14 November 2012

Penjelasan Tentang Bulan Muharram

Saya terpanggil untuk menafikan pengkisahan yang tidak benar mengenai bulan Muharam. Perbincangan saya pada kali ini banyak merujuk kepada tulisan Dr. Mohd Asri Zainal Abidin di blog beliau, selain beberapa intipati daripada ceramah oleh Ustaz Mahmud Mat, Pengetua Sek Men Sungai Lembing di Radio Pahang.fm. 

1. Bulan Muharram adalah bulan pertama yang dipilih oleh Saidina ‘Umar bin al-Khattab untuk kiraan bulan bagi tahun hijrah. Maksudnya, dua belas bulan dalam satu tahun, Saidina ‘Umar al-Khattab r.a. membuat keputusan untuk memilih Muharram sebagai bulan pertama bagi tahun Hijrah. Ini seperti bulan Januari bagi tahun masihi. Maka, telah berlaku salah faham sesetengah pihak lalu menganggap Nabi s.a.w berhijrah dalam bulan Muharram. Itu andaian yang tidak tepat.

2. Dahulunya, orang Arab tidak mempunyai kiraan tahun. Mereka hanya mempunyai kiraan bulan dengan nama bulan seperti yang digunakan oleh umat Islam. Nama bulan-bulan hijrah kita hari ini diambil dari nama bulan-bulan ‘Arab. Cumanya, Arab tidak mempunyai kiraan tahun seperti mana bangsa Rumawi yang mempunyai kiraan tahun masihi mereka.

Di zaman Saidina Umar, umat Islam mencadangkan agar diwujudkan kiraan tahun bagi kalender umat Islam. Pelbagai cadangan diberikan termasuk dicadangkan tahun kelahiran Nabi s.a.w. untuk dijadikan tahun pertama kiraan kalendar umat Islam Namun ditolak oleh Amirul al-Mukminin Umar bin al-Khattab r.a. Beliau kemudiannya bersetuju tahun Nabi s.a.w berhijrah dijadikan tahun pertama kiraan tahun dalam kalendar umat Islam.

Kemudian timbul pula persoalan bulan manakah patut dijadikan bulan pertama. Pelbagai cadangan diberikan, termasuk bulan Ramadan. Namun, Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab r.a menolaknya kemudian memilih bulan Muharram. Ini disebabkan bulan tersebut umat Islam baru sahaja menyelesaikan ibadah haji. Bukan kerana bulan tersebut Nabi s.a.w berhijrah.

3. Sejarahwan besar al-Hafizd al-Imam Ibn Kathir (w. 774H) menyebut dalam karya sejarahnya al-Bidayah wa al-Nihayah:

Kata Muhammad bin Sirin: Seorang lelaki datang kepada Umar dan berkata: “Tetapkan tarikh seperti mana orang bukan arab lakukan dengan menulis pada bulan tertentu dan tahun tertentu”. Jawab Umar: “Cadangan yang baik”. Mereka berkata: “Tahun bila kita hendak mulakan?”. Ada yang mencadangkan tahun kebangkitan Nabi s.a.w, ada pula cadangan tahun kewafatan dan lain-lain. Lalu mereka bersetuju tahun baginda berhijrah. Lalu mereka bertanya lagi: “Bulan manakah hendak kita mulakan?”. Ada yang mencadangkan Ramadan. Ada yang mencadangkan “Muharram kerana ia bulan yang orangramai baru sahaja selesai menunaikan haji dan ia juga termasuk dalam bulan-bulan haram”. Lalu mereka pun bersetuju menjadikan bulan Muharram bulan yang pertama. (al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/252, Beirut: Dar al-Fikr).

Riwayat ini jelas menunjukkan pemilihan Muharram sebagai bulan pertama dalam kalendar Hijrah bukanlah kerana ia bulan yang Nabi s.a.w berhijrah padanya. Ia hanya bulan pilihan yang dijadikan bulan pertama bagi kalendar hijrah.

