24 Disember 2011

Satukan Hati Kita Melalui Saf Solat



Daripada Abu Masud, katanya:
Rasulullah SAW menyentuh bahu kami sebelum solat sambil berkata, luruskan barisanmu (saf), jangan bengkok, nescaya yang menyebabkan hatimu berpecah-belah.”
(Hadith Riwayat Muslim)

Anas Malik berkata, Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
Luruskan saf kamu, kerana saf yang lurus termasuk solat yang sempurna.”
(Hadith Riwayat Muslim)

Al-Nu’man bin Bashir telah berkata :
“Adalah Rasulullah SAW selalu membetulkan saf kami seperti membetulkan anak panah, sehingga kami benar-benar faham akan kepentingan membetul dan meluruskannya (saf). Pada suatu hari ketika baginda keluar solat bersama kami sedang baginda hampir bertakbir terlihat seorang lelaki yang kedudukan dadanya mengereng dari saf, lantaran baginda bersabda: “Wahai hamba-hamba Allah sama ada kamu betul dan luruskan saf-saf kamu atau Allah SWT memalingkan wajah-Nya daripada wajah-wajah kamu.”
(Hadith Riwayat Muslim, , Abu Daud, dan  al-Tarmidzi)

Cara-Cara Merapatkan Saf Yang Betul
1.  Merapatkan bahu dengan bahu, lutut dengan lutut, dan mata kaki dengan mata kaki sebagaimana hadith berikut:
2.  Meluruskan telapak kaki dengan telapak kaki saudaranya dan meluruskan telapak kaki ke arah kiblat.
3. Menutup celahan di antara saf
4.  Meletakkan posisi badan dalam keadaan yang betul.
Keterangan:
1.  Merapatkan bahu dengan bahu, lutut dengan lutut, dan mata kaki dengan mata kaki sebagaimana hadith berikut:
“Dari Nu’man bin Basyir r.a. berkata:
Aku melihat seseorang merapatkan bahunya dengan bahu saudaranya, merapatkan (melekatkan) lututnya dengan lutut saudaranya dan mendekatkan mata kakinya dengan mata kaki saudaranya.
(Hadith Riwayat Bukhari)
2.  Meluruskan telapak kaki dengan telapak kaki saudaranya dan meluruskan telapak kaki ke arah kiblat.
“Dari Anas bin Malik r.a. berkata,
“(Pada waktu solat) masing-masing dari kami meratakan bahunya dengan bahu saudaranya dan telapak kakinya dengan telapak kaki saudaranya.”
(Hadith Riwayat Bukhari)
Baginda menghadapkan hujung-hujung kedua-dua jari-jemari kaki baginda ke arah Kiblat”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Abu Daud)
Betul – Kaki diluruskan ke arah hadapan (Kiblat)
Salah – Kaki tidak lurus ke hadapan
3. Menutup celahan di antara saf
Dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Tegakkanlah saf-saf, sejajarkanlah bahu-bahu kalian, tutupkanlah celah-celah, dan lembutkanlah diri kalian untuk disentuh tangan-tangan saudara kalian. Jangan biarkan celah-celah untuk dimasuki syaitan. Barangsiapa yang menyambung saf, maka Allah menyambungnya dan barangsiapa yang memutuskan saf, maka Allah memutuskannya.”
(Hadith Riwayat Abu Daud, an-Nasa’i, Ahmad, )

Di dalam riwayat lain, Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Demi jiwaku yang ada di tangan-Nya, aku melihat syaitan masuk di celah-celah saf, sebagaimana masuknya anak kambing.
(Hadis Riwayat Abu Daud)
4.  Meletakkan posisi badan dalam keadaan yang betul.
Dari an-Nu’man bin Basyir: beliau berkata,
“Adalah Rasulullah SAW selalu membetulkan saf kami seperti membetulkan anak panah, sehingga kami benar-benar faham akan kepentingan membetul dan meluruskannya (saf). Pada suatu hari ketika baginda keluar solat bersama kami sedang baginda hampir bertakbir terlihat seorang lelaki yang kedudukan dadanya mengereng dari saf, lantaran baginda bersabda: “Wahai hamba-hamba Allah sama ada kamu betul dan luruskan saf-saf kamu atau Allah SWT memalingkan wajah-Nya daripada wajah-wajah kamu.”
(Hadith Riwayat Muslim, , Abu Daud, dan  al-Tarmidzi)
Merapat dan meluruskan saf kelihatan seolah-olah perkara kecil dan remeh walhal ia merupakan suruhan Rasulullah. Kita tanyakan kepada diri kita, perkara yang sekecil ini kita remehkan bagaimana pula perkara yang lebih besar. Adakah ini tandanya kita menyintai kekasih Allah yang mulia, Nabi Muhammad s.a.w?
Rasulullah bersabda:
Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat.”
(Hadith Riwayat Al Bukhari)

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (shalallahu ‘alaihi wasallam) kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa yang ditegah daripada kamu, hendaklah kamu jauhi.dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya”.
( Surah Al Hasyr:  ayat 7)
Anas berkata, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Tiga perkara sesiapa yang ada padanya maka dia mendapati kemanisan iman. Pertama, hendaklah Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai kecuali kerana Allah. Kedua, taat ibu bapa selagi tidak melanggar perintah Allah. Ketiga, hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran seperti mana dia benci untuk dicampakkan ke dalam neraka.”
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
Jika kecintaan kepada ibu bapa menuntut ketaatan terhadap perintah mereka, apakah pula alasannya tidak mengendahkan perintah Rasulullah SAW sedangkan kedudukan cinta terhadap Baginda lebih tinggi berbanding ibu bapa.
Begitulah kecintaan sebenar kepada Rasulullah SAW perlu mengikut sunnah Baginda seperti firman Allah bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah Ali-Imran, ayat 31)

Galilah ilmu tentang Al Quran dan hadith yang sahih dan jangan menjadi orang yang mengikut-ngikut perbuatan orang lain kerana  kita hanya akan selamat dunia dan akhirat dengan berpegang teguh pada keduanya. Tanda kita menyintai Rasulullah ialah mengamalkan  suruhan dan meninggalkan larangannya. Cara ibadah, muamalat dan sebagainya dalam kehidupan sepertimana yang diajarkan oleh Rasulullah hanya dapat diketahui melalui Al Quran dan hadith yang sahih. Tinggalkanlah segala bentuk larangan Rasulullah walaupun masyarakat banyak melakukannya kerana jaminan ke syurga idaman adalah mengikut ajaran yang dibawakan Rasul yang mulia.
Waulahua’lam.

sumber: http://ummuayman.wordpress.com/2009/12/15/kelebihan-solat-jemaah-menurut-teori-fizik-dan-kesilapan-masyarakat/

05 Disember 2011

Sekilas Kenangan : Ziarah ke RAYM Taman Baiduri, Dengkil

antara sahabat-sahabat yang menyertai ziarah

Selepas tidak berkesempatan menziarahi adik-adik di Dengkil buat beberapa ketika, atas usaha Abdul Rauf, Presiden KBM. Pada tanggal 19 November lalu, ziarah ke sana akhirnya berjaya direalisasikan. 

Alhamdulillah walaupun sudah lama tidak bersua, hubungan antara kami dan adik-adik masih lagi utuh terjalin. Walaubagaimanapun tidak dapat dinafikan, tersemat rasa bersalah di hati kami kerana gagal istiqamah menyatuni hati-hati adik-adik yang kami sayangi itu.

Adik-adik ni jelas kami rasakan memerlukan perhatian khusus dari kami khususnya bila ia berkaitan isu akademik dan pengurusan diri. Kami sedar pihak pengurusan sangat merasa terbantu dengan kami di sana.

Secara individu saya merasa sangat insaf atas kegagalan saya menyusun kelapangan masa saya bagi mengisi hati adik-adik di sana. Saya menyeru sahabat-sahabat KBMUPM supaya lebih serius menyusun masa bagi menyatuni adik-adik ini. 


11 November 2011

Apa istimewanya..?


Setiap perintah Allah SWT tentu memiliki hikmah kebaikan disebaliknya. Lima  pancaindera kenapa semua tanpa terkecuali disapu oleh air wuduk. Mata, hidung, telinga & seluruh kulit tubuh. Ini betul-betul luar biasa.

Apa keistimewaan air wuduk?

- Air wuduk dapat menyejukkan hujung-hujung urat saraf pusat, jari-jari tangan dan jari-jari kaki berguna untuk menenangkan fikiran.

Wuduk dengan air sejuk, juga membantu merangsang dan mengefektifkan sistem kerja saraf. Rangsangan tadi, akan memberi kesan positif pada prestasi saraf pusat yang berada di otak. Tidak hairanlah jika selepas wuduk kita selalu merasakan suasana segar, yang tak dirasakan sebelum wuduk.

- Air wuduk dapat mengurangkan ketegangan jiwa, stress, mengurangkan rasa sedih, rasa khuatir dan rasa marah

Dengan keistimewaan inilah kenapa Rasulullah SAW selalu menganjurkan kita untuk segera berwuduk jika kita sedang marah dan beremosi.

- Air wuduk dapat melancarkan aliran darah ke seluruh tubuh dengan baik

Ketika air mengalir pada anggota wuduk, maka secara automatik pembuluh darah bertindak-balas untuk bekerja lebih cepat mengalirkan darah ke seluruh tubuh sebagai untuk menormalkan suhu tubuh, kerana bertemu suhu panas dalam tubuh dengan air sejuk air wuduk. Samasa itu juga darah mengalir ke kawasan muka, kedua tangan dan tapak kaki dengan sangat lancar.

- Air wuduk dapat menyedut darah-darah kotor dan membuangnya keluar tubuh melalui bulu-bulu halus yang tumbuh di sekitar kulit.

Ketika aliran darah mengalir ke seluruh tubuh, termasuk pada bahagian kulit, maka kelenjar peluh langsung bekerja menyedut darah-darah kotor dan membuangnya keluar tubuh melalui bulu-bulu halus yang tumbuh dni sekitar kulit.Walau tidak nampak pada pandangan mata, mungkin inilah rahsianya kenapa kita disunahkan membasuh tiga kali pada setiap anggota wuduk. Kelihatan kulit sekitar wajah dan lain anggota wuduk nampak cantik dan putih berseri sehingga penuaan boleh dihindarkan.

- Air wuduk dapat menyegarkan berbagai organ yang ada di wajah dan menjadi cerah.

Berkumur juga akan menyegarkan. Membasuh wajah dan kedua tangan sampai siku, serta kedua kaki memberikan manfaat untuk menghilangkan debu-debu dan pelbagai bakteria, apalagi dengan membersihkan badan dari peluh dan kotoran lainnya yang keluar melalui kulit.

10 November 2011

DINT CHENG HO : Barat memomokkan sejarah

nazmi@bharian.com.my
2011/11/09

Dr Mat Rofa Ismail pada Majlis Diskusi Intelek Cheng Ho, Cina, Alam Melayu dan Perkaitannya di Panggung Percubaan UPM.
Dr Mat Rofa Ismail pada Majlis Diskusi Intelek Cheng Ho, Cina, Alam Melayu dan Perkaitannya di Panggung Percubaan UPM.


Perkembangan Islam di China disorok, penipuan Joseph Needham diiktiraf

"SEPARUH daripada penulisan sejarah adalah dengan menyembunyikan kebenaran." Pandangan Pemenang Anugerah Nebula 2005 (Skrip Terbaik - Serenity), Joss Whedon pasti tercerna daripada kekaburan yang dibawa pensejarahan Barat mengenai penyimpangan dalam teks, karya atau fakta sejarah.

Apatah lagi penyimpangan, penyelewengan dan penyongsangan fakta wujud secara berleluasa dalam dokumen, teks serta karya sejarah yang ditulis orientalis mahupun pengarang Barat.
Penulis Barat, Joseph Needham, yang diupah oleh orientalis bukan saja mengubah sejarah China, bahkan banyak menyelewengkan fakta. - Prof Madya Dr Mat Rofa Ismail, Pensyarah Jabatan Matematik UPM
Tujuan orientalis dan pengarang Barat hanyalah satu, iaitu menghilang dan menggelapkan pengaruh Islam khususnya terhadap kebangkitan dan kekuasaan imperialisme mereka, sekali gus mengabsahkan hegemoni mereka.

Lebih menyedihkan pandangan yang kononnya bersifat sejarawi itu, diekori oleh sejarawan dan pengarang dari Asia atau dunia Islam sehingga menerimanya sebagai fakta sejarah yang satu-satunya sah lagi benar.

Hasilnya, sejarah Islam dan tamadun lain di Timur bukan saja ditulis dan dibukukan oleh orientalis serta pengarang Barat, bahkan dibentuk dan dimuatkan berdasarkan kerangka pandangan alam mereka.

Tidak hairanlah banyak sumbangan Islam dan Timur terhadap kebudayaan dan peradaban Barat menjadi wap yang hilang di langit sejarah dunia sehingga yang tinggal adalah sejarah yang dibentuk berdasarkan bekas yang ditinggalkan oleh orientalis dan pengarang mereka. 
Gejala minda tertawan ini dikemukakan Pensyarah Jabatan Matematik, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mat Rofa Ismail ketika mengupas Diskusi Intelek: Cheng Ho, Cina, Alam Melayu dan Perkaitannya di Panggung Percubaan UPM, Serdang, baru-baru ini.

Dr Mat Rofa berkata, tiga dinasti di China mempunyai hubungan erat dengan Islam, iaitu Dinasti Song, Yuan dan Ming, tetapi sejarah dinasti itu kurang dicatat dalam teks sejarah China.

“Malah, ramai yang tidak tahu pengaruh Islam dalam pemerintahan dinasti di China sudah sampai kepada tahap menjadi agama yang dianuti maharajanya, apabila Zhu Yuanzhang menjadi Maharaja Islam yang pertama.

“Bagaimanapun, apabila Dinasti Ming kalah di tangan Dinasti Manchu, kerajaan mengharamkan rakyat daripada belajar sejarah dinasti Islam itu,” katanya pada diskusi anjuran Kelab Bimbingan Mahasiswa UPM itu.

Tidak hairanlah, Dr Mat Rofa berkata, sumbangan besar dunia Islam tidak diketahui oleh umum seperti penciptaan peluru yang dikatakan sebagai sumbangan tamadun China sebenarnya dicipta oleh saintis Islam yang dibawa dari dunia Islam.

“Malah pelayaran Laksamana Cheng Ho atau Zheng He sendiri banyak diselewengkan sehingga ada sejarawan yang menohmah pelayarannya adalah bertujuan untuk membunuh musuh politik maharaja di Asia, meskipun beliau mahu menunaikan haji di Makkah.

“Ia jauh sekali berlawanan dengan fakta Zheng He membawa armada kapal yang sangat besar dalam pelayarannya tetapi tidak membawa balik harta rampasan,” katanya.

Ini kerana, Dr Mat Rofa berkata, China datang ke alam Melayu untuk melindungi kerajaan kecil di Gugusan Kepulauan Melayu seperti amaran Zheng He kepada Raja Siam yang mengganggu Kesultanan Melayu Melaka dengan mengingatkan kesultanan itu umpama adik kandung kepada China.

“Bagaimanapun, sejarah sumbangan dan pengaruh Islam di China digelapkan sehingga Islam tidak dianggap memainkan peranan penting dalam peradaban yang sangat besar itu.

“Penulis Barat, Joseph Needham, yang diupah oleh orientalis bukan saja mengubah sejarah China, bahkan banyak menyelewengkan fakta,” katanya.

Needham yang turut dikenali sebagai Li Yuese menghasilkan Science and Civilisation in China yang asalnya mengandungi tujuh jilid pada 1948, berkembang kepada 24 jilid dengan 15 daripadanya ditulisnya sendiri, selain turut menghasilkan Science in Traditional China.

Kerangka yang ditinggalkan Needham itu masih meninggalkan pengaruh yang kuat kepada pensejarahan China, apatah lagi apabila namanya diabadikan sebagai Institut Kajian Needham (NRI), Cambridge, England, yang mengepalai penyelidikan dalam sejarah sains, teknologi dan perubatan di Asia Timur.

Lebih teruk, Dr Mat Rofa berkata, sejarawan China sendiri banyak bergantung kepada Needham dalam penulisan sejarah bangsa dan tamadun mereka.

“Sebenarnya, Zheng He meninggalkan diari hariannya yang dianggap paling asli, sekali gus catatan yang ditulis oleh penulisnya, Ma Huan itu banyak bercanggah dengan tulisan Needham.

“Sepatutnya sebarang penulisan mengenai sejarah di China khususnya Islam perlu berpandukan kepada catatan harian itu berbanding karya yang lebih mutakhir,” katanya.

Beliau mengingatkan banyak pembohongan dalam sejarah diterima sebagai fakta yang sah dan benar seperti Dr David Livingstone yang menjadi orang pertama menemui Sungai Nil atau Singapura yang dibuka oleh Stamford Raffles.

“Lebih melucukan apabila fakta penemuan Dr Livingstone pernah digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran sejarah di sekolah di Mesir kerana kalau mahu menipu pun, janganlah sampai keterlaluan.

“Fakta penemuan Dr Livingstone itu umpamanya kita mempercayai bayi menyambut kelahiran bidannya kerana Sungai Nil sudah lama wujud dan Afrika sendiri sudah lama mempunyai penghuni,” katanya.

Penyimpangan, penyelewengan dan penyongsangan sejarah oleh orientalis dan pengarang Barat itu sudah lama dibiarkan bermaharajalela dalam membentuk kerangka kronologi dan pensejarahan dunia Timur khususnya Islam dan alam Melayu.

Sudah sampai masanya sejarawan dan pengarang kita membongkar teks dan sumber sejarah sendiri yang tersisih kesan daripada metodologi pensejarahan dan klasifikasi teks yang dirangka oleh Barat untuk menafikan hakikat sebenar sumbangan dan pengaruh Islam ke atas peradaban dunia.

Sebarang kitab, teks, hikayat, dokumen, catatan dan salasilah yang ditulis ulama dan pendakwah, sejarawan dan pengarang dunia Timur serta Islam perlu dikumpul, disusun dan dicantumkan dalam kerangka ilmu yang sebenar dengan menggunakan kekuatan intelektual untuk mentafsir dan menulis sejarah yang tepat