11 November 2011

Apa istimewanya..?


Setiap perintah Allah SWT tentu memiliki hikmah kebaikan disebaliknya. Lima  pancaindera kenapa semua tanpa terkecuali disapu oleh air wuduk. Mata, hidung, telinga & seluruh kulit tubuh. Ini betul-betul luar biasa.

Apa keistimewaan air wuduk?

- Air wuduk dapat menyejukkan hujung-hujung urat saraf pusat, jari-jari tangan dan jari-jari kaki berguna untuk menenangkan fikiran.

Wuduk dengan air sejuk, juga membantu merangsang dan mengefektifkan sistem kerja saraf. Rangsangan tadi, akan memberi kesan positif pada prestasi saraf pusat yang berada di otak. Tidak hairanlah jika selepas wuduk kita selalu merasakan suasana segar, yang tak dirasakan sebelum wuduk.

- Air wuduk dapat mengurangkan ketegangan jiwa, stress, mengurangkan rasa sedih, rasa khuatir dan rasa marah

Dengan keistimewaan inilah kenapa Rasulullah SAW selalu menganjurkan kita untuk segera berwuduk jika kita sedang marah dan beremosi.

- Air wuduk dapat melancarkan aliran darah ke seluruh tubuh dengan baik

Ketika air mengalir pada anggota wuduk, maka secara automatik pembuluh darah bertindak-balas untuk bekerja lebih cepat mengalirkan darah ke seluruh tubuh sebagai untuk menormalkan suhu tubuh, kerana bertemu suhu panas dalam tubuh dengan air sejuk air wuduk. Samasa itu juga darah mengalir ke kawasan muka, kedua tangan dan tapak kaki dengan sangat lancar.

- Air wuduk dapat menyedut darah-darah kotor dan membuangnya keluar tubuh melalui bulu-bulu halus yang tumbuh di sekitar kulit.

Ketika aliran darah mengalir ke seluruh tubuh, termasuk pada bahagian kulit, maka kelenjar peluh langsung bekerja menyedut darah-darah kotor dan membuangnya keluar tubuh melalui bulu-bulu halus yang tumbuh dni sekitar kulit.Walau tidak nampak pada pandangan mata, mungkin inilah rahsianya kenapa kita disunahkan membasuh tiga kali pada setiap anggota wuduk. Kelihatan kulit sekitar wajah dan lain anggota wuduk nampak cantik dan putih berseri sehingga penuaan boleh dihindarkan.

- Air wuduk dapat menyegarkan berbagai organ yang ada di wajah dan menjadi cerah.

Berkumur juga akan menyegarkan. Membasuh wajah dan kedua tangan sampai siku, serta kedua kaki memberikan manfaat untuk menghilangkan debu-debu dan pelbagai bakteria, apalagi dengan membersihkan badan dari peluh dan kotoran lainnya yang keluar melalui kulit.

10 November 2011

DINT CHENG HO : Barat memomokkan sejarah

nazmi@bharian.com.my
2011/11/09

Dr Mat Rofa Ismail pada Majlis Diskusi Intelek Cheng Ho, Cina, Alam Melayu dan Perkaitannya di Panggung Percubaan UPM.
Dr Mat Rofa Ismail pada Majlis Diskusi Intelek Cheng Ho, Cina, Alam Melayu dan Perkaitannya di Panggung Percubaan UPM.


Perkembangan Islam di China disorok, penipuan Joseph Needham diiktiraf

"SEPARUH daripada penulisan sejarah adalah dengan menyembunyikan kebenaran." Pandangan Pemenang Anugerah Nebula 2005 (Skrip Terbaik - Serenity), Joss Whedon pasti tercerna daripada kekaburan yang dibawa pensejarahan Barat mengenai penyimpangan dalam teks, karya atau fakta sejarah.

Apatah lagi penyimpangan, penyelewengan dan penyongsangan fakta wujud secara berleluasa dalam dokumen, teks serta karya sejarah yang ditulis orientalis mahupun pengarang Barat.
Penulis Barat, Joseph Needham, yang diupah oleh orientalis bukan saja mengubah sejarah China, bahkan banyak menyelewengkan fakta. - Prof Madya Dr Mat Rofa Ismail, Pensyarah Jabatan Matematik UPM
Tujuan orientalis dan pengarang Barat hanyalah satu, iaitu menghilang dan menggelapkan pengaruh Islam khususnya terhadap kebangkitan dan kekuasaan imperialisme mereka, sekali gus mengabsahkan hegemoni mereka.

Lebih menyedihkan pandangan yang kononnya bersifat sejarawi itu, diekori oleh sejarawan dan pengarang dari Asia atau dunia Islam sehingga menerimanya sebagai fakta sejarah yang satu-satunya sah lagi benar.

Hasilnya, sejarah Islam dan tamadun lain di Timur bukan saja ditulis dan dibukukan oleh orientalis serta pengarang Barat, bahkan dibentuk dan dimuatkan berdasarkan kerangka pandangan alam mereka.

Tidak hairanlah banyak sumbangan Islam dan Timur terhadap kebudayaan dan peradaban Barat menjadi wap yang hilang di langit sejarah dunia sehingga yang tinggal adalah sejarah yang dibentuk berdasarkan bekas yang ditinggalkan oleh orientalis dan pengarang mereka. 
Gejala minda tertawan ini dikemukakan Pensyarah Jabatan Matematik, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mat Rofa Ismail ketika mengupas Diskusi Intelek: Cheng Ho, Cina, Alam Melayu dan Perkaitannya di Panggung Percubaan UPM, Serdang, baru-baru ini.

Dr Mat Rofa berkata, tiga dinasti di China mempunyai hubungan erat dengan Islam, iaitu Dinasti Song, Yuan dan Ming, tetapi sejarah dinasti itu kurang dicatat dalam teks sejarah China.

“Malah, ramai yang tidak tahu pengaruh Islam dalam pemerintahan dinasti di China sudah sampai kepada tahap menjadi agama yang dianuti maharajanya, apabila Zhu Yuanzhang menjadi Maharaja Islam yang pertama.

“Bagaimanapun, apabila Dinasti Ming kalah di tangan Dinasti Manchu, kerajaan mengharamkan rakyat daripada belajar sejarah dinasti Islam itu,” katanya pada diskusi anjuran Kelab Bimbingan Mahasiswa UPM itu.

Tidak hairanlah, Dr Mat Rofa berkata, sumbangan besar dunia Islam tidak diketahui oleh umum seperti penciptaan peluru yang dikatakan sebagai sumbangan tamadun China sebenarnya dicipta oleh saintis Islam yang dibawa dari dunia Islam.

“Malah pelayaran Laksamana Cheng Ho atau Zheng He sendiri banyak diselewengkan sehingga ada sejarawan yang menohmah pelayarannya adalah bertujuan untuk membunuh musuh politik maharaja di Asia, meskipun beliau mahu menunaikan haji di Makkah.

“Ia jauh sekali berlawanan dengan fakta Zheng He membawa armada kapal yang sangat besar dalam pelayarannya tetapi tidak membawa balik harta rampasan,” katanya.

Ini kerana, Dr Mat Rofa berkata, China datang ke alam Melayu untuk melindungi kerajaan kecil di Gugusan Kepulauan Melayu seperti amaran Zheng He kepada Raja Siam yang mengganggu Kesultanan Melayu Melaka dengan mengingatkan kesultanan itu umpama adik kandung kepada China.

“Bagaimanapun, sejarah sumbangan dan pengaruh Islam di China digelapkan sehingga Islam tidak dianggap memainkan peranan penting dalam peradaban yang sangat besar itu.

“Penulis Barat, Joseph Needham, yang diupah oleh orientalis bukan saja mengubah sejarah China, bahkan banyak menyelewengkan fakta,” katanya.

Needham yang turut dikenali sebagai Li Yuese menghasilkan Science and Civilisation in China yang asalnya mengandungi tujuh jilid pada 1948, berkembang kepada 24 jilid dengan 15 daripadanya ditulisnya sendiri, selain turut menghasilkan Science in Traditional China.

Kerangka yang ditinggalkan Needham itu masih meninggalkan pengaruh yang kuat kepada pensejarahan China, apatah lagi apabila namanya diabadikan sebagai Institut Kajian Needham (NRI), Cambridge, England, yang mengepalai penyelidikan dalam sejarah sains, teknologi dan perubatan di Asia Timur.

Lebih teruk, Dr Mat Rofa berkata, sejarawan China sendiri banyak bergantung kepada Needham dalam penulisan sejarah bangsa dan tamadun mereka.

“Sebenarnya, Zheng He meninggalkan diari hariannya yang dianggap paling asli, sekali gus catatan yang ditulis oleh penulisnya, Ma Huan itu banyak bercanggah dengan tulisan Needham.

“Sepatutnya sebarang penulisan mengenai sejarah di China khususnya Islam perlu berpandukan kepada catatan harian itu berbanding karya yang lebih mutakhir,” katanya.

Beliau mengingatkan banyak pembohongan dalam sejarah diterima sebagai fakta yang sah dan benar seperti Dr David Livingstone yang menjadi orang pertama menemui Sungai Nil atau Singapura yang dibuka oleh Stamford Raffles.

“Lebih melucukan apabila fakta penemuan Dr Livingstone pernah digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran sejarah di sekolah di Mesir kerana kalau mahu menipu pun, janganlah sampai keterlaluan.

“Fakta penemuan Dr Livingstone itu umpamanya kita mempercayai bayi menyambut kelahiran bidannya kerana Sungai Nil sudah lama wujud dan Afrika sendiri sudah lama mempunyai penghuni,” katanya.

Penyimpangan, penyelewengan dan penyongsangan sejarah oleh orientalis dan pengarang Barat itu sudah lama dibiarkan bermaharajalela dalam membentuk kerangka kronologi dan pensejarahan dunia Timur khususnya Islam dan alam Melayu.

Sudah sampai masanya sejarawan dan pengarang kita membongkar teks dan sumber sejarah sendiri yang tersisih kesan daripada metodologi pensejarahan dan klasifikasi teks yang dirangka oleh Barat untuk menafikan hakikat sebenar sumbangan dan pengaruh Islam ke atas peradaban dunia.

Sebarang kitab, teks, hikayat, dokumen, catatan dan salasilah yang ditulis ulama dan pendakwah, sejarawan dan pengarang dunia Timur serta Islam perlu dikumpul, disusun dan dicantumkan dalam kerangka ilmu yang sebenar dengan menggunakan kekuatan intelektual untuk mentafsir dan menulis sejarah yang tepat

28 Oktober 2011

Walau ia sepahit hempedu, terimalah ketentuan Illahi dengan hati terbuka


Sahabat-sahabatku sekalian,
Sebagai seorang muslim, kita haruslah menerima dengan hati yang yakin dan reda terhadap qada dan qadar Allah SWT tanpa ragu-ragu kerana percaya kepada qada dan qadar adalah rukun Iman yang ke 6. Jika seseorang tidak rela menerima qada dan qadar maka akan rosak imannya kepada Allah SWT.


Qada dan Qadar ialah ketetapan Allah SWT yang telah ditentukan sejak dari azali lagi berdasarkan ilmuNya yang Maha Tinggi, disusuli dengan kejadian seperti mana yang telah ditetapkan.


Firman Allah lagi maksudnya : "Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (loh mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah ".
(Surah Al-Hadid ayat 22)
Qada dan qadar rahsia Allah .Bukan tugas kita untuk mempersoalkannya..Tugas kita melaksanakan ibadah sebaik mungkin dan tingkatkan ketakwaan dan keimanan pada Allah SWT dan yakin dengan janji -janji-Nya bahawa Dia akan membalasi hamba-Nya yang beriman dengan syurga. Sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya kita sentiasa dirahmati-Nya di dunia dan akhirat.

Indahnya kuntuman bunga ini... sebagai seorang muslim kita melihat setiap ketentuan Allah itu seindah  kuntuman bunga ini... hikmah disebalik kepahitan itu seindah kuntuman bunga ini...


Berdasarkan hadis Nabi SAW hanya doa dapat mengubah qada dan qadar. Baginda bersabda maksudnya : “Tiada suatu yang boleh menolak(mengubah)qada melainkan doa”
Kita juga hendaklah bersangka baik dengan Allah SWT (husnu zan) di atas sesuatu peristiwa atau kejadian yang berlaku di dunia ini.

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud : "Allah SWT berfirman, 'Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada diri-Ku'."
(Hadis RiwayatAl-Bukhari)

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya : "Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu berbaik sangka dengan Allah."
(Hadis Riwayat Muslim)

Apakah maksud berbaik sangka dengan Allah? Berbaik sangka di sini adalah rasa takut dan harap yang saling bergandingan, ataupun rasa takut mengatasi rasa harap. Yakinilah setiap sesuatu kejadian yang berlaku samaada di langit atau di bumi atau kepada diri kita sendiri adalah ketetapan yang terbaik yang diciptakan oleh Allah SWT dan terdapat seribu hikmah yang tidak mampu kita memikirkannya.
sumber : http://abubasyer.blogspot.com/2011/10/waspadalah-empat-perkara.html

13 Oktober 2011

DOA AMALAN UNTUK PEPERIKSAAN

Doa agar dikurniakan kefahaman yang baik dan ingatan yang sempurna sewaktu menelaah matapelajaran:


 اللَّهُمَّ ارْزُقْنَا فَهْمَ النَّبِيِّينَ وَحِفْظَ المُرْسَلِينَ وإلْهَامَ المَلاَئِكَةِ المُقَرَّبِينَ فِي عَافِيَةٍ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ 

“Wahai Tuhanku, kurniakanlah kami kefahaman para Nabi dan hafazan para Rasul, serta ilham daripada para Malaikat yang hampir dengan-Mu, kurniakanlah kami kesihatan wahai Tuhan yang Maha Pengasih.”


 Doa sebelum masuk ke dalam kelas atau dewan peperiksaan: 


 وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدا 

“Ya Allah, persiapkanlah kami akan urusan kami dengan petunjuk-Mu.”

 Doa apabila terlupa ketika menjawab soalan:


 سُبْحَانَ مَن لاَّ يَنَامُ وَلاَ يَسْهُو. اللَّهُمَّ ذَكِّرْنِي مَا نَسِيتُ 

“Maha Suci Tuhan yang tidak pernah tidur dan tidak pernah lupa. Wahai Tuhanku, ingatkanlah daku apa-apa yang kulupa.”

 Doa memohon kejayaan cemerlang:


 اللَّهُمَّ إني أسْألُكَ الفَوْزَ عِنْدَ القَضَاءِ وَمَنَازِلَ الشُهَدآءِ وَعَيْشَ السُّعَدآءِ وَالنَّصْرُ عَلَى الأعْدآءِ 

“Ya Allah, kami memohon daripada-Mu kejayaan dalam setiap ketentuan, tempat para syuhada’, dan kehidupan mereka yang bahagia serta kemenangan ke atas musuh.”