4. Menurut para pengkaji Sirah Nabi s.a.w, hijrah berlaku dalam Bulan Rabi’ul Awwal, bukan Bulan Muharram. Ini disebut dalam pelbagai riwayat. Sebuah karya kajian sirah Nabi s.a.w yang mendapat anugerah dan pengiktirafan besar dalam dunia Islam iaitu al-Rahiq al-Makhtum karangan al-Syeikh al-Mubarakfuri telah menyimpulkan bahawa Nabi s.a.w keluar dari rumah baginda ke rumah Abu Bakar al-Siddiq pada malam 28 haribulan Safar, tahun ke empat belas selepas menjadi rasul. Dari situ, baginda bersama Abu Bakar ke Gua Thur. Mereka berdua berada dalam gua tersebut selama tiga malam. Pada hari pertama bulan Rabiul Awwal baginda dan Abu Bakar keluar dari Gua Thur lalu memulakan hijrah ke Yathrib (Madinah). Mereka dipandu oleh Abdullah bin ‘Uraiqit. Pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, Nabi s.a.w sampai ke Quba. Baginda berada di Quba selama empat hari dan mengasaskan Masjid Quba. Pada 12 Rabiul Awwal, selepas solat Jumaat, barulah baginda memasuki Yathrib yang kemudian dinamakan Madinah. Inilah kesimpulan yang diambil dari pelbagai riwayat serta catatan ahli sejarah dan hadis. (lihat perincian: al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, 163-172. Beirut: Muassasah Fuad).

5. Dengan ini, berdasarkan maklumat yang dinyatakan tadi, jelas bulan muharram bukanlah bulan baginda Nabi s.a.w berhijrah, ataupun memulakan hijrah. Kesimpulannya; baginda keluar dari rumah pada akhir bulan Safar. Memulakan hijrah pada hari pertama Rabiul Awwal dan sampai ke Madinah pada 12 Rabiul Awwal. Jika ada perbezaan pendapat dalam kalangan sejarahwan, ia berkisar pada hari-hari yang disebutkan itu sahaja. Adapun bulan, mereka bersetuju hijrah Nabi s.a.w pada Rabiul Awwal. Dengan itu, kita sepatutnya tahu bahawa bulan Muharram adalah bulan pertama dalam kiraan kalendar hijrah, bukan bulan hijrah Nabi s.a.w.

6. Penetapan kalendar hijrah yang dibuat oleh Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab r.a adalah langkah yang tepat bagi memenuhi keperluan urusan pentadbiran dan kehidupan umat Islam. Walaupun idea itu bermula dari cadangan meniru cara pengurusan bukan muslim, tetapi meniru bukan muslim dalam perkara yang bukan ibadah dan pula dapat memberikan faedah kepada umat Islam adalah sesuatu yang diizinkan, bahkan disuruh oleh Islam. Langkah Saidina Umar r.a. itu telah membantu pengurusan dan pentadbiran umat Islam sepanjang zaman. Maka, penetapan tarikh bagi tahun hijrah bukanlah bagi mengujudkan satu upacara agama, tetapi untuk urus tadbir umat.

7. Setelah kita jelas tentang latar penetapan tahun hijrah, iaitu ia berlaku pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab r.a bukan pada zaman Rasulullah s.a.w, maka sudah pastilah tiada apa-apa upacara ibadah khusus –sama ada solat khusus, atau puasa khusus atau bacaan khusus- yang Nabi s.a.w lakukan sempena tahun baru hijrah kerana kiraan tahun baru hijrah belum bermula pada zaman baginda. Pada zaman Umar dan khalifah-khalifah selepas Umar juga tiada sebarang upacara ibadah khusus sempena kedatangan tahun baru hijrah. Sebaik-baik petunjuk dalam ibadah ialah petunjuk Nabi s.a.w dan al-Khalafa al-Rasyidin.

8. Dalam riwayat lain, disebutkan juga bahawa Muharram adalah bulan yang kaya dengan kisah yang mampu menjadi inspirasi buat kita. Antaranya ialah permulaan Nabi Adam a.s. bertaubat kepada Allah setelah dihalau keluar dari syurga. Juga, bulan Nabi Nuh a.s. diselamatkan daripada banjir besar, yakni air kering pada bulan Muharram. Selain itu, terpadamnya api Namrud yang dinyalakan untuk membakar Nabi Ibrahim a.s. Peristiwa lain termasuklah turunnya Taurat kepada Nabi Musa a.s., bebasnya Nabi Yusuf dari penjara,  pulih semula penglihatan Nabi Ya'kub, pulih semula penyakit Nabi Ayub, keluarnya Nabi Yunus dari perut ikan nun, dan bulan Nabi Sulaiman diberikan kekuasaan.


9. Setiap hari, setiap waktu umur kita bertambah atau meningkat. Sama ada memasuki tahun baru atau tidak, hayat kita tetap bertambah singkat dan ajal semakin dekat. Setiap kita disuruh untuk berazam ke arah yang lebih baik, samada menjelang atau belum tahun yang baru. Itulah kehidupan dan jiwa seorang muslim. Masa tidak selalu menunggu kita. Kabaikan jangan ditangguh, keburukan jangan ditanggung. Jangan menunggu tahun baru untuk berubah kepada yang lebih baik. Jangan menunggu tahun baru untuk meninggalkan keburukan. Itulah jalan hidup yang patut kita fahami dan hayati. Itu sikap golongan soleh sepanjang zaman. Mereka sentiasa memohon kebaikan dan sentiasa beristighfar kepada Allah.

10. Jika tahun baru hendak diingati atau dihayati, mungkin di sudut kedatangan tahun baru boleh menjadi pemangkin semangat dan azam. Membantu penilaian dan perancangan. Maka, ia akan menggalakkan kita memuhasabah diri; apakah kejayaan amalan baik atau dosa yang telah kita lalui tahun lalu? Juga, yang penting apakah perancangan dan azam kebaikan bagi kalendar yang akan datang. Maka kita pun berazam ke arah prestasi yang lebih baik.


Rujukan:
  1. Prof Madya Dr. Mohd Asri ZAinul Abidin, 2012. Muharam Bukan Bulan Nabi Berhijrah. http://drmaza.com/home/?p=1297
  2. Ustaz Mahmud Mat, Penceramah Radio Pahang.fm (2010) dalam ceramah beliau bertajuk: Tahun Baru.

09 November 2012

orang kecil ORANG BESAR

.مَن كَانَ يُرِيدُ ٱلْحَيَوٰةَ ٱلدُّنْيَا وَزِينَتَهَا نُوَفِّ إِلَيْهِمْ أَعْمَـٰلَهُمْ فِيهَا وَهُمْ فِيهَا لَا يُبْخَسُون
.أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ لَيْسَ لَهُمْ فِى ٱلْءَاخِرَةِ إِلَّا ٱلنَّارُ ۖ وَحَبِطَ مَا صَنَعُوا۟ فِيهَا وَبَـٰطِلٌۭ مَّا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ
"Barangsiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, niscaya Kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperoleh di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan" (QS Hud15-16) 

Ingat, jangan sampai jadi orang kecil.
Orang kecil jika ikhlas diperas, jika diam ditikam, jika protes dikentes, jika usil dibedil.

Jangan mau jadi orang kecil..
Jika hidup dipersoalkan, jika mati tak dipersoalkan. Jika hidup tak didengarkan, suaranya tak diperhitungkan.

Jangan sekali-kali jadi orang kecil..
Jika jujur ditipu, jika menipu dijur. Jika bekerja digangguin, jika mengganggu dikerjain.

Lebih baik jadi orang besar, bagiannya selalu besar.
Orang besar jujur-tak jujur tetap makmur. Orang besar benar-tak benar tetap dibenarkan. Lalim-tak lalim dibiarkan.

Orang besar boleh bicara semaunya, orang kecil paling jauh dibicarakan saja.
Orang kecil jujur dibilang tolol, orang besar tolol dibilang jujur.
Orang kecil berani dibilang kurangajar, orang besar kurang ajar dibilang berani.
Orang kecil mempertahankan hak disebut pembikin onar, orang besar merampas hak disebut pendekar.

Si anak terus diam tak berkata-kata. Namun dalam dirinya bertanya-tanya:
“Anak kecil bisa menjadi besar, Tapi mungkinkah orang kecil menjadi orang besar?”
Besok entah sampai kapan si anak terus mencoret-coret dinding kalbunya sendiri:
“Orang kecil ??? - Orang besar !!!”

-Kutipan Puisi berjudul Orang Kecil Orang Besar, Kumpulan Album Sajak-sajak A. Mustofa Bisri (Gus Mus), 2008-


19 Oktober 2012

Kau Teristimewa tapi Dia yang Sempurna

Aminah terus mengusap kepala anaknya yang masih koma setelah terlibat dalam kemalangan jalanraya. Sudah dua hari si ibu menanti anaknya sedar, namun harapan masih belum kunjung tiba. Sesekali ibu mengesat air mata bila merenungi muka anak kecilnya yang baru berusia lapan tahun. Aqilah anak manja ibu dilanggar sabuah motorsikal sewaktu melintas dihadapan rumah. Kemalangan memang tidak berbau.

"Ya 
Allah, sembuhlah anakku, sedarlah ia. Ya Allah, jangan Engkau ambil nyawa anak ku," air mata terus bercucuran serentak dengan doa dan munajat berpanjangan.

Petang itu ramai pelawat datang menziarahi pesakit, tidak ketinggalan abang Qilah yang datang bersama ayah. "Macamana bang, nampaknya Aqilah belum sedar lagi ni?" 

"Sabarlah, kita doalah harap ia sembuh" ucapan suami meyakinkan Aminah agar jangan putus asa. Aminah tidak henti henti berdoa dan terus berdoa. 

Di hadapan katil Aqilah, orang ramai menziarahi seorang kanak kanak yang tercungap cungap berlawan penyakit asma. sangat menderita bila pernafasan tersekat sekat. Seorang wanita tua menghampiri kanak kanak tersebut sambil mengucap kepala dan membaca sesuatu. 

"Ini cucu saya," ucap wanita tua bila ditanya oleh seorang wanita yang turut menziarahi anak jirannya.

Aminah mengambil kesempatan meminta agar Wanita tua itu mendoakan anaknya. "Mak Cik, tolong doakan anak saya. Sudah dua hari dia koma. Tolonglah, " rayu Aminah. 

Wanita tua itu menghampiri Aqilah sambil mendoakan sesuatu, sambil berpesan agar Aminah membaca sepotong doa setiap kali selepas solat fardu. 

Dalam hati Aminah mengakui dia seorang yang sering cuai solat. Tambahan pula bila Aqilah koma, dia langsung tidak mengerjakan solah. Payah, tak sempat dan macam macam alasan. Namun oleh kerana mengharapkan anaknya sembuh, dan yakin dengan doa yang diajar wanita tua itu, Aminah mula mendirikan solat, setiap kali solat dia terus membaca doa yang diajar, dan dalam linangan air mata dia terus merayu agar anaknya segera sembuh.

Dua hari kamudian. Aqilah sedar dari komanya betul-betul di saat Aminah bermunajat dengan doa yang diajar wanita tua itu. Betapa gembiranya bila melihat anaknya sedar dan mulai bercakap. Terima kasih ya Allah. Syukur ya Allah. 

Petang itu wanita tua sekali lagi datang ziarah cucunya. Aminah meluru ke arah wanita tua itu, sambil bercucuran air mata kegembiraan. "Terima kasih Mak cik ajar doa pada saya. Alhamdulillah, anak saya dah sedar. Terima kasih, terima kasih," luah Aminah bertalu talu. 

Wanita tua itu memegang bahu Aminah sambil berpesan, "sebenarnya solat kamu itu lebih utama dari doa yang kamu baca. Doa itu hanyalah wasilah, solat itu sebenarnya membuka rahmat Allah. Ramai orang hanya berdoa agar disembuhkan sakit, namun mereka tinggalkan solah. Macamanalah Allah nak perkenankan doanya".

Aminah terpaku mendengar nasihat yang sangat berguna baginya itu.


Nota: Artikel ini dipetik dan diubahsuai oleh penulis berdasarkan penceritaan oleh Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man pada 15 Oktober 2012. 

08 September 2012

Ceritaku untukmu

“Sah, ini memang rumah Azmin!”

Begitulah duga Rais ketika dia dan rakan sekuliahnya, Hamidi tiba di hadapan sebuah rumah teres usang yang telah luntur catnya. Pokok jambu madu rendang di halamannya menguatkan lagi keyakinan kedua-dua sahabat itu.

“Aku pun rasa begitu. Azmin ada beritahu aku di halaman rumah dia ada sebatang pokok jambu madu,” balas Hamidi sambil menganguk-angguk sambil mematikan enjin motornya.

Tanpa mereka sedar, Azmin sedang memerhatikan mereka dari beranda rumah sewanya. Dia awal-awal lagi telah berdiri di situ menanti Rais dan rakannya tiba. Apa tidaknya, kali terakhir mereka bertemu adalah setahun yang lalu iaitu ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang. Kerinduan yang amat sangat mendorong Azmin berlari ke pintu pagar rumahnya sambil mulutnya bertakbir dan memuji kebesaran Allah kerana menemukan mereka kembali. Tercengang-cengang Hamidi melihat gelagat Rais dan Azmin — berpelukan sambil air mata mengalir laju membasahi pipi kedua-duanya.

“Mungkin inilah yang dinamakan sahabat, dan inilah maksud ukhuwah fillah yang sering disebut-sebut oleh oleh naqibku,” bisik hati kecilnya.

*****

Di ruang tamu rumah bujang itu telah pun terhidang juadah makan tengah hari untuk mereka bertiga. Hamidi pantas menyesuaikan diri dengan situasi. Dia tidak kekok ‘ditinggalkan’ oleh Rais dan Azmin yang begitu ghairah berbicara tentang kenangan mereka berdua sewaktu di sekolah menengah dahulu. Antara cerita yang paling menyentuh hati Hamidi ialah sewaktu Azmin hampir lemas ketika mandi bersama rakan-rakan lelaki sealirannya di kolam renang di kaki Bukit Larut. Raislah yang menyelamatkannya. Semenjak peristiwa itu, mereka berdua menjadi sahabat baik yang begitu akrab.

Namun, Azmin bijak melayani kedua-dua tetamunya itu. Perbualannya dengan Rais diseimbangkan dengan bertaaruf bersama Hamidi, sambil mereka menjamu juadah ringkas di rumah bujang itu. Baginya, tetamu datang membawa rahmat. Justeru, penting untuknya menjaga hati dan tidak membuatkan mana-mana tetamunya tersinggung dek kepetahan mulutnya berbicara.

*****

“Sedap betul sambal udang tadi. Azmin masak sendiri ke?” soal Hamidi ketika Azmin mengajaknya dan Rais meninjau-ninjau keadaan dalam rumah itu.

“Alhamdulillah, terima kasih. Aah, aku masak sendiri. Itu resepi mak aku,” jawab Azmin yang dari tadi tak lekok dengan senyuman.

“Kau dah pandai memasak ke? Aku tengok dapur kau ni bersih je, macam tak pernah berasap pun,” celah Rais yang gemar menyakat Azmin semenjak zaman sekolah lagi.

“Aku belajar dari mak aku waktu cuti semester dulu. Dah guna dapur, kenalah bersihkan. Itukan tuntutan agama kita. Lagipun, ini tempat menyediakan makanan, sesuatu yang kita nak masukkan ke dalam badan kita, dan jadi darah daging kita,” jelas Azmin yang makin petah mematahkan setiap usikan Rais.

 *****

Nyata pengalaman beliau memimpin kumpulan aktivis anak muda ketika ini banyak mengubah Azmin. Dahulu, dia seorang pendiam dan pemalu walaupun otaknya bergeliga. Namun kini, dia adalah anak muda yang lantang bersuara dan buah fikirannya ditagih banyak pihak.



Nota: Penulis merupakan pelajar sepenuh masa di Universiti Putra Malaysia (UPM), merangkap Timbalan Presiden Kelab Bimbingan Mahasiswa UPM. Kisah ini hanyalah cereka minda penulis semata-mata dan bermaksud untuk dijadikan cerita nasihat sahaja. Penulis memohon maaf sekiranya entri kali ini menyentuh peribadi mana-mana individu.