Hmm, cepat sungguh masa berlalu. Pejam
celik sudah 5 tahun berlalu dan kini tiba masa Pilihan Raya Umum ke-13.
Walaupun berada jauh di tempat orang dan tidak dapat mengundi pada kali ini,
tetapi bahang kehangatan dan semangat mengundi rakyat Malaysia dapat saya rasakan
apabila di wall facebook saya penuh
dengan pelbagai cerita berkaitan pilihanraya. Semuanya cuba mempromosikan parti yang disokong masing-masing dan tidak
kurang yang mengkritik dan menghina pemimpin parti-parti yang terlibat.
Justeru, saya ingin mengambil
kesempatan ini untuk kita renungkan mengenai satu perkataan yang menjadi topik
hangat pada masa ini, iaitu PEMIMPIN, menurut perspektif Islam.
Siapakah
Pemimpin?
"Setiap kalian adalah pemimpin dan
bertanggung jawab atas apa yang di pimpinnya, Seorang penguasa adalah pemimpin
bagi rakyatnya dan bertanggung jawab atas mereka, seorang isteri adalah
pemimpin di rumah suaminya dan dia bertanggung jawab atasnya. Seorang hamba
sahaya adalah penjaga harga tuannya dan dia bertanggung jawab atasnya.
(Hadith Riwayat Bukhari)
Kita juga
perlu ingat bahawa antara salah satu sebab kita diwujudkan di atas muka bumi
ini adalah untuk menjadi pemimpin (khalifah) seperti firman Allah dalam kitab
suci Al-Quran:
Dan (ingatlah) ketikanTuhanmu
berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan khalifah di bumi.” Mereka
berkata, “Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan
darah di sana, sedangkan kami bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?” Dia
berfirman, “Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”
[ Surah Al-Baqarah (2) : ayat 30]
Namun,
memimpin adalah amanah dan tanggungjawab yang akan dipersoalkan di akhirat
nanti. Amanah dan tanggungjawab ini tidak akan terlaksana tanpa adanya pemimpin
yang berwibawa memiliki ciri-ciri dan sifat-sifat yang tertentu, sesuai dengan
tugas dan tanggungjawabnya, mengajak manusia mengabdikan diri sesungguhnya
kepada Allah swt, melalui kerja-kerja memakmurkan bumi Allah swt, melakukan islah,
menegakkan kebenaran, menwujudkan keamanan, keharmonian dan kesejahteraan dalam
masyarakat dan negara. Oleh itu, kita perlu melantik pemimpin yang sebaiknya
supaya amanah yang diperintahkan oleh Allah dapat kita tunaikan sebaik mungkin.
Apakah ciri-ciri
Pemimpin yang Baik?
1)
Sentiasa
Menggunakan Hukum Allah dalam Menyelesaikan Setiap Masalah yang Dihadapi :
"Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah
Allah dan taatilah Rasul (Muhammad), dan ulil amri (pemegang kekuasaan) di
antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan
pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah kepada Allah (Al Qur’an) dan Rasul (sunnahnya),
jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama
(bagimu) dan lebih baik akibatnya".
[Surah An-Nisa’ (4) : ayat 59]
“Maka demi tuhanmu, mereka tidak beriman sebelum mereka menjadikan engkau
(Muhammad) sebagai hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, (sehingga)
kemudian tidak ada rasa keberatan dalam hati mereka terhadap putusan yang engkau
berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.”
[Surah an-Nisa’ (4) : ayat 65]
2)
Adil
“Hai Daud! Sesungguhnya
engkau Kami jadikan khalifah (penguasa) di bumi, maka berilah keputusan
(perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah engkau mengikuti hawa
nafsumu, kerana akan menyesatkan engkau dari jalan Allah. Sungguh, orang-orang
yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka
melupakan hari perhitungan”.
[Surah Shaad (38) : ayat 26]
“Sesungguhnya
Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi bantuan kepada kerabat, dan Dia melarang (melakukan)
perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil
pelajaran.”
[Surah
an-Nahl (16)
: ayat
90]
3)
Jujur
dan Amanah
“Dan janganlah kamu campuradukkan
kebenaran dengan kebatilan dan (janganlah) kamu sembunyikan kebenaran,
sedangkan kamu mengetahuinya.”
[Surah
Al-Baqarah (2) : ayat 42]
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah
kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat
yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.”
[Surah Al Anfal
(8) : ayat 27]
4)
Berilmu
Seorang
pemimpin perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan yang meluas supaya
dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh organisasi dan pengikutnya.
Al- Imam Al
Ghazali berkata :
"Sesungguhnya Islam yang
diperjuangkan atas landasan kejahilan akan lebih memudharatkan berbanding
serangan musuh Islam. Malangnya kebanyakan pendukung Islam adalah dari kalangan
orang-orang jahil.”
5)
Mempunyai
Kuasa dan Kemampuan
Pemimpin yang baik hendaklah boleh
bertindak bagi menyelesaikan sesuatu urusan atau masalah yang berlaku samada
melalui tenaga, perkataan, tulisan atau fikiran dalam segala aspek.
6)
Bersikap
Lemah-lembut, Pemaaf, Bermusyawarah serta Bertawakal kepada Allah. Firman
Allah:
“Maka berkat rahmat Allah engkau (Muhammad)
berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan
berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu. Kerana itu
maafkanlah mereka dan mohonkanlah ampunan untuk mereka, dan bermusyawarahlah
dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian, apabila engkau telah membulatkan
tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sungguh, Allah mencintai orang yang
bertawakal.”
[Surah Ali ‘Imran (3) : ayat 159]
7)
Rendah
Hati
Seorang pemimpin Islam hendaklah memiliki sikap rendah
hati. Tidak suka menampakkan kelebihannya (riya’) serta tidak merendahkan orang
lain.
8)
Sabar
Pemimpin Islam haruslah sabar dalam menghadapi segala
macam persoalan dan permasalahan, serta tidak bertindak tergesa-gesa dalam
mengambil keputusan.
Inilah
antara sifat dan ciri-ciri yang perlu ada dalam diri seseorang jika hendak
menjadi pemimpin. Sememangnya, menjadi pemimpin merupakan amanah yang sangat
berat dan akan dipersoalkan di akhirat kelak.
Jika
dahulu, para sahabat R.A sangat takut jika dipilih menjadi seorang pemimpin,
tetapi sekarang, ramai yang berlumba-lumba untuk menjadi pemimpin. Semua
mengaku yang terbaik dan sanggup menjatuhkan lawannya dengan apa cara
sekalipun!
Justeru,
walau siapa pun yang memenangi pilihan raya kali ini, sama ada orang yang kita
pilih atau tidak, kita doakan mereka menjadi pemimpin yang terbaik sesuai
dengan kehendak Allah dan mengutamakan cara Islam. Semoga Islam akan terus
tertegak dengan megahnya di atas muka bumi ini. InsyaAllah..Wallahualam.
· * Pemimpin itu bukan atas kepetahannya bercakap,
tetapi atas keberaniannya menegakkan kebenaran,
Pemimpin itu bukan atas berapa ramai
pengikutnya tapi atas keikhlasannya membimbing,
Pemimpin itu bukan atas kehebatannya
mematahkan hujah tapi atas seberapa banyak kata-katanya meresap ke jiwa,
Pemimpin itu bukan atas kegilaannya pada
kuasa tapi pada mahunya dia untuk melakukan perubahan,
Pemimpin itu bukan atas kekayaan
hartanya, tapi sejauh mana kekayaan jiwanya.
