02 April 2012

Bersyukur vs Tersungkur



Alhamdulillah dapat lagi kita menghelakan nafas panjang-panjang pada hari ini, sesekali kita bangun, yang pasti nafas yang segar dapat kita rasai, menghirup udara nyaman tanpa dicampuri unggas-unggas yang tidak menyenangkan.

Setiap yang kita rasai tiada nilai mata wang yang mampu untuk dibayar. Bak kata hati “ diriku dapat merasainya tetapi  tidak mampu diungkap dengan kata-kata”. Namun dalam pemberian nikmat itu masih ramai yang tidak berfikir dan “bersyukran” dengan Ilahi.

Bahkan tanpa segan silu mereka berjalan di bumi yang sangat tua ini dengan tiada kesyukuran. Lopak-lopak dalam jiwa sudah dibiarkan terus berlubang dengan hebat sekali.

Bius dunia seakan-akan telah diadun ke dalam “seketul darah” penggerak jasad hingga menjadi kuih yang keras yang tidak mampu untuk dimakan.

 Sombong dan angkuh telah menggelegak dalam diri tidak kira yang dewasa mahupun telah berusia, masing-masing mempunyai hujah yang tersendiri. Hujahnya dilempar kemas dan padu bagaikan atom yang ingin dilepaskan dalam diri.

 Utuhnya dunia kita, utuh umpama langit yang tiada tanda untuk runtuh. Namun kita tidak berfikir dengan mata hati terhadap apa yang telah kita lihat, sehebat langit yang utuh pun masih mengeluarkan “ air mata” rintihan yang dapat membanjiri alam fauna ini, sehinggakan “Air mata nasuhanya” mampu memberi kebahagiaan kepada makhluk di planet yang kita agungkan ini.

Pun begitu masih tiada riak kesyukuran dalam hati kita. Bak kata orang “ Tidak kupinta lahir ke dunia, tidak kuduga cacat begini…” Aduh!! Hebat kita kerana mampu berkata-kata dengan nada begitu…

 Imam al-Ghazali berkata orang begini sombong namanya, jika disuruh masuk ke dalam perut ibunya kembali dia tidak mahu. Setiap benda yang berlaku tiada erti kesyukuran tetapi riak-riak tersungkur semakin terserlah. Itulah ragam manusia.

 Bayangkan bagaimana seorang ibu bapa membesarkan anak-anak dengan menempuh berbagai ranjau kesusahan. Mereka memberi ilmu dan pendidikan sehingga  anak-anak mereka menjadi insan yang berjaya. Kekadang kesusahan yang mereka tanggung mampu ditagih dengan air mata rintihan semata-mata.

Harapan yang mereka inginkan untuk melihat anak-anak mereka berjaya, bukannya menyambung kesusahan dan keperitan yang mereka alami sekian lama. Begitulah pengorbanan ibu bapa yang telah dicurahkan demi anak-anak. Tetapi malangnya, tatkala anak-anak mereka sudah berganjak dewasa dan berjaya, si tua ditinggalkan bagaikan kayu dimakan bubuk senja, apatah lagi untuk menghormati mereka.

Si tanggang alaf baru telah muncul membawa ‘kekufurannya”. Jika beginilah kita sebagai anak-anak, bagaimanakah perasaan ibu bapa kita? Mereka bukannya robot yang punya bateri “Eveready” yang senantiasa “ready” dan “ steady ” untuk menerima hakikat perlakuan anak-anaknya.

Sudah pasti rasa terkilan akan terzahir dalam hati mereka yang diterjemahkan dengan rasa kecewa dan marah. Itulah rintihan amarah api neraka. Jadi apatah lagi Allah SWT yang memberi kita pelbagai nikmat sejak kita berada di alam dunia ini yang dikelilingi makrifat-makrifat-Nya yang menggunung tinggi. Sudah tentu kemurkaan Allah SWT lebih-lebih lagi kalau hamba-hamba-Nya tidak mensyukuri nikmat-Nya.

 Jadi mana mungkin pemberian Ilahi tidak dibalas dengan ucapan mahupun perlakuan. Kita sebagai hamba yang sodid perlulah senantiasa bersyukur bukannya terus tersungkur dalam arus dunia yang penuh kufur. Ketahuilah hati yang bersih sentiasa membawa jiwa untuk bersyukur. InsyaAllah…

Dalam hal ini Allah berfirman bagi sekalian manusia supaya bersyukur di atas segala nikmat yang diberikan lebih-lebih lagi nikmat Islam dan iman yang terpahat dalam hati. Potongan surah An-nahl:
“Syukurilah nikmat Allah jika kamu sungguh-sungguh menyembah kepada-Nya”

Nikmat pemberian Allah yang melimpah ruah di bumi ini tidak dapat kita hitung dengan jari jemari bahkan dengan kalkulator secanggih mana sekalipun. Sekilas pandangan kanan kiri, depan belakang, atas dan bawah, kita dapat merasai nikmat pemberian Yang Maha agung. Allah SWT amat penyayang dan mengasihani hamba-hamba-Nya dengan memberi pelbagai rahmat kepada kita. Untuk apa? Bukan sekadar untuk hidup selesa di dunia. Akan tetapi berkesinambungan terus hidup selesa di jannah hakiki yang memerlukan sifat syukur yang dizahirkan melalui gerak kerja seharian di dunia terlebih dahulu.

Firman Allah: “Dan jika Allah telah mengeluarkan kamu dari perut ibumu tanpa mengetahui sesuatu, kemudian  diberiNya kamu pendengaran, penglihatan dan hati semoga kamu bersyukur.

Lantaran itu, bilamana keinsafan datang daripada hati, maka  kita sebagai umat yang berakal perlulah senantiasa bersyukur dalam setiap gerak kerja. Bukan sekadar mengucapkan Alhamdulillah semata-mata. Jadi kita sebagai umat yang bertuah mesti ada rasa tanggungjawab dalam menonjolkan sifat kesyukuran ini, tidak lagi tersungkur di bawah timbunan.

 Tatkala hati sudah tertaut maka  rasa kehambaan bak bunga sedang mekar tiada tanda untuk layu. Beginilah permulaan syukur yang mana hati telah diikat kukuh untuk merasa nikmat ilahi dan merasakan segalanya datang daripada rubbul ‘alamin. Hatinya sudah tertaut umpama si rijal mengimpikan si nisa’ bahkan lebih daripada itu.

Tautan hati ini lebih gah daripada tembok besar china. Inilah dinamakan zikir kepada Allah SWT. Dari hati maka turun ke kalam. Kalamak akan terus berkata-kata dengan mengalunkan nada penuh kesyukuran yang tiada putus pujian ucapan Alhamdulillah. Mulutnya tidak lagi basah akibat air setitis tetapi pujian mengagungkan Ilahi sentiasa meniti di bibir. 

Rasulullah SAW bersabda:“ Allah senang kepada hamba-Nya yang apabila makan mengucapkan puji syukur kepadaNya dan jika minum mengucapkan puji syukur kepadaNya”

Zikir yang terpancar akan dizahirkan pula dengan tingkah laku yang sempurna. Di sini titik kepatuhan kepada-Nya dengan erti kata syukur yang tidak lagi terus tersungkur di lembah yang kufur.

 Bak umpama Qoran yang mana kekayaannya hingga membebankan unta untuk memikul kunci-kunci kekufurannya, akan tetapi kunci-kunci kesyukuran tenggelam di dalam hati yang zulmah tanpa nur yang membentuk kesyukuran, tiada tanda untuk mekar sehinggakan dirinya dan hartanya ditelan oleh bumi. Jadi usahlah kita mencari harta Qoran yang tidak diberkati tetapi carilah harta Abdul Rahman Ibn Auf yang diberkati sehingga kini.        

Hakikat syukur itu sangat indah, tiada indah bulan tanpa cahaya, tiada indah bunga tanpa warna, tiada indah  manusia tanpa hati, dan tiada indah hati tanpa bersyukur. Jadi kita para murobbi sudah semestinya tiada alasan untuk berkata ‘uf” untuk bersyukur kepada Pencipta kita, Allah SWT.

Rasulullah SAW sentiasa bersyukur kepada Allah SWT, jadi kita pengikut Baginda semestilah turut bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan olehNya lebih-lebih lagi nikmat Islam dan iman yang terpahat dalam hati kita ini. InsyaAllah…. Moga-moga kita dalam nikmat bersyukur sentiasa bukan terus tersungkur di lembah kufur…

“ Ya Tuhanku, berikanlah kepadaku petunjuk agar aku mensyukuri nikmat yang  Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada ibubapaku supaya aku melakukan perbuatan baik yang Engkau redhai dan masukkanlah aku dengan rahmatMu ke dalam lingkungan hamba-hambaMu yang soleh..”


Mohd  Zulkifli  alfikry
Presiden KBMUPM

31 Mac 2012

Ketika Sukar!

Kemudian dia bertanya kepada dirinya, apakah erti semua kesukaran ini berbanding kehidupan di Akhirat? Apakah erti kesukaran ini jika mahu dibandingkan dengan kesenangan di syurga di akhirat kelak?



Ketika sukar, seseorang mungkin boleh mengaku kalah dan melarikan diri daripada dugaan ataupun juga  boleh merungut dan menyalahkan orang disekelilingnya. Seterusnya, pasti dia akan dihantui dengan  tekanan, rasa sedih dengan situasi yang dihadapi. Mereka merungut, "kenapakah hal ini berlaku kepadaku? " @ "adakah dia patut diuji sebegitu?".

27 Mac 2012

Cakap-cakap Kita

Manusia - Eh, dah subuh dah?

Malaikat - Bangunlah wahai anak Adam, tunaikan solat subuh mu

Syaitan - Alahhhhhh, sekejaplah, mengantuk ni... awal lagi ni.. zzZZz


Manusia - Nak makan, laparlah ..

Malaikat - Wahai Anak Adam, mulakanlah dengan Bismillah....

Syaitan - Ahh, tak payahlah... dah lapar ni ! makan saja..sedapnya


Manusia - Hari ni nak pakai apa ye?

Malaikat - Wahai anak Adam, pakailah pakaian yang menutup aurat.

Syaitan - Ehh, panaslah, tak ada style langsung, nampak kampung!


Manusia - Alamak, dah lewat!

Malaikat - Bersegeralah wahai manusia , nanti terlewat ke pejabat.

Syaitan - Ahhh? awal lagi?mmm..aaahh? suruh si X punchkanlah?


Manusia - Azan sudah kedengaran.. ..

Malaikat - Wahai anak Adam, bersegeralah menunaikan kewajipan

Syaitan - Baru pukul berapa.. rilex lah..awal lagi ni.


Manusia - Eh, eh.... tak boleh tengok ini, berdosa..

Malaikat - Wahai anak Adam, alihkanlah pandanganmu, sesungguhnya Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui !

Syaitan - Perggghh... best tu...rugi ooo kalau tak tengok ni.


Manusia - Saudaraku sedang melakukan dosa

Malaikat - Wahai anak Adam, cegahla ia..

Syaitan - Apa kau sibuk? Jangan jaga tepi kain orang, lantak dia lah


Manusia - Elok kalau aku sampaikan nasihat ini kepada orang lain

Malaikat - Wahai anak Adam, nasihat-menasihati lah sesama kamu..

Syaitan - Sendiri pikirlah, semua dah besar, buat apa susah2...pandai2 lah


Manusia - Aku telah berdosa..

Malaikat - Wahai anak Adam, bertaubatlah kamu, sesungguhnya Allah Maha Pengampun.

Syaitan - Tangguhlah dulu, lain kali boleh bertaubat... muda lagi kan.. lagipun hidup hanya sekali.. rugilah. .(kalau sempatla)


Manusia - Kalau pergi, mesti seronok!

Malaikat - Wahai anak Adam, kakimu ingin melangkah ke jalan yang dimurkai Allah, berpalinglah dari jalan itu.

Syaitan - Jangan bimbang, tiada sesiapa yang tahu... Jomlahhh !


Manusia – Uuhhh.. letihnya harini..tak solat lagi ni.

Malaikat - Wahai anak Adam, taatilah Allah dan RasulNYA, kebahagiaan di dunia dan akhirat untukmu. Solat itu wajib bagimu.

Syaitan - Hey anak Adam, ikutilah aku, kebahagiaan di dunia (sahaja) dan kebahagiaan di akhirat untukmu nanti ada juga (jangan mimpilah!)


Sekarang anda mempunyai 3 pilihan :

1. Anda – Patut ke aku biarkan article ini tetap di sini saja??

2. Malaikat - Ingatkan pada kawan yang anda kenal.. sebarkan lah !

3. Syaitan - Tak payahlah sibuk2 .. biar je disini..kalau, boleh delete je.. bukan mereka nak baca pon.


~Renung-renungkan dan selamat beramal :) ~

24 Mac 2012

Lelaki

Dulu,
Bila disebut lelaki
Wanitanya mendongak megah
Lelaki kami Asadullah, Saifullah
Tokoh ramai tak terkira

Kini,
Bila disebut lelaki
Wanitanya menunduk lemah
Tokoh kami sedikit sekali
Ramainya boneka Yahudi

Dulu,
Bila disebut lelaki
Wanitanya tenang di hati
Lelaki kami menjaga, melindungi

Kini,
Bila disebut lelaki
Wanitanya mahu cabut lari
Lelaki khianat, perogol bersiri

Dulu,
Bila seorang wanita teraniaya
Sepasukan kuda putih membela
Al-Mu’tasim kebanggaan wanita

Kini,
Ramai wanita suci dipenjara
Diperkosa minta dibela
Lelaki tunduk tak bertenaga

Dulu,
Bila wanita di bawah jagaannya
Lelaki memagari sehabis daya
Tiada siapapun berani menggoda

Kini,
Bila wanita di bawah jagaannya
Lelaki tak kisah auratnya terbuka
Wanitanya dibiar bebas, binasa

Dulu,
Lelaki menggadai harta dan nyawa
Untuk mengangkat kemuliaan agama

Kini,
Lelaki menggadai ketinggian agama
Demi nafsu, dunia dan seisinya

Dulu,
Lelaki bermatian mencipta sejarah
Kental berjihad, tekun berdakwah

Kini,
Lelaki hanya menyanjungi sejarah
Diri bermalasan, tenaga tak dikerah

Dulu,
Lelaki memperjuangkan Deen dan Ummah
Al-Farouq, Zunnurain mati terbunuh

Kini,
Lelaki memperjuangkan diri dan kroninya
Hingga sanggup membunuh

Dulu ,
Lelaki bersatu menghadapi musuh
Angkatannya kuat dan teguh

Kini,
Lelaki berpuak dan berpecah
Sesama sendiri saling bertelingkah

Kembalilah lelakiku
Pada kelelakianmu
Kami rindukan lelaki dulu
Acuan Madrasah Rasul


FATIMAH SYARHA MOHD NOORDIN
Petikan daripada Novel Syabab Musafir Kasih..