03 Januari 2010

=Kerana Yakin Ramai Mahasiswa BUTA kes=



PKPIM : Kalimah Allah Eksklusif

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) hari ini menegaskan bahasa kalimah “Allah” ialah eksklusif dan hanya boleh merujuk kepada konsep tuhan yang difahami oleh umat Islam sahaja dalam konteks masyarakat Islam dan Alam Melayu.
Pendirian berkenaan dikeluarkan melalui kenyataan media oleh presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz.
Persatuan berkenaan beralasan sebelum kedatangan Islam dalam sejarah Melayu, “kalimah Allah tidak digunakan sebagai rujukan kepada tuhan, tetapi istilah Allah ini hanya wujud dan sebati dalam masyarakat Melayu selepas berlakunya proses Islamisasi akar budaya dan bahasa”.
Faisal juga dalam kenyataannya menyebut bahawa “bahasa asal” bagi Al-Quran ialah Bahasa Arab berbanding Injil dan Taurat masing-masing menggunakan bahasa asal Bahasa Greek dan Bahasa Hebrew.
“Justeru, kalimah yang merujuk kepada istilah tuhan dalam terbitan Herald sepatutnya menggunakan istilah yang diguna pakai dalam bahasa Greek memandangkan kalimah Allah itu adalah pinjaman dari bahasa Arab (Al-Quran),”petik kenyataan berkenaan.
Dalam pada itu, PKPIM menyokong pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengemukakan rayuan secepat mungkin untuk menyemak semula keputusan yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Herald Catholic dalam cetakan bahasa Melayunya.
Persatuan berkenaan yang berpendirian “akan menimbulkan banyak kekeliruan dalam kalangan umat Islam yang akhirnya akan membawa kepada gejala murtad” jika perkongsian nama berkenaan diluluskan.
Kesan berkenaan mengambil fakta kes yang berlaku di Indonesia menerusi terjemahan kitab Bible kepada Al-Kitab.
Dalam masa yang sama, PKPIM bertegas dan mengalu-alukan keputusan kabinet yang bertarikh 16 Mei 1986 yang melarang mana-mana agama selain Islam untuk menggunakan empat perkataan iaitu Allah, Solat, Baitullah dan Kaabah.
Faisal juga mengajak NGO Islam yang lain agar “menggandakan dakwah dan ta’adib” kepada masyarakat Islam.
“Permasalahan ini tidak akan timbul jika kefahaman Umat Islam Malaysia khususnya generasi muda terhadap konsep aqidah benar-benar jelas dan mantap,”petik kenyataan.
Terdahulu, Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai penggunaan perkataan “Allah” di Mahkamah Rayuan bagi tindakan dan pembelaan sewajarnya demi memastikan kesucian Islam di Malaysia terpelihara.
Pada 16 Februari lepas, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan “Allah” dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.- Mahasiswakini

Tiada ulasan: