Pernahkah anda ditanya pelbagai soalan
berkaitan agama Islam oleh adik-adik anda, rakan-rakan atau oleh orang bukan
Islam? Jika kita berada di Malaysia atau negara lain yang majoriti penduduknya
adalah orang beragama Islam, perkara ini mungkin bukan satu masalah kerana
terdapat banyak tempat rujukan seperti para guru dan alim ulama di samping
media massa yang banyak mendedahkan tentang kehidupan orang Islam.
Namun,
bayangkan ketika anda melawat, belajar atau berpindah ke negara luar yang
penduduk Islamnya adalah golongan minoriti, keadaan di mana segala
tindak-tanduk kita yang memegang identiti sebagai Muslim akan diperhatikan. Pelbagai
soalan akan muncul di benak mereka apabila melihat kita melakukan perkara yang
tidak pernah mereka ketahui sebelum ini. Jika bernasib baik, mereka akan
bertanya kepada kita dan inilah peluang kita untuk menjelaskan sebaiknya
tentang Islam. Jika tidak, mereka mungkin akan terus mencurigai tindak-tanduk
kita yang seterusnya boleh menyebabkan mereka memasang prasangka yang kurang
baik tentang agama Islam. Namun, bagaimanakah kita hendak menjawab segala persoalan
yang dikemukan? Berikut adalah antara soalan-soalan
yang pernah saya terima berkaitan agama Islam iaitu:

- Jika orang bukan Islam mempunyai berhala dan salib, siapakah Tuhan orang Islam? Apakah simbol / tanda kewujudan-Nya?
- Mengapa orang Islam tidak mahu menyembah patung sembahan mereka sedangkan orang beragama lain seperti Kristian dan Buddha menyembah patung tersebut untuk menghormati budaya mereka?
- Mengapa wanita Islam perlu memakai tudung dan memakai pakaian yang menutupi hampir seluruh badan? Tidak panaskah?
- Mengapa perlu sembahyang sehingga 5 kali sehari?
- Kenapa orang Islam tidak makan daging babi dan daging binatang yang disembelih oleh orang bukan Islam dan bukan dengan cara Islam?
- Mengapa tidak boleh memegang anjing dan babi?
- Mengapa tidak boleh bersalam dan menyentuh orang yang bukan mahram?
- Adakah agama Islam menyeksa umatnya kerana disuruh berpuasa sehingga 1 bulan
- Mengapa tidak boleh minum arak walaupun sedikit seperti yang telah dimasukkan dalam makanan?
- Benarkah Islam tidak membenarkan pasangan kekasih ‘dating’, berpegangan tangan dan sebagainya. Jika begitu, tentu sangat membosankan kerana tidak romantik.
Dan berbagai-bagai
lagi bentuk soalan yang seumpama dengan ini saya terima. Saya telah cuba
menjawab sedaya-upaya yang boleh seperti yang saya ketahui dan belajar. Pada
pandangan saya, mereka bertanya kerana mereka tidak tahu, oleh itu, kitalah
yang bertanggungjawab untuk menyampaikan kepada mereka berkaitan Islam. Jadi,
jika anda menghadapi situasi yang sama, bagaimanakah jawapan anda? Ayuh
fikirkan..
Moga kita
dapat sentiasa mempersiapkan diri dengan ilmu agama supaya kita dapat beribadat
dengan sempurna serta menyampaikan kepada orang lain. Diharapkan semoga agama
Islam dipandang sebagai sebuah agama yang indah, sempurna dan mudah, bukannya
kejam, ketinggalan zaman dan menyusahkan. Semoga kita bersama-sama mendapat
manfaat.. InsyaAllah..
“Maka apakah orang yang
mengetahui bahawa apa yang diturunkan
Tuhan kepadamu adalah kebenaran, sama dengan orang buta? Hanya orang yang
berakal saja yang dapat mengambil pelajaran,”
[Surah Ar-Ra’d (13) : ayat 19]
![]() |
Add caption |

Tiada ulasan:
Catat Ulasan