26 Mac 2010

Islamisasi: Antara Retorik dan Realiti

Assalamu'alaikum kepada semua rakan-rakan mahasiswa. Apa khabar diri anda? Apa pula perkhabaran iman anda? Saya harap semuanya dalam keadaan yang menenangkan anda. Alhamdulillah, dalam kesibukan kita berputar-putar dalam roda hidup yang sudah sedia disandarkan pada sistem yang pincang matlamatnya, sempat juga saya mencelah untuk berbicara sedikit tentang perkara yang pada hemat saya, sangat penting iaitu proses penambaikan dalam kehidupan seorang muslim tulen yang disebut sebagai Islamisasi. Sebagai umat Islam, kita perlu menjadikan hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok pula lebih baik dari hari ini.

Saudara, jelas pada hari ini kita dimomokkan dengan segala macam perkara yang bukan langsung disyariatkan oleh Islam. Saya mengambil contoh, perkara yang besar seperti sistem kehidupan sehinggalah perkara kecil seperti perlakuan rutin kita, hampir semuanya terpisah dengan Islam. Inilah yang disebut sebagai sekularisme. Kalimat sekularisme ini berasal daripada kalimat Latin saeculum dan kalimat Inggeris secularism. Mengikut The American Heritage Dictionary of English Language: Fourth Edition, kalimat secularism bermaksud, "religious skepticism or indifference. The view that religous considerations should be excluded from civil affairs or public education." Kenyataan ini bermaksud, "konsep sekularisme memisahkan agama daripada kehidupan dan pendidikan."



Hal ini jelas bertentangan dengan Islam kerana Islam bukanlah agama ritual seperti agama-agama lain sebaliknya Islam adalah satu cara hidup yang lengkap (way of life). Dalam kuliah maghrib anjuran KBM bertarikh 21hb Februari 2010, penceramahnya, Dr. Abdul Rahman Kurais menyebut satu istilah yang dipanggil tauhidic yang bermaksud usaha mengaplikasikan konsep tauhid dalam kehidupan. Kefahaman tauhid sebenarnya adalah kunci kepada proses Islamisasi. Kita perlu yakin bahawa hanya dengan bimbingan Allah sahaja kita akan selamat. Hasilnya, kita akan menjadi hamba yang taat dan khalifah yang unggul serta mahasiswa yang berjiwa besar.

Sekularisme telah menjadikan kotak pemikiran kita sempit dan beku. Sebagai contoh, sekularisme membataskan definisi ilmu hanya kepada pengetahuan semata-mata sedangkan Islam mendefinisikan ilmu sebagai apa-apa maklumat yang boleh mendekatkan kita kepada Allah. Dalam al-Quran, Allah menyatakan, "orang yang berilmu adalah orang yang paling takut kepada Allah." Sebagai mahasiswa, kita perlu sedar akan teori-teori yang terdapat di dalam buku-buku rujukan kita pada hari ini bersifat menidakkan kewujudan Allah. Kita perlu bijak untuk menafsir agenda-agenda halus musuh-musuh Islam dalam meracuni golongan intelektual muda seperti kita.

Allah ada menyatakan dalam Quran yang bermaksud, "orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan sekali-kali reda dengan kamu (umat Islam) kecuali kamu menjadi sebahagian daripada mereka." Dalam menterjemahkan Islamisasi ke dalam realiti, Dr. Abdul Rahman Kurais menyebut tentang pentingnya pensyarah-pensyarah untuk mengAgungkan Ilahi dalam subjek yang diajar. Sebagai contoh, kaitkan setiap formula, hukum, teori, sains, pusingan biologi dan setiap kejadian dengan kuasa Allah supaya kuliah yang asalnya bersifat sekular bertukar menjadi majlis ilmu. Ingat, majlis ilmu, majlis mengingati Allah adalah taman-taman syurga. Mahasiswa turut digesa untuk memelihara kesucian niat untuk menimba ilmu sebelum hadir ke kuliah.

Sesungguhnya sekularisme yang sangat luas pengaruhnya sebenarnya dapat disekat dengan kefahaman akidah yang mantap iaitu mentauhidkan Allah dan menyebarluaskan konsep tauhidic dalam kehidupan kita. Ayuh, berubahlah rakan-rakan mahasiswa sekalian. Betulkan yang biasa dan biasakan yang betul. InsyaAllah, kami di peringkat KBMUPM akan sentiasa cuba untuk bersifat proaktif dalam usaha membina tamadun khoiruummah. Akhir kata, sedarlah bahawa hikmah itu adalah harta umat Islam yang tercicir. Maka, di mana sahaja kita menjumpainya, ambillah kerana itu adalah hak kita. Wallahu'alam.

1 ulasan:

Faris berkata...

bagus penulisan anta, walaupun tampak formal tetapi didalam tersirat kemesraan dan santai.
mahasiswa sedar mereka harapan umat...
mereka harus jadi kuat dan tidak bergantung pada pensyarah, oleh itu mereka perlu menambah ilmu berasaskan tauhid islamiah.
pensyarah harus menjalankan perkerjaan bukan sekadar kerana gaji tetapi bekerja sebagai daie. menunaikan hak sebagai seorang muslim