 60 minit yang diperuntukan pasti terlalu singkat dan saya yakin panel-panel jemputan mempunyai luahan idea yang lebih mapan dan jitu untuk disampaikan.


Saya sentiasa mengalami kejutan budaya tiap kali memulakan kehidupan di persekitaran baru. Bagi saya ia bukan sesuatu yang asing malah normal untuk setiap individu. Namun, masalah utamanya ialah bagaimana untuk kita berdepan dengan isu ini?


Sebelum merungkai permasalahan ini dari sudut pemikiran mahasiswa yang masih hijau ini, saya kira baik rasanya saya mendefinisikan kejutan budaya itu sendiri. Saat saya menulis entri ini, saya cuma bersama komputer riba tanpa sambungan internet serta tiada sebuah kamus pun di sisi. Maka tanpa sebarang rujukan, saya memberi makna dua perkataan ini dari pemahaman akal saya yang pendek ini. Lucu sekali bukan? Namun, inilah yang berlaku pada kebanyakan mahasiswa hari ini tidak terkecuali saya yang bertindak mengikut pemikiran sendiri dan begitu mudah terpengaruh pada anasir-anasir yang mampir.


Walauapapun, dari pemahaman dan ilmu sedikit yang saya miliki, saya memaknakan kejutan budaya sebagai satu situasi di mana apabila satu individu itu berpindah dari persekitaran budaya yang biasa dialaminya kepada satu persekitaran yang mengamalkan budaya yang sedikit berbeza atau sama sekali berbeza dengan budayanya yang biasa itu. Kebiasaannya individu yang berdepan dengan situasi ini akan memiliki beberapa perasaan antaranya bimbang, takut, sedih, gembira, teruja dan sebagainya. Perasaan-perasaan inilah yang perlu diseimbangkan dalam diri masing-masing agar ia tidak menjerumuskan diri dalam kejutan budaya hingga mahasiswa menjadi individu yang terlalu terikut-ikut perasaan. Oleh itu, konsep IQ, EQ dan SQ sangat memainkan peranan yang penting untuk difahami dan dihadam oleh pelajar.


Baiklah, berbalik kepada permasalahan iaitu bagaimana caranya untuk kita menghadapi isu kejutan budaya. Setelah dua tahun di alam universiti dan bertahun-tahun di pelbagai sekolah, saya merasakan salah satu cara terbaik untuk berdepan permasalahan ini adalah dengan kembali kepada jati diri kita. Permasalahan lain pula akan timbul ialah apakah itu jati diri? Dan apakah pula jati diri kita?


Secara mudahnya saya dapat memberi di sini ialah jadilah diri sendiri. Jangan menjadi seorang mahasiswa yang begitu mudah terpesona dan mengikut apa jua tampil dan hadir. Namun, dalam isu usia kita ketika ini, kita sering mengalami konflik identiti, celaru tentang siapa diri kita dan ke mana arah tujuan hidup kita. Lantas kita sendiri tidak pasti siapakah diri kita.


Rumit sekali bukan? Namun, inilah kerumitan yang dialami oleh kita semua. Dan saya sendiri masih tidak menemui sebahagian jawapan dari kerumitan ini kerana saya sendiri sebaya dengan kalian, mengalami dan melalui konflik yang serupa.


Namun, dalam mencari identiti dan jati diri, sumber rujukan paling utama adalah agama dan sejarah. Saya tidak mahu bersikap rasis di sini sedang ketika menuju kesatuan bangsa Malaysia dengan slogan Satu Malaysia. Tapi, saya merasakan perlu kita menjadi satu bangsa yang mengenal jati diri dan identiti diri serta membentuk bangsa dengan acuan kita sendiri. Tanpa pengaruh dan pesona budaya luar.


Panjang pula perbincangan ini, maka saya mahu ringkaskan di sini agar setiap mahasiswa-mahasiswa baru mencari jati diri. Pencarian ini bukannya satu yang mudah, kadang-kala anda akan ketinggalan dan tersisih kerana pantasnya manusia terutamnya remaja dalam meneroka budaya-budaya baru dari luar. Namun, teguhlah anda dalam merempuh gelombang kejutan budaya.


Pesan saya, universiti adalah pentas di mana anda bakal membentuk diri anda sendiri dengan cara anda sendiri. Anda bebas memberi ruang dan peluang. Gunakan setiap ruang dan peluang itu sebaiknya dengan pertimbangan ilmu, iman dan amal. Carilah teman yang teguh dan kukuh jati diri dan lebih baik lagi hiduplah dalam jemaah agar anda akan sentiasa diingati dan saling tegur-menegur atas apa jua situasi.


Akhir kata, selamat menempuh alam universiti yang manis dan indah namun penuh onak duri cabaran. Selamat Berjaya!




Tiada ulasan: